Pengalaman pertama mempelajari Kod Morse agak sukar tetapi menyeronokkan baginya.

“Setiap bunyi tersebut mewakili huruf, angka dan tanda baca yang ingin disampaikan. Walaupun ianya sungguh mencabar dan memerlukan latihan yang teliti sekiranya hendak menguasainya, namun saya amat gembira kerana berpeluang menerokainya,” kata pelajar itu.

Tambahnya, pengalaman manis itu tidak akan dapat dilupakan kerana ianya telah menarik minatnya untuk mendalami ilmu tentang cara-cara berhubung di udara.

“Antara aktiviti yang menarik perhatian saya ialah berkomunikasi menggunakan radio, Semaphore dan Kod Morse,” ujarnya yang berterima kasih kepada Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Kuala Muda kerana telah berjaya menganjurkan program yang menarik dan amat bermanfaat.

Nur Najwa merupakan salah seorang daripada 3,629 orang pengakap di seluruh negeri Kedah yang menyertai Jambori Di Udara Kali ke-61 dan Di Internet Kali Ke-22 Peringkat Dunia (Jota Joti) 2018.

Program itu memberi peluang kepada ahli pengakap belajar penggunaan dan pengendalian radio amatur mengikut prosedur standard operasi sebenar. Ia diadakan pada 19 hingga 21 Oktober lalu.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Mohd. Aswadi Muhamad berkata, Jota Joti diadakan setiap tahun pada minggu ketiga bulan Oktober dan ia memang dinantikan oleh semua ahli pengakap.

“Dengan adanya program ini peserta dapat berhubung dengan ahli pengakap dari luar negara menggunakan radio amatur ini.

Kirim berita

“Kali ini tiga stesen telah dibuka iaitu stesen radio Kulim, Kuala Muda dan Yan, manakala dua substesen iaitu Pokok Sena dan Kota Setar yang membolehkan ahli pengakap menghubungi negara luar seperti Indonesia, India, Lebanon, Australia, Croatia, Britain dan banyak lagi,” katanya.

Tambah Mohd. Aswadi, antara pengalaman yang diperolehnya ialah mengirim berita menggunakan Kod Morse berbentuk bunyi dengan kelajuan 15 perkataan seminit.

“Selain menggunakan kaedah Semaphore iaitu mengirim berita menggunakan isyarat bendera Semaphore dengan kiraan seminimum 25 perkataan seminit, terdapat banyak pendedahan dan aktiviti lain diberikan kepada pelajar yang menyertainya.

“Antaranya, pengenalan radio amatur, stesen HF, stesen VHF-UHF, kod Q dan J, perkataan fonetik, mini RAE, pameran astra dan sebagainya,” terangnya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kedah, Mohd. Nizar Yusof berkata, perkhemahan Jota Joti diadakan bagi melahirkan modal insan yang lebih berdaya saing dan membolehkan ahli pengakap berkomunikasi dengan negara luar melalui radio amatur.

“Saya berharap ahli dapat memanfaatkan ilmu yang dipelajari dan pengalaman sepanjang perkhemahan ini dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, pembangunan potensi diri dan kerjaya suatu masa nanti,” ujarnya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah, Anis Akrimi Meskor, 11, berkata, perkhemahan Jota Joti itu dapat memberi pengalaman baharu kepadanya.

“Banyak perkara yang saya pelajari. Sebelum ini saya tidak memahami dan mengenali apa itu Kod Morse, Semaphore dan komunikasi melalui radio.

“Dengan adanya program seperti ini saya dapat menambah lagi pengetahuan dalam bidang komunikasi, selain berhubung dengan rakan-rakan pengakap dari luar negara seperti Indonesia Brunei dan Thailand,” tuturnya yang berharap agar program seperti itu diteruskan pada masa akan datang.