Keadaan waktu malam juga meriah apabila ramai pelajar mula memenuhi kawasan pekarangan di hadapan pejabat pengurusan bagi menyaksikan pertandingan Battle of Buskers yang dianjurkan oleh KUPTM Majlis Amanah Mara (Mara).

Seramai lapan kumpulan daripada KUPTM seluruh Malaysia mengambil bahagian termasuk enam kumpulan daripada luar pada acara pertandingan yang bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam pada 15 dan 16 April lalu.

Pada pertandingan yang julung-julung kali diadakan itu, kumpulan Gulana Sinar Busker daripada KPTM Kota Bharu dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500 beserta trofi.

Tempat kedua dimenangi kumpulan D’Akasia daripada KPTM Kuantan dan menerima hadiah wang tunai RM2,000 beserta trofi.

Wakil kumpulan Gulana Sinar Busker, Zulfahmi Zuriza, 23, berkata, pasukannya cuba menitikberatkan komposisi, kreativiti dan kemahiran teknikal dengan memasukkan instrumen muzik tradisional seperti gambus.

“Dalam industri muzik, kebanyakan artis sering mengetengahkan instrumen moden seperti piano dan biola tetapi lupa dengan kekayaan alat-alat muzik tradisional yang kita miliki.

“Ia bukan tidak bagus tetapi lebih baik kita ketengahkan keunikan warisan untuk tatapan dunia,” katanya ketika ditemui GenK baru-baru ini.

Anak muda daripada Fakulti Pendidikan itu menambah, kekuatan mereka bukan sahaja terletak pada alat muzik tetapi gaya persembahan dan pakaian.

“Kami sengaja mewujudkan suasana ceria dengan pemakaian baju tradisional yang bercorak dan berwarna-warni.

Serlah bakat

“Biarpun agak susah tetapi kami terpaksa mencari kelainan daripada kumpulan lain bagi mencuri tumpuan juri pertandingan dan penonton,” ujarnya yang tidak pulang ke kampung semasa cuti semester semata-mata untuk berlatih bagi menyertai pertandingan tersebut.

Pertandingan tersebut diadili oleh tiga orang juri tetap dan dua orang juri jemputan.

Turut menyertai pertandingan itu ialah KUPTM Buskers daripada KUPTM A, The Eleventh Hour (KUPTM B), The Last Minute Band (KPTM Batu Pahat), Nostalgia Band (KPTM Ipoh) The Bachelor (KPTM Bangi) dan Humming Buskers (KPTM Alor Setar).

Sementara itu, Timbalan Pengerusi program, Wan Mohd. Wan Daud berkata, pertandingan tersebut menjadi platform kepada pelajar-pelajar KPTM dan KUPTM yang berminat dan berbakat dalam bidang muzik untuk menyerlahkan bakat mereka.

“Ia turut meningkatkan penyertaan pelajar dalam mengendalikan dan menguruskan program yang melibatkan institusi luar selain meraikan kedatangan pihak luar sekali gus mempromosikan gaya hidup kampus KUPTM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Bersama Program Pertandingan Battle of Buskers, Mohd. Jazlin Jabaruddin memberitahu, sebagai pelajar, peluang sedemikian perlu digunakan bagi menonjolkan bakat terpendam dan tidak semata-mata menumpukan perhatian pada bidang akademik.

“Kehidupan seimbang pelajar perlu dipenuhi juga dengan nilai-nilai serta aktiviti-aktiviti sihat dalam membina kendiri dan sahsiah pelajar,” jelasnya.