Ada yang telah mencipta nama dalam bidang sukan atau kerjaya sehingga mampu meraih kedudukan tertinggi di sesebuah syarikat.

Datuk V. Radha Krishnan merupakan salah seorang individu yang boleh dijadikan contoh kepada situasi tersebut.

Mungkin tidak ramai yang mengenalinya, namun beliau merupakan tulang belakang kepada kejayaan syarikat Universal Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL) yang merupakan antara pembekal terbesar bagi kelengkapan dan peralatan bagi aktiviti rekreasi dan sukan lasak di negara ini.

Berasal daripada keluarga yang tinggal di sebuah estet di Segamat, Johor, Radha telah menempuh pelbagai pahit manis dalam kehidupannya sebelum meniti kemuncak kerjayanya sehingga bergelar Pengarah Urusan di UFL.

Berbicara lanjut tentang latar belakangnya, Radha memberitahu, dia yang merupakan anak kelima daripada lapan beradik aktif bersukan terutamanya sukan hoki, badminton dan gimnastik pada zaman persekolahan.

Malah, dia mewakili sekolahnya untuk sukan hoki di peringkat sekolah dan daerah selain aktif dalam pasukan pengakap.

Jelas beliau, selepas tamat tingkatan lima di sebuah sekolah harian di Segamat, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Australia dalam bidang perakaunan.

Bagaimanapun, ia terpaksa dibatalkan memandangkan ketika itu, bapanya sudah bersara sebagai penolong pengurus estet, manakala simpanan wang yang ada perlu digunakan untuk menyara persekolahan adik-adiknya yang lain.

Berhijrah



Radha bersama sebahagian plak penghargaan yang diterimanya dalam mengembangkan sukan dan aktiviti rekreasi di negara ini.

Disebabkan keinginan untuk melanjutkan pengajian masih menebal, dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

"Saya tinggal di rumah abang dan bekerja sebagai penjaga stor di sebuah gudang syarikat pembekal makanan di Kuala Lumpur.

"Saya juga pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat perubatan," katanya.

Menurutnya, selepas hampir setahun bekerja di situ, dia beralih arah dengan menceburi kerjaya baharu sebagai pemandu pelancong di sebuah syarikat pelancongan di Kuala Lumpur pada tahun 1977.

Katanya, selama tiga tahun bertugas sebagai pemandu pelancong, dia mula berasa seronok dengan kerjaya tersebut kerana mampu memperoleh pendapatan sekitar RM1,000 sebulan, satu jumlah yang agak lumayan pada ketika itu.

Tambahnya lagi, selepas memasuki tahun keempat bertugas sebagai pemandu pelancong, pihak syarikat kemudiannya membuka cawangan baharu di Pulau Pinang dan menawarkan jawatan sebagai pengurus cawangan kepadanya.

"Ketika itu, hati saya berbelah bagi sama ada ingin meneruskan impian untuk menyambung pengajian di Australia atau terus bekerja bagi mengembangkan kerjaya.

"Malah, pada masa itu juga, ramai kawan menasihatkan agar tidak menerima jawatan tersebut kerana gaji tetap yang ditawarkan lebih rendah berbanding pendapatan sebagai pemandu pelancong.

"Namun, atas dasar ingin meningkatkan potensi diri dan menimba pengalaman bertugas dalam bidang pentadbiran syarikat, saya sanggup mengorbankan pendapatan lumayan yang telah diraih ketika itu," katanya.

Jelas Radha, keputusannya untuk menerima tawaran tersebut dianggap sebagai tepat kerana selepas dua tahun bertugas di Pulau Pinang, syarikatnya mengembangkan perniagaan dengan membuka jabatan logistik di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan melantiknya sebagai pengurus bahagian tersebut.

Katanya lagi, dia berasa sangat bertuah kerana dengan pengalaman dalam bidang pengurusan, dia kemudiannya diberi kepercayaan sekali lagi oleh syarikat tersebut untuk menjadi pengurus bagi cawangan di Singapura yang dibuka pada tahun 1984.

Jelasnya, selama enam tahun bertugas di republik itu, dia mempunyai ramai kenalan yang terdiri daripada orang penting dalam pelbagai syarikat.

