"Kalau hendak melintas jalan di depan sekolah perlu lebih berhati-hati. Kereta banyak malah motosikal pelajar sekolah pun boleh tahan banyak," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada program Advokasi #slowdown di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 dalam aliran sains itu memberitahu, kedudukan sekolahnya yang terletak di tepi jalan raya utama Dengkil membuatkan dirinya sudah lali dengan kesesakan sepanjang lima tahun menuntut ilmu di sekolah berkenaan terutama pada waktu puncak.

"Saya boleh menunggang motosikal tetapi tidak dibenarkan oleh ibu kerana belum memiliki lesen.

"Saya pasti ramai rakan sekolah yang tidak mempunyai lesen tetapi membawa motosikal ke sekolah kerana tinggal berdekatan sekolah. Lebih merisaukan, ada antara mereka yang tidak memakai topi keledar dan menunggang motosikal dengan laju," luahnya yang merupakan anak kepada guru Pendidikan Seni dan bahasa Melayu di sekolah itu.

Pupuk kesedaran

Menyedari permasalahan keselamatan pengguna jalan raya ekoran bilangan kes kemalangan yang semakin meningkat saban hari, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Kementerian Pengangkutan telah menjayakan program Advokasi #slowdown bersempena Minggu Keselamatan Jalan Raya Global baru-baru ini.

Program itu turut menerima kunjungan lebih 120 wakil daripada 67 buah pertubuhan seluruh dunia yang bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO). Ia termasuk Perikatan Global Keselamatan Jalan Raya (The Alliance) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Mereka terlibat secara langsung dengan NGO di negara masing-masing dalam aspek keselamatan jalan raya.

Selain pengisian program yang telah dirangka pihak Miros dan JKJR, sekolah tersebut tidak terkecuali menggalakkan penglibatan para pelajar dalam program berkenaan.

Antara aktiviti menarik yang menjadi tumpuan para pelajar termasuk pertandingan melukis poster bertemakan keselamatan jalan raya dan terbuka kepada pelajar tingkatan lima, satu dan dua.

Harapan



Sebahagian delegasi daripada The Alliance turut serta membuat garisan keselamatan dalam Program Advokasi #slowdown di SMK Dengkil, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Anis Damirah tidak terkecuali merebut peluang menyertai pertandingan melukis tersebut untuk menterjemah isi hatinya berhubung keselamatan jalan raya.

"Saya memilih untuk melukis penunggang motosikal berbilang kaum yang lengkap memakai topi keledar sedang melintas jalan melalui lintasan kuda belang.

"Ia merupakan simbolik kepada pemandangan yang dilihat setiap hari di hadapan sekolah ini," jelasnya.

Dia memberitahu, pemilihan lukisan tersebut merupakan harapannya agar pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

Katanya, dia menaruh harapan terutama penunggang motosikal agar menggunakan topi keledar bagi memastikan keselamatan mereka terus terjamin apabila menggunakan jalan raya.

"Biarpun negara ini memiliki masyarakat berbilang bangsa, saya ingin menyampaikan melalui lukisan ini bahawa teras penggunaan jalan raya tetap sama iaitu mematuhi undang-undang ditetapkan pihak berkuasa.

"Saya berharap lebih ramai yang menghargai nyawa mereka apabila menggunakan jalan raya," ujarnya.

Anis Damirah yang tidak terpilih memenangi tiga tempat terbaik dalam pertandingan lukisan berkenaan tetap berasa gembira.

Ia berikutan lukisan berkenaan tercalon antara 20 lukisan terbaik sekali gus menjadi tatapan delegasi luar negara yang menghadiri program berkenaan apabila ditampal pada papan kenyataan sekolah itu.

Sementara itu, guru Pendidikan Seni dan bahasa Melayu SMK Dengkil, Sariani Yusof, 53 memberitahu, kebebasan penuh diberi kepada pelajar untuk memilih konsep lukisan mereka berdasarkan tema yang diberikan.

"Berdasarkan pemerhatian terhadap 50 buah lukisan yang dihantar pada hari Isnin lalu, saya mendapati pelajar-pelajar memahami topik yang cuba diketengahkan dan mempunyai kesedaran untuk menjaga keselamatan di jalan raya.

"Antara elemen yang disandarkan pada lukisan mereka ialah penggunaan lintasan kuda belang, pemakaian topi keledar, simbol trafik dan akibat buruk mengabaikan aspek keselamatan apabila berada di jalan raya," jelasnya yang bertindak sebagai urus setia pertandingan melukis.

Pada program itu juga, pelajar dan guru telah diberi ceramah oleh pegawai JKJR mengenai kepentingan menitikberatkan keselamatan sewaktu berada di jalan raya bagi mengelakkan berlakunya nahas yang tidak diingini.

Antara pengisian yang disampaikan pada hari tersebut ialah perkongsian tip memilih topi keledar dan pemakaian tali pinggang keselamatan dengan betul.

Peluang timba ilmu

Bertindak sebagai jurugambar sekolah pada hari itu, A. Gayathri, 17, pula menzahirkan keseronokannya kerana diberi peluang untuk bertemu dengan delegasi luar negara.

"Saya teruja kerana dapat berjumpa dan bertukar pendapat dengan wakil pelbagai negara yang menyertai program ini. Mereka merupakan dari negara India, Australia, Filipina, England dan Afrika.

"Mereka sangat ramah walaupun masing-masing memegang jawatan hebat di negara sendiri. Apabila ditanya adakah saya mengamalkan keselamatan jalan raya, pastinya saya menjawab ya," ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Selain mengetip butang lensa, gadis petah itu juga tidak melepaskan peluang berkongsi keunikan negara ini dengan delegasi luar negara terutama makanan lazat cita rasa rakyat berbilang kaum.

Apabila ditanya tentang maklum balas yang diperolehnya sepanjang program tersebut, wartawan muda sekolah itu memberitahu, pelajaran paling bermakna ialah tip memilih topi keledar dengan betul.

"Saya baru mengetahui kebanyakan topi keledar yang terdapat di pasaran ialah jenis ringan yang tidak mampu menahan impak hentakan kuat.

"Selepas melihat demonstrasi menghentak dua topi keledar dan salah satu daripadanya pecah pada bahagian atas, secara automatik saya membayangkan tahap kecederaan kepala dialami mangsa kemalangan," ujarnya lagi.

Dia turut berasa takut dan ngeri membayangkan kemalangan membabitkan penggunaan topi keledar ringan tersebut.

Menanam impian bergelar petugas media pada suatu hari nanti, Gayathri memberitahu, jika ditakdirkan suatu hari dia akan menunggang motosikal, perkara pertama yang akan dibuat ialah memilih topi keledar bersesuaian demi keselematan diri.

"Jalan raya merupakan medan perang yang misteri. Kita tidak tahu nasib dan pengakhiran yang menanti dalam setiap pertempuran.

"Langkah terbaik yang boleh diambil ialah dengan sentiasa menanam sifat berhati-hati di dalam diri apabila menggunakan jalan raya," tuturnya penuh pemahaman.