Maka, tidak hairanlah apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan instrumen Malaysian Soft Skills Scale (My3S) untuk menilai pencapaian kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Salah satu daripada instrumen itu adalah pemikiran kritis dan kemahiran berkomunikasi.

Ia meliputi kebolehan seseorang mahasiswa menyampaikan idea dengan jelas, berkesan dan penuh keyakinan, mengamalkan kemahiran mendengar yang aktif dan memberi maklum balas serta membuat pembentangan bersesuaian dengan tahap pendengar.

Menyedari hakikat itu, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan Pejabat Menteri Besar Johor menganjurkan Debat Piala Menteri Besar Johor 2017 yang berlangsung selama empat hari di Dewan Sri Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor pada 16 hingga 19 November lalu.

Pentas akhir yang membawa usul Inisiatif Johor Berkemajuan: Kita tidak berpijak di bumi yang nyata menyaksikan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) muncul juara untuk menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

MMU yang diwakili tiga pendebat daripada jurusan undang-undang bertindak sebagai kerajaan, Amirul Asyraaf Mohd. Alwi, 22; Arfazul Rasyeed Jaafar Abdullah, 22, dan Mohamad Faizul Izwan Mohd. Nordin, 21, membawa pulang wang tunai berjumlah RM6,000, piala pusingan serta piala iringan.

Penolong Pegawai Tadbir YPJ, Muhammad Naili Jazli Mohd. Jamsari berkata, pertandingan itu bertujuan untuk mengasah bakat mahasiswa dalam mengulas isu-isu semasa bagi membantu kerajaan melahirkan modal insan kelas pertama selain menerapkan kemahiran insaniah.

Positif

“Melalui pertandingan ini, mahasiswa diberi peluang berhujah secara matang dan berhemah, sekali gus menerapkan kemahiran insaniah dengan lebih berkesan dalam diri mereka.

“Segala idea yang dicurahkan akan didokumentasikan untuk diajukan kepada kerajaan negeri Johor supaya dapat membantu Gagasan Johor Berkemajuan mencapai segala hasrat dan misi mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Pendebat pasukan MMU, Arfazur Rasyeed berkata, pertandingan itu membantu mengembangkan pemikiran mahasiswa berhubung isu-isu semasa.

“Pertandingan ini bukan saja menjadi wadah dan wacana yang baik kepada mahasiswa untuk berdebat melalui saluran yang positif, malah merapatkan hubungan dalam kalangan peserta daripada institusi pendidikan berbeza.

“Ia juga secara tidak langsung akan meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa dalam kalangan pendebat dan melahirkan generasi berpengetahuan luas,” katanya.

Jelas Arfazur Rasyeed, kemahiran untuk melontarkan idea dengan bernas dan pantas ketika pertandingan bukan perkara mudah kerana ia memerlukan latihan yang berterusan.

“Sesi kuarantin selama 30 minit sebelum pertandingan bukanlah tempoh yang lama untuk mempersiapkan mental dan fizikal.

“Justeru, bagi membolehkan kami berfikir dalam tempoh yang singkat, ia memerlukan persediaan yang secukupnya.

“Kami sering menghabiskan masa berlatih bersama-sama selain banyak menjalankan penyelidikan berkenaan dasar-dasar kerajaan Johor setelah usul-usul diberikan pihak penganjur,” ujar penuntut tahun akhir jurusan Undang-undang MMU itu.

Dalam pada itu, pendebat pasukan MMU, Amirul Asyraaf berkata, dia begitu teruja apabila diumumkan sebagai juara pertandingan tersebut setelah menyertai pelbagai pertandingan debat sebelum ini.

Minat

“Sebenarnya, saya percaya bahawa tiada sesiapa pun di dunia ini mampu bergelar pendebat yang hebat. Sebelum ini, saya banyak menyertai pertandingan debat, namun gagal ke peringkat akhir.

“Bagaimanapun, usaha yang berterusan dan tidak mengenal erti putus asa membolehkan saya merasai pengalaman menjadi juara,” katanya lagi.

Tambah Amirul Asyraf, pertandingan itu mengajarnya peka dengan segala isu yang berlaku bagi menyahut cabaran menjadi mahasiswa yang hebat.

Sementara itu, pendebat USIM, Mohammad Ariq Sollehuddin Rahim, 20, berkata, dia amat meminati bidang pengucapan awam kerana mampu melatih dirinya untuk berfikir di luar kotak fikiran.

“Saya perlu berfikir secara kritikal sebelum melontarkan sebarang hujah kerana itu menggambarkan kematangan seseorang pendebat.

“Justeru, saya memperbanyakkan membaca artikel dan buku yang berkaitan bagi menambah pengetahuan mengenai sesuatu isu selain memantapkan persediaan sebelum pertandingan,” kata penuntut jurusan Sains dan Teknologi di USIM itu.

Abdul Hakim NuzulIzzwan, 20, pula berkata, minatnya tercetus setelah mendapati rakan-rakan yang menyertai pertandingan itu boleh memperbaiki kemahiran komunikasi mereka.

“Pertandingan ini mengasah kemahiran komunikasi seseorang kerana untuk berhadapan dengan ratusan atau ribuan khalayak bukan perkara yang mudah.

“Saya amat lemah dalam berkomunikasi tetapi setelah melihat pertandingan sebegini mampu memperbaiki kekurangan yang ada pada rakan-rakan, saya mengambil keputusan untuk turut serta,” jelasnya.