Sikapnya yang bersahaja, mudah mesra dan bijak melontarkan ayat menunjukkan anak sulung daripada dua beradik itu begitu yakin dan tidak takut apabila berdepan dengan orang awam.

Memiliki badan kecil molek, siapa sangka Clarissa Chea Jean Lee sebenarnya baru berusia 11 tahun.

Kata Clarissa, didikan yang diperoleh di sekolahnya banyak membantu dia untuk berasa lebih yakin dan menonjol.

“Di Sekolah Cempaka banyak mengajar saya untuk menjadi diri sendiri. Saya bebas memilih dan melakukan apa yang saya suka serta minat.

“Jika dahulu saya berasa malu dan gementar apabila berhadapan dengan orang ramai, kini tidak lagi,” kata Clarissa ketika ditemui GenK pada Hari Terbuka Sekolah Cempaka, Kampus Cheras.

Menurut Clarissa, dia meminati bidang seni persembahan seperti berlakon, menyanyi, bermain muzik dan pengucapan awam.

Selaras dengan penekanan Sekolah Cempaka yang percaya seni persembahan mampu melahirkan pelajar yang berkualiti tinggi, Clarissa tidak ada masalah untuk kekal cemerlang pada setiap aktiviti seni yang diceburi.

“Bermain muzik seperti dram, piano dan ukelele adalah minat saya. Di sekolah ini saya diberi pendedahan yang meluas daripada guru-guru muzik.

“Saya berpeluang menunjukkan bakat pada setiap majlis persembahan anjuran sekolah. Pendedahan ini membantu saya untuk berasa yakin apabila berhadapan dengan orang ramai,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi pemuzik kepada kanak-kanak kurang bernasib baik apabila dewasa kelak.

Sekolah Cempaka dibuka pada tahun 1983. Pada asalnya, sekolah itu beroperasi di sebuah banglo yang disewa sebelum ia kemudian berkembang kepada pembukaan dua buah kampus berasingan iaitu di Damansara Heights dan Cheras.

Di kampus Damansara Heights, sekolah itu membawa silibus pembelajaran antarabangsa manakala di Cheras menggunakan silibus nasional.

Pengasas dan Mentor Kumpulan Sekolah Cempaka, Datuk Freida Mohd. Pilus berkata, mereka menekankan seni persembahan sebagai salah satu aktiviti penting dalam pembelajaran di kedua-dua buah sekolah tersebut.

“Seni persembahan adalah salah satu cara untuk mengasah kemahiran hidup selain dapat membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

“Dengan menyertai dan melakukan aktiviti berkaitan seni persembahan, ia dapat memupuk perasaan yakin dan percaya kepada diri sendiri,” ujarnya yang pernah merangkul anugerah Tokoh Guru Sekolah Swasta Kebangsaan pada tahun 2013.

Bakat seni

Tambahnya, untuk melahirkan pelajar yang berkualiti dan berjaya, guru termasuk ibu dan bapa mesti percaya pada bakat anak-anak mereka.

Oleh sebab itu, Sekolah Cempaka sentiasa memberi kelonggaran untuk anak muridnya memilih bidang seni yang diminati.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Seni Persembahan Cempaka (CPAC), Andrew Chan berkata, dia percaya setiap murid dan pelajarnya mempunyai bakat seni yang terpendam.

“Sebenarnya, pendedahan yang diperoleh menerusi aktiviti seni persembahan dapat membantu murid dan pelajar memantapkan kemahiran insaniah mereka.

“Kemahiran ini amat diperlukan supaya mereka lebih berkebolehan apabila berada di alam pekerjaan nanti,” ujarnya.

Pada April baru-baru, Sekolah Cempaka telah mempersembahkan sebuah pementasan teater muzikal Dames & Dimes yang mendapat penganugerahan di dalam Malaysia Book of Records sebagai teater 100 peratus dihasilkan oleh pelajar.