Antaranya menerusi inisiatif yang dilakukan Persatuan Inovasi dan Penyelidikan Malaysia (MyRIS) yang menganjurkan pertandingan The 1st International Innovation, Creativity and Technology (i2CREATE) 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pertandingan tersebut memberi fokus kepada penciptaan dan pembudayaan inovasi berteraskan agenda Masyarakat 5.0.

Dalam pertandingan tersebut, Najidah Humairah Mohd. Najmuddin, 12, dari Sekolah Kebangsaan Sena, Kangar, Perlis dinobatkan selaku penerima cilik Ikon MyRIS bagi kategori Sekolah Rendah.

Menurut Najidah Humairah, minatnya terhadap penciptaan inovasi dan penyelidik sudah bermula ketika berumur tujuh tahun.

“Aktiviti penciptaan inovasi dan penyelidikan bagaikan sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian saya.

“Timbul rasa seronok apabila produk yang diilhamkan berjaya memperoleh pingat emas serta anugerah khas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan lebih membanggakan apabila produk yang dihasilkan khusus untuk menyelesaikan permasalahan dalam kehidupan orang ramai,” ujarnya.

Menceritakan permulaan penglibatannya, Najidah Humairah berkata, dia bermula lima tahun lalu bersama-sama kakaknya, Najihah Humairah, 14, menyiapkan projek penyelidikan “Kids Compost” iaitu penghasilan baja daripada sisa makanan untuk menyertai Pertandingan Malaysian Agricultural Invention Show (MAGIS 2014).

“Dari situ, saya terus mengorak langkah dalam bidang ini dan sehingga kini telah meraih lebih 30 pingat emas dan enam pingat perak.

“Saya turut menerima lebih 20 anugerah khas penyelidikan dari beberapa negara dan institusi di seluruh dunia antaranya Taiwan, Indonesia, Hong Kong dan Kanada,” tuturnya.

Tambah Najidah Humairah, penglibatan dalam aktiviti penciptaan inovasi dan penyelidikan, secara tidak langsung membolehkan para pelajar menguasai pengucapan awam memandangkan dalam setiap pertandingan pelajar perlu membentangkan hasil penyelidikan untuk dinilai oleh pihak juri.

“Saya tak nafikan perasaan gementar itu wujud sewaktu kali pertama membentangkan hasil ciptaan inovasi, tetapi lama kelamaan perasaan gementar itu bertukar menjadi sesuatu yang menyeronokkan,” jelasnya.

Geran aktiviti

Selain itu, Farisa Soleha Mohd Arfa’a daripada Kolej Vokasional Pertanian, Teluk Intan, Perak dan Nurul Athikah Azizan daripada Universiti Teknologi Mara, Permatang Pauh turut menerima pengiktirafan Ikon Inovasi bagi kategori sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Kesemua pemenang Ikon Inovasi menerima geran berupa yuran penyertaan i2CREATE 2021, plak dan sijil.

Sementara seramai 31 guru dan pensyarah dari seluruh negara pula menerima pengiktirafan Mentor Inovasi berupa plak, pingat dan sijil.

I2CREATE juga mendapat kerjasama penganjuran daripada Kementerian Pendidikan, World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) dan Universiti Malaysia Perlis.

Presiden MyRIS, Datuk Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, penganjuran i2CREATE menyasarkan golongan masa hadapan iaitu murid sekolah rendah, menengah dan pelajar universiti.

“Pertandingan ini menyaksikan penglibatan 53 produk institusi pendidikan dari 11 buah negara luar antaranya Indonesia, Korea, Taiwan dan Kemboja,” ujarnya.

“Menariknya, penyertaan 30 produk yang dipertandingkan adalah di bawah kategori sekolah rendah, 95 produk kategori sekolah menengah manakala 66 produk dalam kalangan pelajar IPT,” katanya.

Tambah Kamaruddin, program sebegini mendedahkan orang ramai terutamanya belia dengan istilah-istilah telefon pintar, rumah pintar, kereta pintar dan pelbagai lagi elemen pintar yang seterusnya akan memberi kesan kepada masyarakat.

Beliau turut memberitahu, mulai tahun ini, MyRIS akan menyediakan geran aktiviti berjumlah RM3,000 untuk setiap mata pelajaran, bagi membolehkan lebih banyak aktiviti penyelidikan dan penciptaan inovasi dijalankan.