SEAWAL pukul 8 pagi, Zuyyin Muhammad Juhari, 25, bersama beberapa rakannya sudah bersiap sedia untuk melaksanakan kerja-kerja amal membersihkan beberapa rumah penduduk di Kampung Sri Indah B yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

Walaupun sudah biasa dengan aktiviti kesukarelawan, namun pelajar tahun akhir Program Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu tetap bersemangat untuk melakukannya dengan sebaik mungkin.

Selepas selesai sesi taklimat, dia bersama rakan-rakan sekuliahnya dibahagikan kepada dua kumpulan dan mula bergerak ke dua buah rumah asnaf yang telah dikenal pasti untuk menjalankan aktiviti gotong-royong.

“Hari ini kami perlu membersihkan dua buah rumah asnaf yang telah dipilih oleh jawatankuasa penduduk kampung di sini.

“Saya sangat gembira dapat menyumbangkan tenaga dalam program ini kerana ia merupakan aktiviti kegemaran saya,” katanya yang turut ditugaskan sebagai penyelaras bagi memastikan aktiviti tersebut berjalan dengan lancar.

Katanya, walaupun terpaksa bermandi peluh melakukan aktiviti tersebut, namun ia memberi kepuasan kerana aktiviti kesukarelawanan sudah sebati dalam dirinya.

Program yang dikenali sebagai Jejak Ansaf itu merupakan kesinambungan daripada program Be Educated, Be Safe anjuran pelajar separuh masa program pengajian tersebut yang telah dilaksanakan pada 18 November lalu di Kolej Vokasional Sungai Buloh.

Menurut Ketua Projek, Zurina Md. Noor, selain pelajar program pengajian tersebut, program amal itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Pendidikan Neo (iNED) UiTM selain kelab motosikal berkuasa tinggi 1TNB Kilat Bikers.

“Selain bertujuan meningkatkan kemahiran dalam berkomunikasi dengan anggota masyarakat, kami juga dapat menerapkan semangat kesukarelawanan di dalam diri agar sentiasa prihatin dengan nasib mereka yang kurang bernasib baik.

“Nilai murni seperti ini seharusnya ada dalam setiap mahasiswa institusi pengajian tinggi dan perlu diterapkan sepanjang pengajian agar ia dapat terus dilaksanakan dari semasa ke semasa walaupun selepas tamat pengajian nanti,” katanya yang juga merupakan pelajar program pengajian tersebut.

Sumbangan

Jelas Zurina lagi, selain melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran rumah, mereka turut memberi sumbangan kepada lima penerima ansaf yang terpilih.

Ia termasuklah katil, tilam, cadar, langsir, tikar getah dan kelengkapan rumah bagi membolehkan penerima menjalani kehidupan yang lebih selesa bersama keluarga masing-masing.

Katanya lagi, kesemua sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan derma para pelajar program pengajian berkenaan selain sumbangan daripada pelbagai pihak lain.

Wakil 1TNB Kilat Bikers, Azian Alias, 43, pula berkata, dia turut teruja kerana diberi peluang melibatkan diri dalam program amal seperti itu.

“Seramai kira-kira 15 ahli kelab telah turun padang bagi membantu pelajar UiTM menjayakan program amal ini.

“Kami sememangnya kerap melibatkan diri dalam program seperti ini dan apabila diberi kesempatan, sudah semestinya kami tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya.

“Walaupun minat kami terarah kepada menunggang motosikal berkuasa tinggi secara berkonvoi tetapi ini juga merupakan salah satu aktiviti yang sentiasa kami lakukan terutama bagi membantu golongan kurang bernasib baik,” katanya.

Pendedahan

Beliau yang juga Pengerusi TNB Perak Bikers berkata, pihaknya turut menyerahkan sumbangan kepada lima asnaf yang terpilih pada program tersebut hasil sumbangan ahli kelab terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Program Pengajian Perhubungan Awam fakulti tersebut, Shira Haniza Yaakop berkata, aktiviti amal tersebut merupakan sebahagian daripada program berorientasikan komuniti yang wajib dilakukan oleh para pelajarnya yang berada pada tahun akhir pengajian.

“Ia sebagai pendedahan awal kepada mereka untuk meningkatkan komunikasi dan hubungan dengan anggota masyarakat.

“Diharapkan program amal seperti ini dapat memberi impak yang positif kepada komuniti setempat, organisasi yang terlibat selain golongan mahasiswa itu sendiri,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada lima asnaf terpilih dari kampung tersebut.

Bagi Esah Md. Diah, 75, tiada apa yang dapat diungkapkan selain ucapan terima kasih kepada kumpulan sukarelawan tersebut yang telah bertungkus lumus mengindahkan kediamannya.

“Selama saya tinggal di kampung ini, inilah kali pertama ada pihak yang datang membersihkan rumah saya secara bergotong-royong, selain turut memberikan sumbangan pelbagai barangan keperluan.

“Saya benar-benar terharu. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka,” katanya yang tinggal berseorangan sejak kematian suami kira-kira 20 tahun lalu.

Tambah warga emas itu lagi, dia lebih selesa tinggal sendirian walaupun enam anaknya kerap mengajaknya duduk bersama mereka.