Tapi secara peribadi, di manakah kita? Kerajaan berubah, tidakkah kita mahu ikut berubah juga? Penulis Rusia, Leo Tolstoy pernah mengatakan, “Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing themselves.”

Arus perubahan politik di Malaysia memperlihatkan sisi buruk sesetengah daripada kita. Amalan saling menunding kesalahan, menyebarkan berita palsu dan ejek-mengejek kian menjadi-jadi. Semua mahu menunjukkan kuasa masing-masing.

Alang-alang ubah kerajaan, jom ubah diri sendiri juga! Apa lagi yang lebih mudah diubah jika tidak perkara-perkara asas dalam kehidupan?

Antara perkara paling asas yang disarankan dalam Islam adalah lontaran senyuman, hinggakan Rasullullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa senyuman itu adalah satu sedekah. Kadangkala perkara sekecil senyuman akan dapat menggembirakan orang lain. Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu meremehkan kebaikan sekecil apa pun, sekalipun itu hanya bermuka manis saat berjumpa saudaramu.” (HR Muslim)

Budaya membaca

Dalam tidak sedar senyuman juga memberikan kebaikan bagi kita. Perlakuan itu secara tidak langsung akan menyebabkan tubuh kita mengeluarkan hormon dopamine, endorphin dan serotonin, iaitu neurotransmiter yang dapat mengurangkan stres, sekali gus merendahkan kadar degupan jantung dan tekanan darah.

Kita juga harus membudayakan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain. Bukan sekadar menghormati ketua atau golongan berada tetapi mereka yang mungkin berada di bawah kita. Berikan salam, titipkan ucapan terima kasih atas usaha mereka. Tanpa mereka siapalah kita.

Wahyu Allah SWT yang pertama kepada Rasulullah SAW turun dalam bentuk perintah iaitu, “Bacalah olehmu Ya Muhammad.”

Jika dilihat dalam skop kecilnya, budaya membaca kian dilupakan. Bilakah kali terakhir kita dengan relanya membuka buku? Atau mungkinkah lebih kerap membuka muka buku (Facebook)?

Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri pernah mengatakan bahawa anak muda sekarang tiada alasan untuk tidak membaca buku dan mencari ilmu dengan wujudnya kemudahan teknologi yang membantu. Gajet-gajet yang tersedia di pasaran membolehkan kita menyimpan sehingga 1,400 buah buku.

Mari kita cermin diri, adakah cukup ilmu di dada, atau masih banyak yang boleh ditimba? Dengan perkembangan revolusi industri keempat, kini wujud banyak platform untuk anak muda mencari ilmu baharu. Yang tinggal kini antara mahu dan tidak sahaja.

Perkara asas ketiga yang perlu ditekankan adalah hormati ibu bapa. Biar tangan ke langit menggenggam awan, jangan sampai kaki tak jejak ke tanah.

Hargai ibu bapa

Abdullah Ibnu Masu’d pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan yang paling dicintai Allah SWT dan Baginda menjawab: Solat di dalam waktunya, berbuat baik kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ini menunjukkan peri pentingnya kita berbakti kepada ibu bapa, sehinggakan diangkat keperluannya sebelum berjihad di jalan Allah. Hargai segala pengorbanan mereka, sesungguhnya tiada galang gantinya bagi kedua-dua susuk tubuh itu.

Luangkan masa bersama mereka, walau tugasan kerja menimbun tiba. Doa ibu tiada hijabnya, rezeki mungkin tiba dalam pelbagai cara. Yang penting, hati mereka kita jaga.

Ketiga-tiga perkara yang penulis lampirkan di sini mungkin kelihatan agak remeh. Namun yang remeh itulah yang akan membina kehidupan yang lebih baik di peringkat individu. Peringatan yang tulus ikhlas, kepada diri penulis juga kerana kadang-kadang, “it’s the little things that counts the most.”

Bersempena dengan Ramadan yang mulia, marilah kita sama-sama bermaafan dan hentikan budaya-budaya yang tidak sihat. Sentiasa berfikiran positif dan mengorak langkah dalam satu suasana baharu dalam kehidupan bersama untuk membina negara yang harmoni dan berbudaya sihat.