Mengenakan pakaian sukan, para peserta yang terdiri daripada pelajar dan orang awam bersedia untuk memulakan Larian Sawah Pondok Motivasi Hamlatul Quran (PMHQ) yang merupakan program utama dalam projek SMARTLead2019 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

Acara larian itu melibatkan 300 orang meliputi pelajar UPM, pelajar tahfiz PMHQ selain penduduk sekitar di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.

PMHQ merupakan institusi pondok tahfiz swasta di Tanjong Karang yang menumpukan pembelajaran hafazan al-Quran dan dakwah.

Riak wajah para peserta menunjukkan keterujaan. Barang kali mereka tidak sabar untuk berlari dan menikmati kehijauan sawah padi dalam larian sejauh 4.5 kilometer itu.

Larian Sawah PMHQ itu dilangsungkan sebagai salah satu acara komuniti dalam projek SMARTLead2019 tersebut. Projek SMARTLead2019 di kampung itu berlangsung selama tiga hari dua malam.

Menerusinya, pada pelajar yang terlibat turut melaksanakan pelbagai aktiviti dalam usaha mengasah bakat kepimpinan pelajar dan kebolehan mendampingi masyarakat.

Projek yang bertemakan Masa Depan Bermula Sekarang itu merupakan anjuran gabungan dua buah kolej UPM yang disertai 70 pelajar berpotensi menjadi pemimpin serta 65 orang pelajar tahfiz.

Pengarah Program Bersama, Ahmad Solahuddin Ahmad Samsuddin berkata, penganjuran projek SMARTLead2019 itu juga bertujuan merapatkan hubungan antara Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dan Kolej Kelima UPM (KKU), UPM.

“Kami baru saja digabungkan pada tahun ini di bawah satu pimpinan. Jadi, ini merupakan inisiatif terbaik untuk kami memantapkan jalinan ini.

“Melaluinya kami dapat mewujudkan semangat kekitaan dalam kalangan pimpinan pelajar kolej kelak dalam merangka perancangan aktiviti kolej,” katanya ketika dihubungi GenK baru-baru ini.

Rewang

Menurut Ahmad Solahuddin, 23, penyertaan para pelajar dalam SMARTLead 2019 itu sekali gus membuka ruang penilaian lebih terbuka kepada pihak pengurusan kolej dalam membuat pemilihan kepimpinan tertinggi pelajar.

Jelas Ahmad Solahuddin yang juga merupakan pelajar jurusan Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) UPM, pihaknya memilih untuk berganding dengan PMHQ serta melibatkan penyertaan pelajar pondok kerana projek ini turut menerapkan nilai-nilai kerohanian dan insaniah.

Bagi pelajar jurusan Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling), Sri Md. Jaini, 24, daripada kolej KTDI berkata, program itu dapat meningkatkan lagi ilmu kepimpinan dalam dirinya.

“Sebelum ini, saya hanya menyertai program di universiti sahaja. Melalui projek ini, ia membuka mata saya untuk membantu orang awam dalam aktiviti komuniti,” katanya.

Sri menambah, salah satu acara yang memberi kesan kepada dirinya adalah rewang bersama penduduk kampung kerana ia memerlukan kerjasama yang utuh untuk menjayakan kenduri itu.

“Dari situ, para peserta boleh berkomunikasi dengan penduduk kampung, mempelajari masakan tradisional dan menyemai sikap tolong-menolong,” tuturnya.

Sementara itu, Pengetua Kolej KTDI dan KKU, Profesor Dr. Sidek Ab. Aziz memberitahu, projek itu dapat memberi pendedahan berorganisasi, meningkatkan kemahiran komunikasi dan sikap kerjasama sebagai satu pasukan dalam kalangan pelajar.

Menurut Sidek, para peserta melakukan khidmat komuniti secara langsung atau mengejut.

“Antara projek komuniti yang disumbangkan pelajar UPM kepada institusi pondok dan kampung ini adalah projek Pondok Cafe, perpustakaan mini, kerusi santai, mural, menaik taraf gelanggang futsal dan rewang kenduri-kendara.

“Kami bahagikan mereka kepada empat kumpulan besar yang dinilai dari segi pengetahuan kerja dan produktiviti, kecekapan serta tingkah laku sepanjang menjalankan setiap tugas yang diberikan,” ujarnya.

Katanya, lebih menarik lagi setiap peserta akan dinilai sepanjang program oleh perunding luar yang terlatih dan profesional.

Menerusi aktiviti yang dilakukan, Sidek berkata, pihak pengurusan kolej serta universiti dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para pemimpin kampus muda UPM.

“Segala ilmu dan pengalaman yang mereka dapat diharapkan boleh menyumbang kepada pembangunan universiti,” tuturnya.