Kelihatan pelajar amat teruja apabila replika roket daripada botol yang dilancarkan itu mampu terbang sejauh 50 meter dengan sokongan alat pemancar roket.

Menurut pelajar SK Desa Pinggiran Putra, Ummi Aisyah Abdul Hadi, 12, kumpulannya mengambil masa hampir dua jam untuk menyiapkan roket itu kerana memerlukan penelitian dan mengikut proses yang diajar oleh cikgu.

“Pengorbanan masa yang lama itu berbaloi setelah melihat replika roket yang kami buat dapat terbang dengan jarak paling jauh berbanding kumpulan lain,” katanya ketika ditemui GenK di Planeterium Negara baru-baru ini.

Tambah Ummi Aisyah, selain pembuatan roket, dia dan rakan-rakannya dapat mempelajari lebih mendalam bidang sains terutamanya astronomi.

“Sebelum datang ke sini, saya kurang minat subjek Sains kerana ia agak susah untuk difahami tetapi setelah melihat alat-alat yang canggih digunakan oleh angkasawan dan teknologi sains, timbul perasaan mahu pelajarinya.

“Mungkin saya akan tukar cita-cita saya daripada seorang guru kepada ahli sains atau angkasawan wanita,” tuturnya sambil menikmati hidangan makanan tengah hari selepas aktiviti pelancaran roket berakhir.

Aktiviti lain

Pelancaran roket yang dibuat oleh 80 orang murid tersebut adalah salah satu aktiviti yang diadakan pada Program Citra Angkasa 2019 Siri 2.

Aktiviti lain adalah Tayangan Filem Angkasa Bumi, Bulan dan Matahari; Pencarian Harta Karun Planeterium dan Perkongsian Pengembaraan Angkasa bersama Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Sementara itu, Pengarah Program Bersama, Zurina Mahadi berkata, tujuan program tersebut adalah untuk memasyarakatkan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara holistik terutamanya kepada golongan pelajar.

“Sebenarnya amat perlu didikan daripada akar umbi untuk memupuk minat pelajar sejak dari kecil tentang sains. Sebab itu sasaran kami adalah peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Ramai pelajar beranggapan bidang sains susah kerana istilah yang digunakan dalam subjek tersebut agak rumit dan sukar fahami.

“Jadi, ini merupakan inisiatif Pusat Citra 5, Universiti Kebangsaan Malaysia (ukm) meningkatkan pemahaman mereka dalam bidang sains,” katanya.

Tambahnya yang juga Penyelaras Pusat Citra 5, UKM, program itu juga sebagai cara warga UKM berkongsi pengetahuan dalam bidang sains bersama pihak sekolah dan masyarakat.

Ia turut diakui guru SK Putrajaya Persint 16(2), Syairul Mus Azreen Mustafha, para pelajar menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut hasil program yang dianjurkan.

“Melalui cara pendedahan ini, pelajar lebih memahami tentang ilmu sains kerana mereka bukan sahaja mempelajarinya secara teori malah boleh merasai sendiri pengalaman mencipta roket.

Lebaran baharu

“Bagi saya, ia membuka lebaran baharu dalam teknik mempelajari ilmu sains melalui cara lebih santai dan menggunakan teknologi sedia ada.

“Bahkan, di Planeterium, mereka turut didedahkan dengan fasiliti yang kebiasaannya digunakan oleh ahli astronomi. Secara tidak langsung, mereka akan memahami manfaat bidang ini dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Katanya lagi, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk guru sekolah rendah memainkan peranan penting untuk memupuk minat murid dalam subjek sains sekali gus mendorong mereka memilih aliran berkenaan apabila berada di sekolah menengah.

“Paling menarik, program yang dilakukan mendapat sambutan daripada ahli keluarga pelajar masing-masing. Ada yang datang awal pagi untuk melihat anaknya mencipta roket.

“Penganjuran ini sekaligus memberi kesedaran kepada para ibu bapa bahawa aliran sains sebenarnya luas, bukan sekadar menjadi ahli astronomi semata-mata,” katanya.