Kini, permainan catur telah dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan latar belakang mereka.

Malah, catur juga diambil sebagai salah satu cabang sukan kompetitif dan turut dipertandingkan pada pelbagai temasya sukan serantau.

Berbeza dengan sesetengah acara sukan lain, catur boleh dimainkan oleh mana-mana pemain tanpa mengira keupayaan fizikal mereka yang bertanding.

Peraturan permainan itu juga sama seperti pemain normal walaupun ke atas pemain yang diklasifikasikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Pada Sukan Para ASEAN 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu, Malaysia menggondol masing-masing dua pingat emas, perak dan gangsa dalam acara itu.

Peningkatan prestasi pemain catur profesional negara berbanding pada temasya sebelumnya membuktikan bahawa sokongan terhadap golongan OKU dalam sukan tersebut semakin baik.

Melihat kepada potensi golongan OKU dalam sukan catur, jurulatih pasukan catur kebangsaan untuk Sukan Para ASEAN, Prof. Madya Dr. Nasrul Humaimi Mahmood menganjurkan Pertandingan Catur Antarabangsa OKU Zon Selatan buat kali pertama dengan kerjasama Lions Clubs International dan Persatuan Catur OKU Malaysia di Muar, Johor baru-baru ini.

Menurut beliau, pertandingan itu diadakan bagi memberi peluang kepada golongan istimewa tersebut untuk turut merasai pengalaman bermain catur dan menyertai pertandingan seperti individu normal yang lain.

Riadah

“Pertandingan ini juga diadakan bagi tujuan pemilihan pemain terbaik untuk mewakili Zon Selatan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Selain mencungkil bakat-bakat baharu dalam permainan catur OKU, ia juga merupakan platform yang dianggap baik untuk memberi peluang kepada masyarakat beriadah bersama-sama golongan OKU dalam acara sukan,” katanya.

Nasrul yang juga pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor berkata, seramai 34 orang peserta dari Johor, Melaka serta Negeri Sembilan mengambil bahagian pada pertandingan yang berlangsung selama sehari itu.

Jelasnya, antara kategori kelainan upaya yang diambil kira bagi tujuan penyertaan pertandingan ini ialah cacat penglihatan, pendengaran dan fizikal.

Apa yang menarik, pertandingan itu turut disertai oleh beberapa atlet negara yang menyumbang pingat pada Sukan Para ASEAN 2017.

Mereka ialah Nur Feiqha Maulad Mohamed Halil yang telah menyumbang dua pingat emas, Hanson Ang Ping Ting (satu gangsa), Shaharuddin Sidek (satu gangsa) dan Mohd. Farhan Syukry Jamil (satu gangsa).

Pada pertandingan peringkat Zon Selatan yang diadakan itu, Hanson dinobatkan sebagai johan keseluruhan.

Tebus kehampaan

Dalam pada itu, Hanson berkata, dia berasa sangat gembira kerana berjaya menebus kehampaan ketika beraksi pada Sukan Para ASEAN 2017.

“Pada Sukan Para ASEAN tahun lalu, saya hanya berjaya memperoleh pingat gangsa tetapi kali ini, kekecewaan itu ditebus selepas saya diumumkan sebagai juara keseluruhan pertandingan.

“Selain menjadikan pertandingan ini sebagai medan untuk mengasah kemahiran dalam permainan catur, saya juga gembira kerana dapat bertanding secara sihat bersama rakan-rakan sepasukan selain berpeluang mengenali kenalan baharu yang turut mempunyai minat yang sama dalam sukan ini,” katanya.

Jelas Hanson lagi, dia turut berharap agar pertandingan seperti itu menjadi titik tolak kepada peningkatan sukan catur OKU di negara ini.

Malah, ia juga dapat menjadi platform bagi memberi pendedahan kepada anggota masyarakat secara am dan golongan OKU khasnya.

Ini kerana golongan itu juga mampu menyertai dan bersaing dalam pertandingan yang bersifat kompetitif melalui sukan catur.

Setiap peserta yang mendaftar untuk menyertai aktiviti itu layak menerima sijil yang dikeluarkan oleh UTAR. Kelas dikendalikan jurulatih zumba berkelayakan.