Tan Wei Shuen, Liew Jia Wen dan Debbie Heu, ketiga-tiganya berusia 14 tahun, seolah-olah tidak percaya mereka telah berjaya menewaskan SM St. Michael, Penampang Sabah dan SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor.

Ternyata projek peranti peringatan pendingin hawa hasil ciptaan mereka telah menambat hati juri pada pertandingan akhir yang berlangsung di Wisma Shell, Cyberjaya baru-baru ini.

Program #MyGeekMovement merupakan salah satu inisiatif Shell Malaysia yang dilancarkan pada 2017 melibatkan 15 buah sekolah menengah terpilih dalam usaha melahirkan generasi yang berpengetahuan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Setiap pasukan perlu menghasilkan projek inovasi yang mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah di persekitaran mereka.

Berani

Justeru, Y3K menghasilkan projek prototaip berbentuk peranti peringatan automatik yang akan mengeluarkan cahaya isyarat apabila pendingin hawa telah mencapai tempoh maksimum untuk melalui proses penyelenggaraan dan pembersihan.

Projek berkenaan telah berjaya mengoptimumkan penggunaan tenaga sistem pendingin hawa selain menjimatkan kos.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Y3K membawa pulang hadiah percutian sambil belajar selama seminggu di kota London.

Salah seorang ahli kumpulan Y3K, Wei Shuen berkata, penglibatan pasukannya dalam #MyGeekMovement bukan sahaja berjaya menambah pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi tetapi turut mengasah pelbagai kemahiran dalam diri mereka.

“Kreativiti dan nilai inovasi tidak dapat diperoleh di bilik darjah tetapi ia boleh diterapkan secara tidak langsung menerusi penglibatan dalam program seperti ini.

“Ia membantu mencungkil bakat kami sebagai penyelidik muda selain memberi pendedahan yang lebih meluas tentang bidang sains dan teknologi,” katanya yang ditemui Kosmo! di Wisma Shell, Cyberjaya baru-baru ini.

Wei Shuen mengakui #MyGeekMovement telah berjaya melatih dirinya berfikir di luar kotak dan mengasah sifat berani untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Dia yang amat meminati bidang sains berkata, kumpulannya membuat penyelidikan terlebih dahulu dan memilih beberapa kes untuk diteliti.

Bagaimanapun, mereka mengambil keputusan untuk menlaksanakan projek berkenaan setelah mengambil kira peningkatan penggunaan pendingin hawa dalam kalangan masyarakat dan kesannya terhadap alam sekeliling.

Cabaran

Seorang lagi ahli kumpulan Y3K, Jia Wen berkata, pengalaman yang tidak dilupakan apabila dia dapat mempelajari aspek teknikal yang begitu rumit.

Menurut Jia Wen, pasukannya telah mengkaji komponen-komponen yang wujud dalam pendingin hawa bagi memahami fungsinya.

“Itulah kali pertama saya mengetahui bahawa sistem penyejukan terdiri daripada empat komponen asas iaitu pemampat, gelung penyejat, gelung pemeluwap dan injap pengembangan,” katanya.

Cerita Jia Wen, setelah memahami setiap komponen dan fungsi-fungsinya, mereka kemudiannya mendapatkan tunjuk ajar daripada guru pembimbing untuk memasang peranti peringatan pada pendingin hawa berkenaan.

Bagaimanapun menurut Jia Wen, mereka berdepan cabaran apabila peranti tersebut gagal berfungsi. Pasukannya merujuk kepada mereka yang pakar dalam bidang penyelenggaraan penghawa dingin untuk mendapatkan nasihat.

Tanpa berakhir di situ, Jia Wen berkata, pasukannya turut membuat pembacaan dan menambah pengetahuan dengan menonton video penyelenggaraan pendingin hawa di internet.

Cabaran tersebut banyak mengajar Jia Wen erti kesabaran dan tidak mudah berputus asa.

“Ia mendidik kami supaya tidak berputus asa, sebaliknya berbincang dan mencari solusi bersama-sama.

“Ia bukan sahaja mengasah kemahiran penyelesaian masalah, namun turut mendidik kami erti kerja berpasukan,” katanya.

Debbie Heu pula mengakui keyakinan dirinya semakin meningkat dan kemahiran komunikasinya bertambah baik berbanding sebelum ini.

Cerita Debbie, dia mempelajari cara pemujukan yang berkesan dalam memasarkan produk rekaan mereka.

“Sebelum ini, saya kurang berkeyakinan apabila diminta untuk membentangkan sesuatu tugasan tetapi apabila menyertai program ini ia telah mengikis perasaan malu.

“Saya juga telah berjaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang amat diperlukan pada era yang serba mencabar ini,” ujarnya.

Pengurus Negara dan Hubungan Luar Shell Malaysia, Nimmi Kamal berkata, program #MyGeekMovement adalah salah satu usaha Shell Malaysia dalam membantu meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran sains di negara ini.

“Industri memerlukan mereka yang berbakat dengan pengetahuan serta kemahiran yang relevan dalam bidang sains dan teknologi.

“Oleh itu, kandungan #MyGeekMovement melengkapkan struktur kurikulum sedia ada di sekolah dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran sains,” katanya.

Menurut Nimmi, #MyGeekMovement melatih para pelajar untuk mendapatkan pemahaman tentang dunia sains dan teknologi.

Jelasnya, melalui #MyGeekMovement, pelajar akan diasah dengan kemahiran teknologi, pemikiran kritis, kreatif dan kerja berpasukan dalam menghasilkan inovasi baharu untuk menyelesaikan masalah yang berlaku di sekeliling mereka.

Justeru, Nimmi berkata, ia secara tidak langsung mampu membentuk pelajar yang seimbang dan holistik dalam memenuhi aspirasi Transformasi Nasional (TN50).

Menerusi #MyGeekMovement yang diilhamkan oleh Shell Malaysia, para pelajar dilatih untuk mendapatkan pemahaman tentang dunia sains dan teknologi.