Para peserta Pertandingan Olimpiad Standard Kebangsaan 2018 sibuk berbincang untuk menyelesaikan cabaran merangka portfolio dan menghasilkan produk prototaip yang mampu menyelesaikan permasalahan pematuhan standard.

Sebanyak 15 pasukan finalis dari seluruh negara yang terdiri daripada kategori menengah rendah dan atas itu perlu meyakinkan panel juri dengan cadangan idea yang berbeza dan luar biasa.

Malah, produk prototaip yang dihasilkan juga perlu memenuhi ciri-ciri standard iaitu keselamatan, kesihatan dan mesra alam.

Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari anjuran Jabatan Standard Malaysia itu adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan pengetahuan generasi muda mengenai standard dan pematuhan seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Model pagar

Kelebihan akhirnya berpihak kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Terengganu apabila diumumkan menjuarai Pertandingan Olimpiad Standard Kebangsaan 2018.

Kemenangan tersebut membolehkan mereka berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi, pingat, sijil penghargaan dan hamper.

Salah seorang pemenang kategori menengah atas daripada Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Terengganu, Ahmad Ezham Eskandar Ezani, 16, berkata, projek prototaip pagar automatik yang dihasilkan pasukannya adalah mengambil kira ciri-ciri standard yang telah ditetapkan.

“Kami mengaplikasikan model pagar automatik di pasar raya sebagai produk prototaip tetapi mengubah suai kegunaannya di kawasan perindustrian dengan menitikberatkan aspek keselamatan dan fungsinya.

“Hanya pekerja industri sahaja dibenarkan masuk menggunakan kawalan keselamatan yang ketat dan pagar automatik ini dikawal oleh pengawal keselamatan,” katanya yang ditemui Kosmo! di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, pertandingan berkenaan menguji ilmu pengetahuannya mengenai sains dan teknologi dalam menghasilkan sesuatu produk yang memenuhi ciri-ciri standard.

Ujar Ahmad Ezham Eskandar, setiap pasukan hanya diberi bahan teknikal seperti wayar, bateri, papan kayu, set gear, mikro suis, lampu, motor, zink dan mereka perlu memaksimumkan penggunaan bahan tersebut sebaik mungkin.

“Ia tidak mudah tetapi masing-masing cuba menyumbangkan kepakaran untuk menghasilkan idea luar biasa.

Cabaran

“Ilmu fizik dan matematik dimanfaatkan sebaik mungkin. Setiap ahli akan memberi pandangan masing-masing dan kami membuat ujian pada produk berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli pasukan, Aiman Hafizi Ridzuan, 16, mengakui bahawa, semangat pasukan yang tinggi menjadi kata kunci kejayaan mereka dalam pertandingan tersebut.

Cerita anak bongsu daripada lima beradik itu, masing-masing mengetepikan perbezaan dan mengamalkan konsep tolak ansur dalam setiap tugasan yang diberikan.

“Cabaran utama yang kami perlu tempuhi ialah memahami konsep standard kerana setiap ahli pasukan mempunyai pemahaman pendefinisian yang berbeza.

Cerita Aiman Hafizi, pandangan yang dipersetujui itulah yang memandu perjalanan penghasilan produk prototaip mereka sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara.

Aiman Hafizi berkata, tanpa sikap tolak ansur daripada ahli pasukan agak mustahil setiap keputusan dapat dilakukan dengan mudah seterusnya menghasilkan produk prototaip yang memenuhi ciri-ciri standard.

Jambatan

Ahli pasukan SBP Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang, Farhah Batrisyia Abdul Rahim, 15, pula menjelaskan, pertandingan tersebut berjaya menyerlahkan kreativiti pasukannya menghasilkan jambatan sistem hidraulik yang bergantung kepada tekanan air.

Anak kedua daripada empat beradik itu memberitahu, pasukannya berjaya menyiapkan produk berkenaan dalam tempoh empat jam dengan bantuan fasilitator.

“Kami masih belum mempelajari sistem hidraulik kerana silibus ini ada dalam subjek Fizik di tingkatan empat.

“Bagaimanapun, setelah diberikan penjelasan oleh fasilitator kami mula mendapat rentak dan berjaya mengetengahkan kreativiti yang ada ke dalam produk prototaip,” katanya.

Cerita anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu, beberapa pengubahsuaian dilakukan pada saat-saat terakhir bagi memastikan jambatan yang dihasilkan berfungsi dengan baik.

Farhah Batrisyia memberitahu, dia dan ahli pasukannya menghasilkan dua tingkat jambatan bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas bagi mempamerkan kreativiti mereka. Kekemasan produk juga amat dititikberatkan termasuk memastikan penghasilan jambatan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Seorang lagi ahli pasukan, Nur Amalina Diyana Azman, 15, berkata, pertandingan itu berjaya melatih dirinya untuk lebih berani dan yakin dalam membuat pembentangan.

“Sebelum ini, saya agak gugup untuk berdepan dengan rakan-rakan sekelas hari ini saya belajar cara-cara untuk mengawal ketakutan tersebut.

“Sebenarnya rasa gugup itu berada dalam kawalan kita dan yang paling penting ialah persediaan sebelum membuat pembentangan,” katanya.

Ketua Pengarah, Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata, pertandingan itu merupakan kali kedua dianjurkan selepas tahun 2013 bagi memupuk generasi muda yang celik kualiti.

“Kita sedar bahawa untuk memupuk generasi muda yang celik kualiti perlu bermula dari peringkat akar umbi. Justeru, kita berusaha untuk menerapkan nilai-nilai kualiti dalam kehidupan seharian mereka menerusi pertandingan sebegini,” ujarnya.

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Terengganu menjuarai Pertandingan Olimpiad Standard Kebangsaan 2018 menewaskan 13 pasukan lain dari seluruh negara.