Menyedari senario itu, seramai 21 orang penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengiklanan, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) mengambil inisiatif menjalankan kempen sosial Mighty Healthy bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Kempen berkenaan yang berlangsung selama tiga hari di M3 Mall, Gombak Setia, Kuala Lumpur itu menarik kira-kira 2,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti diadakan seperti persembahan pasukan sorak, permainan interaktif bersama keluarga, pemeriksaan dan ceramah kesihatan, pertandingan melukis serta mewarna.

Salah seorang penuntut, Leong Reiyuan, 24, berkata, kempen sosial yang dilaksanakan telah meningkatkan kemahiran komunikasinya dengan lebih berkesan.

“Kami sentiasa berbincang bagi memastikan setiap aktiviti berjalan lancar. Sekiranya wujud masalah, masing-masing memberi pandangan dan pendapat untuk menyelesaikannya.

Kemahiran

“Ia secara tidak langsung mengasah kemahiran komunikasi kerana kami perlu menguruskan semua perkara,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Malah menurut Reiyuan, elemen yang paling penting dalam sesebuah pasukan adalah kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain.

“Kejayaan kempen ini bertitik-tolak daripada kerjasama setiap ahli pasukan. Masing-masing menunjukkan komitmen yang luar biasa dalam menjayakannya,” ujarnya.

Bagi seorang lagi penuntut, Kok Wen Juin, 22, berkata, kempen Mighty Healthy banyak membentuk keyakinan dirinya.

“Kami berdepan dengan pelbagai masalah sepanjang mengendalikan kempen ini termasuk memastikan perjalanan setiap aktiviti memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.

“Semua cabaran tersebut adalah pengalaman yang tidak dapat diperoleh di dewan kuliah. Ia membentuk diri kami untuk berani berdepan cabaran dan yakin dengan setiap keputusan yang diambil,” katanya.

Pengarah kempen Mighty Healthy, Andee Chan Jade E mengakui bahawa kempen yang dilaksanakan mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pelbagai pihak.

Kesedaran

“Kami mendapatkan maklum balas daripada orang ramai setelah berakhirnya setiap aktiviti. Hasil maklum balas begitu positif dan usaha murni ini dipuji ramai.

“Mereka juga berharap supaya program sebegini diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan lagi agar manfaatnya diperoleh dengan lebih menyeluruh,” katanya.

Menurut Jade E, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur, agama dan kaum tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang berlangsung.

“Penglibatan masyarakat dalam setiap program yang dianjurkan begitu menggalakkan dengan anggaran lebih 300 penyertaan.

“Aktiviti zumba contohnya, warga emas dan kanak-kanak tidak melepaskan peluang untuk turut serta. Ia menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk mereka menjalani kehidupan yang sihat,” katanya lagi.

Sementara itu, penasihat kempen yang juga merupakan pensyarah sambilan di Fakulti Sains Sosial, Kesenian dan Kemanusiaan TARUC, Kamarul Shah berkata, kempen berkenaan mendedahkan para pelajar kepada kaedah menguruskan kempen pengiklanan dengan berkesan dan mengasah kemahiran merancang serta melaksanakan kempen secara kreatif dan strategik mengikut kehendak industri.

“Kempen ini bukan sahaja mendedahkan para pelajar dengan penganjuran aktiviti berteraskan tanggungjawab sosial, malah penglibatan mereka secara langsung dalam merancang dan melaksanakan kempen mampu meningkatkan lagi kemahiran sedia ada.

“Malah, ia secara tidak langsung membantu para pelajar meningkatkan pemahaman dengan lebih jelas terhadap kehendak pasaran dan melengkapkan diri untuk menghadapi dunia kerjaya pada masa hadapan,” katanya

Oleh AFIQ AMANI NAHDIRSHA