Walaupun memiliki tubuh badan yang kecil, dia mampu melakukan pelbagai aksi dengan menggunakan tali yang lebih panjang daripada ketinggiannya itu.

Anak keempat daripada lapan beradik itu mula menceburkan diri dalam sukan lompat tali kira-kira empat tahun lalu.

“Pada mulanya, saya terlihat satu video permainan lompat tali di YouTube kemudian tertarik pula mahu mencuba.

“Selepas mencuba, saya rasa seronok lebih-lebih lagi apabila dapat tahu dengan sukan ini ia membantu menyihatkan badan,” ujarnya ketika ditemui GenK di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya yang berasal dari Rawang, Selangor, ketika bermain lompat tali, dia juga ada merakamkan video dan memuat naiknya menerusi laman Instagram. Setelah itu, baru dia tahu yang sukan tersebut juga mempunyai komuniti yang agak besar di luar negara.

Menerusi perkongsian di laman sosial juga, Nor Syahida berpeluang mengenali ramai golongan belia di negara ini yang meminati aktiviti lompat tali.

Ujar wanita yang sedang melanjutkan pelajaran dalam jurusan perniagaan di Politeknik Shah Alam itu, melalui perkenalan tersebut mereka sepakat menubuhkan sebuah komuniti dikenali Jump Rope Malaysia (JRM).

“Walaupun JRM baru sahaja ditubuhkan pada 7 April lalu, namun kami sudah mempunyai lebih daripada 500 pengikut di laman Facebook.

“Ahli kumpulan JRM terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia. Masing-masing menceburkan diri dalam sukan ini atas sebab dan minat yang tersendiri,” tuturnya.

Bagi Nor Syahida, dia menganggap lompat tali juga membantunya mengurangkan tekanan semasa belajar.

Ujarnya, apabila berasa stres dia akan mengambil tali dan melompat di kawasan parkir rumah.

Katanya, disebabkan sukan itu tidak memerlukan ruang yang besar asalkan boleh melompat dengan selamat, jadi ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Kardiovaskular

Di samping itu, aktiviti lompat tali juga tidak memerlukan ahli kumpulan atau berpasangan. Justeru itu, ia boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian diri dan masa individu itu sendiri menggunakan tali yang lazimnya bersaiz panjang lebih 2 meter.

Dalam pada itu, terdapat pelbagai gaya lompat tali. Contohnya melompat ke kiri dan kanan, setempat atau sambil bergerak. Lompatan juga boleh dilakukan dengan ayunan tali dari hadapan atau belakang.

Lompat tali merupakan senaman yang baik untuk meningkatkan daya tahan kardiovaskular. Ia juga boleh membantu mengekalkan atau menurunkan berat badan berlebihan.

Berdasarkan fakta pada Facebook kumpulan tersebut, satu kajian mendapati selepas melakukan 10 minit senaman lompat tali setiap hari selama enam minggu, tahap kesihatan kardiovaskular individu itu dapat diperbaik menyamai mereka yang berjoging 30 minit sehari.

Menurut salah seorang ahli JRM, Muhammad Farisz Abd. Malek, 23, sukan itu telah membantunya mendapatkan berat badan yang ideal.

“Dahulu semasa tinggal di rumah Pulau Pinang, saya dan keluarga gemar berbasikal bersama-sama tetapi sejak melanjutkan pelajaran, membawa bersama basikal bukan satu idea praktikal.

“Jadi saya memilih untuk melakukan senaman lompat tali kerana boleh dilakukan di kawasan kampus sahaja,” ujarnya yang sedang melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT).

Kata Muhammad Farisz lagi, walaupun sukan itu nampak mudah tetapi sebenarnya jika mahu menurunkan berat badan, ia memerlukan disiplin yang tinggi.

“Saya mencabar diri dengan melakukan 10 set lompatan setiap hari selama sebulan. Setiap set itu saya akan lompat dalam tempoh 30 saat dan berhenti 15 saat. Saya ulanginya sehingga cukup 10 set.

“Alhamdulillah berat badan saya turun daripada 85 kilogram (kg) kepada 80kg tanpa saya perlu menyekat pengambilan makanan,” terangnya.

Tambahnya, menyertai kumpulan JRM membantu dia mempelajari lebih banyak kebolehan dan teknik melompat, selain bertukar informasi dengan ahli kumpulan yang lain.

Ujarnya, komuniti itu sering mengadakan perjumpaan untuk berlatih dan bersenam bersama.

“Sesiapa sahaja boleh menyertainya. Kami merancang untuk mengembangkan lagi bilangan ahli JRM.

“Mana tahu akan ada antara kami yang dapat menyertai pertandingan sukan lompat tali di peringkat kebangsaan atau antarabangsa kelak,” katanya.