Justeru, berkonsepken Strategi Lautan Biru Kebangsaan, Kolej Komuniti Jelebu mengambil inisiatif menganjurkan Retour De’ KoKojel dalam usaha memperkenalkan kolej komuniti kepada penduduk setempat secara berimpak tinggi.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan sepanjang program yang berlangsung selama sehari di Kolej Komuniti Jelebu itu termasuk Fun Rides, Sepak Penalti, zumba, karaoke santai, pameran agensi kerajaan dan kolej komuniti serta gerai jualan pelajar e-Tech telah memberi manfaat kepada para pelajarnya.

Kemahiran

Seorang pelajar Kolej Komuniti Jelebu, Khalis Ili Rashedi, 19, berkata, pengalaman berbasikal sejauh 14 kilometer yang membawanya menikmati pemandangan alam sekitar dan menyelusuri kawasan kampung benar-benar menyeronokkan.

“Perjalanan agak jauh, jadi rasa mahu berputus asa itu lumrah. Apabila melihat keindahan alam semula jadi sepanjang perjalanan hati saya berasa amat tenang.

“Malah, melihat semangat rakan-rakan yang berusaha untuk menamatkan kayuhan membuatkan saya semakin bersemangat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagi pelajar kursus Sijil Pemprosesan & Kawalan Mutu Makanan itu, sifat tidak mudah berputus asa turut diamalkan sepanjang pengajiannya.

“Sekiranya saya menemui kegagalan, terutamanya ketika menyediakan produk makanan, saya akan terus mencuba sehingga berjaya.

Menurut anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, menerusi program Retour De’ Kokojel telah membuktikan kepada masyarakat bahawa pelajar-pelajar kolej komuniti juga setanding dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Kami juga sama seperti pelajar yang lain, aktif dan mempunyai pelbagai kemahiran. Stigma masyarakat terhadap kolej komuniti sebenarnya tidak lagi relevan,” jelas pelajar yang bercita-cita mahu menjadi usahawan berjaya itu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Muhammad Nazrul Haziq Mohd. Yusoff, 19, berkata, kelainan pengisian dalam aktiviti Sepak Penalti memberi pengalaman baharu dalam hidupnya.

“Saya amat meminati sukan bola sepak.Menariknya, dalam aktiviti Sepak Penalti, setiap orang diberikan hanya satu peluang untuk menyepak bola memasuki gol.

“Ia memberi pengalaman baharu kepada saya. Walaupun gagal untuk menjaringkan gol tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk bermain bola,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.

Jelas Mohamad Nazrul, dia sentiasa mempelajari daripada kesilapan dan berusaha untuk meningkatkan lagi kemahiran dalam sukan bola sepak.

“Kami di kolej komuniti diasah dengan sifat berani untuk mencuba perkara baharu selain tidak mudah berputus asa.

“Sebagai contoh, tidak semua produk makanan yang dihasilkan berjaya mengikut spesifikasi dan kualiti yang ditetapkan. Justeru, kami perlu sentiasa mencuba tanpa mengenal erti putus asa,” katanya lagi.

Mohamad Nazrul berkata, penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan menunjukkan bahawa pelajar kolej komuniti sebenarnya mempunyai pakej lengkap yang memenuhi kehendak pasaran.

Holistik

Pengarah Retour De’ KoKojel, Ahmad Fairil Azarin Asrapil berkata, penganjuran program berkenaan telah berjaya mendedahkan orang ramai tentang peranan kolej komuniti dalam membangunkan modal insan negara.

“Kita menyediakan para pelajar untuk memenuhi sumber tenaga negara dengan holisitk berdasarkan program-program yang dirangka khas.

“Menerusi Retour De KoKojel, masyarakat setempat boleh melihat sendiri keupayaan pelajar-pelajar kolej komuniti,” katanya.

Seorang pelajar, Yusnani Yusoff, 20, dia mengaplikasikan ilmu yang dipelajarinya menerusi aktiviti jualan makanan ringan ketika program tersebut berlangsung.

“Berbekalkan ilmu keusahawanan itu, saya berani menyahut cabaran menjadi seorang usahawan yang membolehkan saya menjana pendapatan sampingan sehingga mencecah RM1,000.

“Sebenarnya, aktiviti jualan ini mengajar saya strategi untuk menarik pelanggan untuk membeli makanan yang dijual,” ujar anak bongsu daripada enam adik-beradik itu.