Lontaran suara murid tahun satu hingga enam yang terlibat mula memenuhi gelanggang bola tampar sebaik sahaja perlawanan dimulakan seawal pukul 8 pagi.

Pertandingan yang berlangsung pada hari itu menyaksikan perlawanan antara senior melawan junior. Ia melibatkan penyertaan seramai 50 orang pelajar murid tahun satu hingga enam.

Kemenangan sememangnya berpihak kepada pasukan senior iaitu Espana Vc apabila muncul juara dalam kejohanan tersebut dan membawa pulang hamper bernilai RM50.

Naib juara dimenangi pelajar junior SK Ibok daripada pasukan Victory Vc yang turut membawa pulang hamper bernilai RM50.

Menurut Jurulatih Bola Tampar Lelaki sekolah itu Mohd. Asran Jusoh, kejohanan yang diadakan itu melibatkan tiga kumpulan daripada SK Ibok dan satu kumpulan khas iaitu bekas murid sekolah itu.

Teknik

“Tiga kumpulan SK Ibok itu, saya gabungkan antara murid tahun satu hingga tahun enam bagi mengimbangi setiap kumpulan.

“Mereka akan berlawan sesama sendiri dan dari situ, kita boleh melihat pemain junior mempelajari teknik dan pukulan bola daripada pelajar senior,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Jelas Mohd. Asran, selain menjadi sumber inspirasi, kejohanan tersebut dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk dijadikan pelapis pada masa akan datang.

“Murid bersilih ganti, tahun depan pelajar darjah enam sudah meninggalkan kami, jadi persediaan awal itu penting.

“Malah, murid yang bakal memasuki tahun enam perlu fokus dengan Ujian Penilaian Sekolah Rendah. Jadi perlu ada pelapis untuk meneruskan kejohanan akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Victory Vc, murid tahun 6, Muhammad Nadjmi Nawawi, 12, berkata, kumpulannya sudah buat sehabis baik, namun rezeki berpihak kepada senior.

“Saya berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan seperjuangan. Biar kalah asal kami memberi tentangan hebat.

“Memang dari segi logik, senior akan menang kerana semuanya sudah bersekolah menengah berbanding pelajar darjah satu,” katanya.

Bagaimanapun, ia merupakan satu pengalaman yang cukup hebat bagi pemain-pemain baharu.

Dia berharap pemain-pemain baharu dapat mengambil peluang itu untuk meneruskan legasi bola tampar SK Ibok yang telah menempah nama di peringkat negeri.

Pada masa yang sama, Guru Besar SK Ibok, Azmi Ibrahim menjelaskan, pencapaian terbaik pasukan SK Ibok apabila menjadi johan tiga kali di peringkat negeri Terengganu - bawah 12 tahun dan bawah 11 tahun pada tahun ini.

Wakil negeri

Azmi menambah, pada tahun 2018, tiga orang murid SK Ibok telah berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan untuk mewakili negeri Terengganu.

“Bagi saya, ia satu pencapaian yang membanggakan bagi seluruh warga SK Ibok dan ibu bapa di sini.

“Kini SK Ibok dikenali sebagai sebuah sekolah yang melahirkan pelajar yang aktif sukan selain cemerlang dalam akademik,” ujarnya.

Keseimbangan antara sukan dan akademik amat penting dalam pasaran pendidikan masa kini.

Ujarnya, ia merupakan satu nilai tambah kepada pelajar tersebut untuk merebut peluang bersekolah di sekolah menengah elit di luar sana.