“Saya mahu golongan remaja tahu bahawa seni bela diri ini tidak terlalu ganas tetapi membentuk disiplin diri, kecerdasan dan keselamatan kepada individu,” katanya yang mengakui minat terhadap seni bela diri bermula sejak berusia enam tahun.

Menurutnya, walaupun dia sudah mendapat pendedahan awal mengenai seni bela diri sejak di bangku sekolah rendah menerusi bapanya, Fairul Ezly Ramli, namun minat kepada silat terhenti ketika berada di Darjah Dua.

“Sehinggalah berumur 12 tahun, minat saya mula kembali untuk menjadi seorang peninju apabila melihat poster ikan mengenai pembukaan pusat Muay Thai yang kini dikenali Fit Pro di Kampung Pandan.

“Hampir setahun berada di pusat latihan itu, minat ke arah Muay Thai mula bercampah apabila jurulatih mengatakan saya boleh pergi ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu pernah memenangi pingat gangsa dua kali berturut-turut pada Kejohanan Muay Thai Terbuka Remaja Kebangsaan pada tahun 2016 dan 2017.

Pada tahun 2017 pula, dia dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Terbuka Remaja Peringkat Negeri Melaka dan telah menyertai sebanyak 16 kejohanan sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia Muay Thai.

Walaupun tidak semua pertandingan yang disertai meletakkan dirinya sebagai juara, Putra Faisal menganggap itu semua sebagai pengalaman untuk melakukan yang terbaik pada masa akan datang.

Memiliki ketinggian 170 sentimeter dan berat badan 54 kilogram, Putra Faisal bercita-cita tinggi untuk mengorak langkah yang lebih jauh.

Dia menyatakan hasrat mahu mewakili negara dan tampil bergelar juara dunia di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

Sementara itu, penaung kelab tersebut, Ad Afnan Shaharuddin, 31, berkata, peninju-peninju yang menyertai kelab terbabit terdiri daripada mereka yang berusia dalam lingkungan enam hingga 38 tahun dengan kebanyakkan daripada mereka tidak mempunyai asas seni bela diri.

Katanya, kelab Phoenix Muay Thai Centre diasaskan oleh Fairul Ezly sejak dua tahun lalu dan beliau kini merupakan presiden kelab berkenaan.

“Objektif penubuhan kelab Muay Thai ini adalah untuk memberi pendedahan ilmu mempertahankan diri kepada remaja agar tidak membazirkan masa dengan melakukan perkara tidak bermoral.

“Rata-rata peninju di kelab ini adalah golongan remaja komuniti sekitar sini. Sebenarnya dengan menyertai Muay Thai ini dapat membentuk sikap lebih disiplin selain boleh memenuhi masa lapang dengan pengisian ilmu selain menyihatkan tubuh badan,” katanya.

Jelas Ad Afnan, kelab tersebut kini mempunyai seramai 65 ahli dengan sesi latihan diadakan pada setiap hari Rabu dan Khamis sebelah malam.

“Kami mempunyai jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman. Malah peralatan untuk latihan juga lengkap disediakan di sini.

“Yuran bulanan juga amat rendah kerana kita mahu menolong remaja yang minat dalam sukan ini mendalami ilmu Muay Thai untuk keselamatan diri sendiri,” katanya yang juga merupakan seorang kontraktor di syarikat Armada Ad Sdn. Bhd.

Salah seorang jurulatih kelab tersebut, Zamri Abdul Hadi pula menyifatkan, sukan Muay Thai merupakan salah satu cabang seni mempertahankan diri yang menggunakan kepantasan anggota badan seperti tangan, siku, kaki dan lutut dalam mencari sasaran untuk menjatuhkan lawan.

“Seni bela diri Muay Thai terbahagi kepada tiga iaitu Muay Thai amatur, semi profesional dan profesional.

“Untuk menjadi seorang profesional, individu tersebut bukan sahaja memerlukan pengalaman luas tetapi perlu bijak dari segi teknikal dan taktikal ketika berhadapan pihak lawan,” jelasnya yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang Muay Thai.

Ujarnya, di kelab Phoenix Muay Thai, mereka menekankan aspek disiplin dan fokus ketika latihan.

Zamri, 31, menegaskan, individu yang ingin mendalami seni bela diri Muay Thai perlu bersungguh-sungguh dan mencari tempat latihan yang betul di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman.

“Di sini peninju dilarang bergaduh di dalam atau luar latihan kecuali dalam gelanggang. Namun semasa latihan perlu fokus kerana masa yang singkat iaitu antara pukul 9 hingga 11.30 malam.

“Jadi, peninju-peninju perlu bekerja keras untuk menguasai teknik-teknik seperti tumbukan,lutut dan siku supaya dapat digunakan sebaik mungkin dalam perlawanan sebenar,” tuturnya.