Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah apabila berjaya mengumpulkan sebahagian bekas pelajar sekolah itu yang berlangsung di kediaman Tun Sulaiman Ninam Shah di Jalan Abdul Rahman, Muar baru-baru ini.

Pada mulanya, kebanyakan mereka agak kekok menghadiri majlis berkenaan, namun semuanya berubah apabila berlangsung sesi perkenalan.

Suasana menjadi meriah dan mereka mula berpelukan selepas mengenali antara satu sama lain.

Salah seorang bekas pelajar itu, Hawa Said, 64, berkata, dia berasa amat gembira dapat bertemu semula rakan sekolah lama setelah berpisah kebih 45 tahun.

“Hampir separuh daripada kami yang hadir hari ini tidak mengenali antara satu sama lain. Saya pada mulanya juga rasa segan hendak datang ke majlis ini.

“Selepas melihat wajah mereka dengan lebih dekat, saya teringat nama samaran rakan-rakan semasa bersekolah,” katanya.

Menurut Hawa, selain bertanya khabar, antara perkara yang menjadi perbualan ialah status kesihatan, keluarga dan kenangan semasa zaman sekolah.

“Terasa seperti muda kembali apabila berbual mengenai zaman sekolah, walaupun kebanyakan kami sudah bersara daripada profesion seperti doktor, pegawai kanan kerajaan dan pensyarah,” ujarnya.

Seorang lagi peserta, Prof. Datuk Zaliha Omar berkata, banyak kenangan masa belajar di sekolah terbabit dapat dikongsi bersama, sekali gus menggamit semula nostalgia.

Ditahan polis

“Antara kenangan yang sukar saya lupakan ialah ditahan polis bersama rakan-rakan ketika berbasikal ke sekolah. Ia disebabkan kami berbasikal secara melintang di atas jalan dan mengganggu lalu lintas. Akibatnya, kami terpaksa duduk dalam lokap lebih empat jam sehingga ibu bapa datang mengambil kami,” ujarnya.

“Berbasikal melintang jalan merupakan cara kami berhibur ketika pergi ke sekolah. Bagaimanapun, selepas kejadian itu kami serik untuk mengulanginya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, ketika zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia, mereka terpaksa menjalani rutin latihan menyelamat hampir setiap hari di sekolah.

Antara latihan itu, katanya, menyelamatkan diri dengan cara menyorok di dalam terowong dan parit serta ikrar hidup.

“Kami dilatih oleh tentera. Walaupun berasa gelisah pada waktu itu, namun apabila bersama-sama mengikuti latihan terbabit, sedikit sebanyak hilang rasa takut itu,” ujarnya.

Tambahnya, ketika itu sekolah terbabit dikenali sebagai Secondary Sultan Abu Bakar Girl School sebelum ditukar kepada SMKPSAB selepas mereka tamat bersekolah.

“Pada waktu itu, semua subjek diajar dalam bahasa Inggeris kecuali Bahasa Melayu dan Agama Islam. Pengetua sekolah juga merupakan orang Inggeris sebelum sekolah terbabit ditukar kepada aliran kebangsaan,” jelasnya.

Disebabkan itu, katanya, ramai pelajar lepasan sekolah tersebut fasih berbahasa Inggeris dan dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading serta berjaya dalam kerjaya yang diceburi.

Kampung halaman

Sementara itu, wakil penganjur, Rahimah Othman berkata, majlis perjumpaan tersebut diadakan selepas beberapa bulan mereka merancang melalui kumpulan WhatsApp.

“Ini merupakan perjumpaan terbesar yang pernah diadakan. Sebelum ini, kami hanya berjumpa dalam kumpulan yang kecil, terutamanya di Lembah Klang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memilih Muar sebagai lokasi perjumpaan kerana ia merupakan tempat mereka dilahirkan walaupun ramai bekas pelajar menetap di luar daerah tersebut.

“Kami tetap mencari masa dan ruang untuk datang kerana hendak jumpa kawan-kawan lama, lagipun di sini kampung kami juga dan banyak kenangan semasa membesar di sekolah tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, dianggarkan lebih 350 pelajar belajar di tingkatan sama di sekolah itu, namun kehadiran 35 orang pada hari itu cukup menggembirakan.

Ia katanya, akan dijadikan ‘batu loncatan’ untuk mereka mencari rakan-rakan lain bagi program pada tahun depan.