Semuanya gara-gara dia didapati melakukan plagiat ketika menyiapkan tesis semasa menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi di salah satu universiti swasta di ibu negara.

Wanita berusia 28 tahun itu berkata, dia amat menyesali tindakannya itu sehingga terpaksa mengulangi semesta akhir dan tidak dapat menamatkan pengajian bersama rakan-rakan lain.

“Kejadian tersebut bukan sahaja memberi impak dalam kehidupan saya malah turut mendatangkan kekecewaan kepada keluarga yang telah bersusah-payah menyara pengajian saya.

“Masih ingat lagi reaksi muka ayah apabila mendapat tahu tentang kegagalan saya. Hampir sebulan juga kami tidak bercakap,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Izura yang enggan memberikan nama penuhnya memberitahu, kejadian tersebut berpunca daripada kelalaiannya sendiri. Dia tidak memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan tesis kerana leka dengan keseronokan dunia.

“Sepatutnya saya memberi fokus yang lebih pada semester akhir tetapi sebaliknya pula berlaku. Walhal, pada semester-semester sebelumnya, Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) saya semua tiga ke atas,” ujarnya sambil terkenangkan kesilapan yang dilakukan.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga dan Keempat, plagiat adalah mengambil hasil karya atau tulisan orang lain dan menyiarkan kembali sebagai karya sendiri, manakala fotokopi bermaksud membuat salinan dokumen atau bahan lain sama ada bertulis, bercetak atau bergrafik dengan menggunakan mesin fotokopi.

Berleluasa

Aktiviti plagiat boleh terjadi di mana-mana termasuklah universiti dan pejabat.

Tambah anak kelahiran Melaka itu, dia melakukan plagiat berkenaan kerana kesuntukan masa untuk menghantar laporan tesis. Walaupun telah mendapat bantuan dan pemantauan daripada penyelia namun, dia masih tidak dapat menyiapkan tesis mengikut jadual yang ditetapkan.

Plagiarisme bukanlah satu isu baharu dalam kalangan pelajar universiti. Sama seperti isu fotokopi, ia sudah lama berleluasa dalam kalangan pelajar.

Budaya itu adalah satu senario yang tidak sihat dan sepatutnya dihentikan. Jika tidak dibendung ia seolah-olah membiasakan dan membenarkan pelajar terbabit dengan kegiatan mencuri hak intelektual.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri berkata, walaupun tiada penguatkuasaan tegas dan khusus bagi kedua-dua kegiatan tersebut, namun tidak bermakna pihak universiti membenarkan kejadian itu berleluasa.

“Terdapat banyak faktor yang menyebabkan fotokopi dan plagiat ini berlaku. Misalnya, fotokopi bahan ilmiah memang selalu menjadi pilihan pelajar kerana kosnya lebih murah berbanding membeli buku sebenar.

Jujur

“Katakan harga buku sebenar adalah RM80 senaskhah tetapi jika mereka fotostat, pelajar hanya membayar RM10. Nampak besarkan perbezaan di situ,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai pensyarah mereka faham pelajar berdepan dengan kewangan yang terhad. Oleh itu, pensyarah perlu memainkan peranan dengan menjadi lebih kreatif seperti menggunakan nota dan internet.

Sementara itu Pakar Falsafah dan Pengajian Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Zaid Ahmad memberitahu, di setiap universiti terdapat perisian yang boleh mengesan kegiatan plagiat.

Jelasnya, perisian tersebut dapat mengesan persamaan antara bahan yang pelajar hantar dengan bahan sedia ada. Jika persamaan itu terlalu tinggi seperti 80 peratus, kemungkinan plagiarisme itu berlaku.

“Kalau pelajar kemukakan jawatan berserta nama pada petikan yang diambil, ia dibenarkan tetapi jika mereka buat macam hasil idea sendiri, ia memang salah.

“Lagi pun pensyarah tahu. Jika tiba-tiba seseorang pelajar menggunakan nilai bahasa yang tinggi pada kajian mereka, pasti ada sesuatu berlaku,” katanya.

Tambah Zaid, ilmu tidak boleh dicuri-curi. Pelajar harus jujur dengan diri mereka sendiri.

“Bayangkan jika pada peringkat universiti pun mereka tidak jujur, bagaimana mereka mahu menghadapi dunia pekerjaan kelak.

“Kesimpulannya, isu plagiat dan fotokopi ini tidak seharusnya menular dalam kalangan pelajar universiti. Jadilah pelajar yang kreatif dan sentiasa rujuk pensyarah jika memerlukan bantuan,” tuturnya.