Galeri Gadis Buku yang bertempat di Dekat Event Space, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur menjadi tempat persinggahan Muhd. Nabil dan rakannya setiap kali hujung minggu.

“Hampir setiap minggu saya dan rakan menghabiskan masa di sini dengan membaca bahan bacaan buku karya-karya daripada penulis muda Malaysia.

“Lebih menarik lagi, buku-buku di sini turut menyajikan karya-karya penulis dari Indonesia, selain menyediakan ruang bacaan yang santai,” katanya ketika ditemui GenK pada program Pesta Muda Mudi Kota yang diadakan di Galeri Gadis Buku baru-baru ini.

Pesta Muda Mudi Kota merupakan satu platform yang mengumpulkan penulis-penulis muda, penerbit dan peminat buku dalam satu program.

Program tersebut merupakan anjuran bersama beberapa penerbit buku iaitu Terbitan Langit, Gadis Buku Resources, Perewan Muda dan Jasad Bersiong.

Tunjuk bakat

Tambah Muhd. Nabil, menerusi program tersebut, seorang penulis yang juga rakannya berpeluang untuk bertemu dengan penerbit Jasad Bersiong, Masni Ayob.

“Saya tidak sangka, sebenarnya ramai penerbit buku dan zine datang menghabiskan masa juga di sini.

“Akhirnya impian rakan saya untuk membuat buku tercapai. Namun, masih ada beberapa proses yang perlu dibincangkan dan tidak mustahil saya juga bakal berbuat demikian,” katanya tersenyum.

Zine adalah ringkasan daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu fanzine (berupa makalah) atau magazine (majalah). Ia berbentuk seperti sebuah buku. Bezanya, zine dihasilkan oleh penulis dengan menggunakan mesin pencetak.

Penganjur bersama program tersebut, Anis A. Azman berkata, penganjurannya adalah bagi memberi ruang kepada penulis buku indie terutamanya golongan muda untuk mengetengahkan bakat mereka.

“Program ini sebenarnya bukan sahaja mengenai buku tetapi lebih kepada penerapan budaya ilmu yang pelbagai antaranya membaca, berpuisi, filem dan muzik.

“Melalui program ini, pengkarya-pengkarya seni berpeluang menunjukkan bakat mereka terutamanya penulis muda yang kurang mendapat perhatian daripada penerbit-penerbit besar,” katanya.

Antara aktiviti yang dianjurkan pada pesta itu ialah program layar di dekat, cerita muda-mudi kota, diskusi filem, borak santai dan malam pesta.

Mengulas lanjut, Anis memberitahu, program itu juga memberikan peluang untuk penulis mendekati dan bertemu dengan penerbit serta peminat buku tanah air.

“Sebenarnya, ramai pengkarya-pengkarya buku muda di Malaysia cuma mereka tidak tahu cara untuk memasarkan karya masing-masing.

Hasil karya

“Atas inisiatif itu, maka program seperti Pesta Muda Mudi Kota ini merupakan medium terbaik mereka memperkenalkan hasil karya masing-masing sekali gus dapat menjualnya kepada khalayak,” ujarnya.

Ditanya pemilihan Galeri Gadis Buku sebagai lokasi penganjuran program berkenaan, Anis menjawab, galeri tersebut merupakan medium perantara karya-karya penulis Malaysia dan Indonesia.

“Di sini banyak terdapat koleksi-koleksi buku khususnya dalam bidang sastera, sejarah dan falsafah selain mempunyai fasiliti yang lengkap.

“Galeri Gadis Buku juga sentiasa memenuhi undangan menghadiri acara sastera dan perbukuan di dalam dan luar negara malah ia berperanan sebagai pemudah acara untuk para pembaca,” tuturnya.

Sementara itu, Masni yang merupakan penerbit Jasad Bersiong memberitahu, program tersebut dilihat sebagai satu platform bagi memberikan peluang kepada golongan penerbit sepertinya untuk mendapatkan karya daripada penulis-penulis baharu.

“Program seperti ini amat bagus, lebih-lebih lagi ia merupakan inisiatif golongan muda sendiri.

“Ia sekali gus memudahkan kami untuk mencari pelapis kerana program pembacaan masih kurang di Malaysia terutamanya melibatkan generasi muda,” ujarnya.