Salah seorang daripada pelajar itu, T. Ganeson, 17, terlibat dengan aktiviti mengecat dinding bangunan.

“Kami mengecat ruangan dalaman kampus mengikut bentuk dan lukisan di dinding.

“Sepanjang aktiviti mengecat, kami dibimbing oleh sukarelawan yang mesra dan tidak lokek menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui pada Hari Sukarelawan 3M di MySkills, Kalumpang baru-baru ini.

Yayasan MySkills merupakan sebuah organisasi yang berperanan membantu golongan remaja tidak bernasib baik dan memerlukan bantuan dengan menawarkan pelbagai latihan kemahiran.

Ujar Ganeson, antara perkara yang dipelajari sepanjang menyertai aktiviti tersebut adalah nilai kepimpinan dan kerjasama.

“Tugasan menyiapkan sesuatu yang tampak mudah seperti mengecat dinding juga memerlukan perancangan, kerjasama berpasukan dan kepimpinan,” jelasnya yang sudah empat tahun bersama MySkills.

Program Hari Sukarelawan 3M itu adalah salah satu usaha syarikat inovasi sains berkenaan menyantuni remaja yang tidak bernasib baik yang bernaung di bawah Yayasan MySkills.

Mereka dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk menyiapkan tugasan berkenaan.

Selain daripada aktiviti mengecat dinding, pelajar yayasan itu juga diajar menanam pokok dan permainan berasaskan sains.

Pada program itu, Pengarah Urusan 3M, N. Parameswaran mengambil peluang menceritakan kisah inspirasinya sebagai motivasi kepada para pelajar.

Seorang lagi pelajar, P. Piravin, 15, menyatakan keseronokannya terlibat sama dalam aktiviti berkenaan.

“Permainan sains itu melibatkan pelbagai cabaran seperti balloon inflater challenge, spider race challenge, save the egg challenge dan pass the cup challenge,” katanya.

Tujuan permainan adalah untuk membuat para belia terlibat berinteraksi antara satu sama lain selain menimbulkan minat mereka terhadap sains.

Metafora pokok

Jelas remaja itu, aktiviti menanam pokok pula mengajarnya nilai kehidupan sebatang pokok.

“Selepas ditanam, kita kena menyiram dan menjaga pokok itu dengan baik, barulah ia dapat membesar dengan sihat.

“Sama seperti manusia yang perlukan didikan yang baik untuk menjadi insan berguna kepada masyarakat pada masa hadapan,” ujarnya yang sedang mempelajari bidang elektrikal tahap satu di kampus tersebut.

Aktiviti berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada kumpulan pemenang.

Usia remaja adalah proses transisi yang akan dilalui semua orang. Namun, tidak semua bernasib baik untuk mengharunginya dengan lancar. Ramai antara remaja yang tercicir akibat pelbagai faktor antaranya masalah keluarga dan kemiskinan.

Keadaan tersebut menuntut perhatian khas diberikan kepada mereka. Selain menjadi tanggungjawab kerajaan, pihak korporat juga bersama-sama memikul tanggungjawab membantu golongan berkenaan.

Parameswaran berkata, atas kesedaran itu pihaknya menjayakan Hari Sukarelawan bersama MySkills yang melibatkan golongan remaja sedemikian.

“Seperti yang kita sedia maklum, pelajar di MySkills terdiri daripada golongan yang memerlukan.

“Kita mengadakan program seperti ini untuk memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan pihak luar bagi mengasah kemahiran insaniah mereka,” jelasnya.

Ujar Parameswaran, Hari Sukarelawan itu menumpukan aspek kepimpinan.

“Dengan sikap yang betul, mereka juga boleh berjaya walaupun tidak mendapat pendidikan yang sama seperti pelajar lain,” tambah Parameswaran.

Hari sukarelawan itu merupakan kesinambungan daripada program tanggungjawab korporat 3M yang bermula dua tahun lalu.