Tawaran kerja



RADHA merupakan orang yang bertanggungjawab membangunkan jenama UFL sehingga menjadi sebuah syarikat pembekal peralatan sukan dan rekreasi terkenal di negara ini.

Disebabkan reputasinya sebagai pengurus syarikat pelancongan sangat baik, dia kemudiannya ditawarkan untuk mengisi jawatan pengarah urusan UFL yang ketika itu beribu pejabat di Kuala Lumpur.

"Ketika itu, seorang pemegang saham UFL bertanyakan sama ada saya berminat untuk kembali bekerja di Malaysia dan menawarkan jawatan pengarah urusan kepada saya bagi menggantikan pengarah urusan ketika itu, Miss Poon yang akan meninggalkan jawatan tersebut.

"Selepas berbincang dengan isteri, saya kemudiannya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut dan segera pulang ke Kuala Lumpur untuk memulakan tugas baharu.

"Pada masa itu, saya sangat teruja kerana sebelum itu, saya dimaklumkan bahawa UFL merupakan syarikat yang membekalkan peralatan sukan dan ia sememangnya bidang kegemaran saya sejak di bangku sekolah," katanya.

Jelas Radha, ketika hari pertama memulakan tugas di UFL, dia sudah membayangkan bahawa ruang stor syarikat tersebut pasti dipenuhi pelbagai peralatan sukan seperti kayu hoki, bola, kasut dan pakaian sukan.

Namun katanya, sebaik dibawa masuk ke ruang stor, dia sangat terkejut kerana tiada sebarang kelengkapan sukan seperti yang dibayangkan melainkan peralatan gimnasium dan snuker.

Ketika itu katanya, dia mula terfikir untuk menolak jawatan berkenaan dan kembali bertugas dalam bidang pelancongan kerana dia tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan mengenai permainan snuker selain tidak tahu cara untuk mempromosi sukan tersebut.

"Bagaimana saya ingin bertugas sebagai pengarah urusan jika saya langsung tidak tahu mengenai snuker.

"Jika diingatkan kembali, ia sangat lucu kerana apa yang ada di situ tidak seperti yang saya gambarkan.

"Bagaimanapun, ia menjadi titik tolak kepada saya untuk mula bekerja keras bagi membina semula jenama UFL," katanya yang memberitahu ketika menyertai UFL pada tahun 1989, syarikat itu hanya ada kira-kira 10 orang kakitangan.

Namun katanya, ia tidak berlaku dengan mudah kerana pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya sebelum mampu membawa UFL untuk berdiri gah seperti hari ini.

Berbekalkan semangat yang tinggi untuk mengubah landskap perniagaan syarikat selain mendapat sokongan daripada kakitangan bawahannya, dia kemudiannya membawa UFL untuk menceburi bidang baharu iaitu berkaitan sukan, rekreasi dan aktiviti lasak serta memanah.

Selain bidang tersebut katanya, UFL turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan ketika itu untuk memperkenalkan dan mengembangkan tiga jenis sukan di negara ini iaitu gimnastik, lawnball dan memanah.

"Aktiviti sukan bermula pada 1 Januari dan akan berakhir pada 31 Disember setiap tahun. Ini bermakna, ia berlangsung sepanjang masa dan tidak bermusim.

"Oleh itu, permintaan terhadap keperluan dan peralatan berkaitannya sentiasa ada daripada pelbagai pihak.

"Apa yang penting, jika kita menjual barangan yang betul dengan harga yang betul, sudah pasti ia mendapat permintaan tinggi tidak kira daripada golongan pelajar sekolah mahupun orang dewasa. Ini kerana sukan dan aktiviti rekreasi disertai oleh semua orang tanpa mengira peringkat umur," katanya dengan menyifatkan perniagaan berkaitan bidang tersebut sememangnya menjanjikan keuntungan.

Hasil kerja kerasnya bersama kira-kira 100 kakitangan, UFL kini dilantik sebagai pembekal rasmi kepada lebih 30 jenama barangan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa dengan nilai jualan tahunan mencecah sehingga RM30 juta.