Malah, negara itu juga bukanlah destinasi utama bagi mereka yang gemar melancong atau membeli-belah.

Bagaimanapun, negara yang boleh dikatakan masih mundur berbanding beberapa negara jiran itu telah menjadi destinasi pilihan pelajar jurusan Pendidikan, Unitar International University (Unitar) untuk melaksanakan misi kemanusiaan buat julung-julung kalinya.

Jika dibandingkan dengan Malaysia, pembangunan di Kemboja masih terlalu jauh perbezaannya. Infrastruktur, kemudahan awam, aktiviti ekonomi dan tahap pendidikannya agak jauh terkebelakang. Bagaimanapun, perbezaan dari segi ekonomi dan pendidikan di bumi Kemboja telah menarik minat kumpulan pelajar berkenaan untuk melaksanakan Program Pertukaran Antarabangsa 1.0 yang berlangsung selama lima hari pada Oktober lalu.

Pengarah program, Syazrul Syazwan, 25, berkata, program tersebut merupakan permulaan yang baik bagi membuka mata pelajar jurusan pendidikan universiti berkenaan untuk melihat sistem pendidikan di negara tersebut.

Perpustakaan

“Antara misi yang menjadi tumpuan pihak delegasi ialah menubuhkan perpustakaan mini di sebuah sekolah di Kampung Cham iaitu Institut Integrasi Tahfiz Cambodia (INTAC) yang dilihat sebagai satu peluang untuk menanam minat membaca dan cintakan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

“Selain itu, kami banyak melakukan modul pendidikan interaktif bersama pelajar di sekolah berkenaan. INTAC merupakan insitusi pendidikan yang memfokuskan pembelajaran al-Quran dan hadis untuk anak-anak Islam Kemboja,” katanya.

Menurut Shazwan lagi, projek perpustakaan mini itu merupakan inisiatif pelajar-pelajar jurusan Pendidikan universiti tersebut bagi membolehkan sekolah INTAC memiliki sebuah perpustakaan sendiri.

Sebelum ini sekolah berkenaan tidak mempunyai perpustakaan disebabkan oleh kekurangan dana.

“Usaha untuk mengumpulkan buku-buku terpakai telah dijalankan sebelum ini dengan sebahagian besar buku yang berjaya dikumpulkan merupakan sumbangan pelajar Unitar sendiri.

“Kami amat berharap dengan wujudnya perpustakaan mini ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar INTAC dalam menuntut ilmu.

“Kami berharap perpustakaan mini itu akan menjadi permulaan kepada pembinaan sebuah perpustakaan yang lebih lengkap dan selesa buat para pelajar di sana,” katanya.

Sementara itu, seorang peserta, Muhammad Sabirin Abd. Rahman, 20, pula berkata, walaupun para delegasi terdiri daripada pelajar program pengajian yang berbeza iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Kaunseling, ia bukan penghalang untuk mereka melaksanakan program tersebut.

“Perbezaan kami bukan hanya sekadar program pengajian tetapi juga melibatkan kaum kerana para delegasi terdiri daripada pelajar Melayu, Cina, India dan Sikh.

“Tetapi itulah yang telah menyatukan kami untuk menjayakan program ini. Ia secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan di kalangan kami,” katanya.

Perkara itu diakui sendiri oleh seorang pelajar, Yoke Jen, 21, bahawa dia tidak menyangka diberi peluang untuk berada dan melihat sendiri sistem pendidikan sebuah sekolah yang menerapkan nilai-nilai Islam sepenuhnya dalam pembelajaran.

Komitmen

“Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga buat diri saya. Walaupun kami berbeza agama, bahasa, bangsa dan budaya, namun kami dapat melaksanakan program yang dirancang dengan jayanya.

“Selain itu, saya juga mempelajari sedikit sebanyak keindahan agama lain khususnya Islam. Saya juga mempelajari akan kepentingan menghormati agama lain,” katanya.

Walaupun sekolah itu kekurangan tenaga pengajar, namun para pendidik di sekolah tersebut sangat berdedikasi.

Dalam pada itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan yang juga merupakan Ketua Penasihat program, Farah Damia Mohd. Nasir, berkata, program bantuan kemanusiaan itu telah memberi pengalaman yang sangat berharga kepada semua pelajar dan pensyarah yang terlibat.

“Komitmen yang diberi oleh pelajar sangat menakjubkan. Mereka mampu menyelesaikan masalah dengan semangat berkumpulan yang sangat tinggi.

“Ia adalah pengalaman yang cukup baik untuk membentuk keperibadian mereka supaya lebih kuat dan fleksibel pada masa hadapan,” katanya.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan, Unitar International University, Dr. Nurul Nadiah Sahimi yang menyertai program itu memberitahu, selain menjalankan program di INTAC, delegasi juga berpeluang melawat Sekolah Antarabangsa Westland yang terletak di daerah Krong Ta Khmau, Phnom Penh untuk melihat sistem pendidikan di ibu kota itu.

Katanya, walaupun kemudahan di sekolah antarabangsa itu jauh lebih baik daripada sekolah INTAC, namun masih terdapat kekurangan daripada segi penggunaan teknologi untuk dimanfaatkan oleh para pelajarnya.

“Sebagai generasi muda dan bakal pendidik pada masa depan, segala pengalaman yang dikutip di Kemboja akan menjadi bekal buat mereka untuk menjadi pendidik yang lebih responsif terhadap keperluan pelajar dan keadaan sekeliling,” tambahnya.