Terapi seni merupakan kaedah yang diterima pakai dengan meluas di Barat dalam profesion kaunseling, psikoterapi, kerja sosial, kejururawatan dan perubatan psikiatri untuk membantu pesakit meluahkan pergolakan dalam diri yang membebankan.

Atas dasar itu, sebagai sebahagian daripada ahli masyarakat, Persatuan Kaunseling Universiti Malaya (Perkum) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menganjurkan sebuah program yang dikenali sebagai Pemerkasaan Komuniti Ibu Tunggal di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Tujuannya adalah untuk mendedahkan kaedah terapi seni sebagai alat bantuan bagi pengurusan tekanan.

Pelajar tahun ketiga jurusan kaunseling UM yang mengetuai kumpulan fasilitator dalam program berkenaan, Amirah Sharwani Roslan berkata, teknik seni yang digunakan untuk sesi terapi tersebut adalah menggunakan tanah liat serta lukisan.

“Para peserta diminta untuk menggambarkan diri mereka melalui bentuk tanah liat dan corak lukisan. Ada yang membuat bunga, rama-rama, matahari, donut dan karipap.

“Masing-masing menunjukkan ekspresi diri melalui corak tanah liat yang dihasilkan,” katanya.

Tambah Amirah Sharwani, kaedah itu amat berkesan untuk meneroka permasalahan diri secara di bawah sedar dan banyak digunakan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan secara kaunseling.

Selain itu, sebuah sesi refleksi diri pada penghujung program diadakan dengan setiap pelatih diminta menulis surat atau ucapan kepada diri mereka sendiri apabila berjaya pada masa hadapan.

Mereka juga diminta untuk menyenaraikan perubahan diri yang ingin dilihat dan perlu dilaksanakan dalam usaha membina versi diri apabila berjaya nanti.

Platform strategik

Komuniti ibu tunggal juga seharusnya dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk diperkasa, sekali gus berpeluang membina kelangsungan hidup dengan berjaya.

Kerjasama daripada pelbagai pihak bakal melihat usaha sebegitu terlaksana melalui platform yang strategik.

Sehubungan dengan itu, kesemua 41 orang ibu tunggal yang terpilih menjadi peserta program turut didedahkan mengenai terapi seni sebagai alat bantuan bagi pengurusan tekanan.

Peserta yang berusia antara 15 hingga 50 tahun itu dibimbing oleh sekumpulan 30 orang fasilitator yang terdiri daripada penuntut ijazah sarjana muda program kaunseling UM.

“Peluang mendekati golongan ibu tunggal dan mempraktikkan apa yang kami pelajari di bilik kuliah, amat mengujakan saya.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelatih di sini, namun menyuntik motivasi kepada kami untuk beriltizam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat sebaik menamatkan pengajian kelak,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan UM, Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berkata, program itu bertujuan menjadi pelengkap kepada usaha pemulihan dan rawatan yang dilaksanakan Mais.

“Bagi menghasilkan pendekatan yang lebih holistik, kami telah mendedahkan kepada pelatih di sini mengenai teknik dan kaedah berkesan dalam menangani tekanan serta konflik hidup, selain kemahiran keibubapaan.

“Program anjuran UM ini mempunyai kelebihan yang saya pasti mampu mencetus perubahan positif dalam diri pelatih.

“Selain slot ceramah dan motivasi yang kerap dilaksanakan, program ini turut melakukan sesi kaunseling berkelompok dengan bimbingan mahasiswa UM,” katanya selaku penyelaras program berkenaan.

Kejayaan program itu terletak sepenuhnya pada bahu pelatih di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan.

Segala modul, kemahiran, dan pengalaman yang dikongsi sepanjang program berkenaan seharusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai komplikasi tekanan serta cabaran kehidupan.

“Titik tolaknya berpaksikan kepada kaedah pemikiran dan penilaian diri mereka sendiri.

“Saya pasti ibu tunggal ini mampu menjalani kehidupan dengan penuh keyakinan kelak walaupun terpaksa memikul tanggungjawab berat dalam membina kelangsungan hidup serta pendidikan anak-anak,” tuturnya.