Masing-masing kelihatan segak berbaju-T pelbagai warna, berseluar slack dan berkasut sukan dengan membawa satu misi untuk menyempurnakan program Putra Komuniti 3.0 yang berlangsung selama dua hari.

Program berkenaan adalah untuk menyediakan infrastruktur yang lebih kondusif bagi kegunaan pelajar dan warga sekolah termasuk aktiviti menanam pokok, menyediakan bilik kaunseling dan bilik pengawas serta mengecat mural di kawasan sekitar.

Pengalaman

Salah seorang sukarelawan, Mohamad Haikal Zakaria, 22, berkata, pengalaman yang diperoleh sepanjang menyertai program berkenaan begitu berharga selain dapat turun padang dan melibatkan diri dengan komuniti setempat.

“Sebelum ini saya tidak pernah menyertai atau melibatkan diri secara langsung dengan program kesukarelawan.

“Apabila turun padang dan menyumbangkan tenaga, ia secara tidak langsung membentuk sifat kasih sayang dalam diri,” katanya yang ditemui Kosmo! di pekarangan sekolah berkenaan baru-baru ini.

Malah, anak bongsu daripada lima adik-beradik itu memberitahu, dia mempelajari cara untuk berkomunikasi dengan komuniti setempat dengan lebih berkesan.

Komuniti Putra 3.0 merupakan salah satu agenda utama UPM untuk melahirkan mahasiswa yang berminda kelas pertama selain menyahut seruan universiti iaitu 1 Kolej 1 Komuniti bagi menggalakkan mahasiswa bergiat aktif dalam program kesukarelawanan.

Bagi Farah Azman, 22, penat lelah sepanjang menjalankan program tersebut berbaloi apabila melihat hasil akhir yang diperoleh.

“Melukis bukan suatu perkara yang mudah kerana tidak semua orang memiliki kemahiran tersebut. Walaupun agak memenatkan, namun saya berasa puas kerana mural yang dihasilkan begitu cantik.

“Ia menuntut saya untuk lebih bersabar dalam menyelesaikan misi tersebut dan perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata,” ujarnya.

Anak jati Alor Setar, Kedah itu berkata, penglibatannya dalam program kesukarelawan sedikit sebanyak mengubah dirinya supaya lebih prihatin terhadap keperluan masyarakat sekeliling.

“Banyak perkara yang membuatkan kita tersedar apabila melibatkan diri dalam program sebegini.

“Kadang-kadang ia membuka mata kita untuk melihat masalah yang berlaku dalam konteks yang lebih luas dan mencari jalan penyelesaiannya,” katanya.

Pembangunan

Sementara itu, Nor Izzati Hussin, 23, berkata, dia dapat menambah kenalan daripada pelbagai latar belakang berbeza.

“Sebelum ini saya kurang bersosial kerana sifat malu yang menebal dalam diri. Saya tidak akan menegur orang lain, terutamanya mereka yang baru dikenali.

“Walaupun baru berkenalan, kami boleh bersatu untuk menyelesaikan misi yang sama iaitu menyumbang kepada masyarakat,” kata anak ketiga daripada lapan adik-beradik itu.

Pengarah Putra Komuniti 3.0, Alyssa Batrisyia Zainal Abidin berkata, program berkenaan bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar berkonsepkan ilmiah.

“Semangat kesukarelawan ini penting kerana mahasiswa adalah pelapis masa depan negara dan tanpa sifat ini, sukar untuk mereka memahami masalah-masalah yang berlaku di persekitaran,” katanya.

Menurut Alyssa Batrisyia, pemilihan SRA Sungai Ramal Dalam adalah untuk menambah baik keadaan persekitarannya agar lebih bersih dan selesa.

Justeru, Alyssa Batrisyia memberitahu, para pelajar sekolah berkenaan kini boleh meminjam buku mengikut sistem baharu yang telah dinaik taraf.

Jelasnya, bilik pengawas dan kaunseling juga telah diubah suai dengan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan pelaksanaan tugas dapat dilakukan dengan lebih sempurna.

“Hal ini menunjukkan bahawa kami telah memanfaatkan semaksimum mungkin kutipan dana daripada orang awam dan syarikat swasta demi pembangunan sekolah terbabit,” ujarnya.