Dia yang berasal dari Johor Bahru, Johor merasakan, penduduk di Malaysia sepertinya begitu beruntung kerana memiliki peluang mendapatkan rawatan dengan mudah.

Hatinya terdetik begitu selepas menyaksikan ramai penduduk di Bajitpur iaitu sebuah perkampungan di Dhaka, Bangladesh berjalan kaki untuk ke pusat pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan.

“Sekurang-kurangnya lawatlah Bangladesh untuk berjumpa dengan penduduknya walaupun anda tidak mahu melawat Bangladesh untuk menikmati makanan, pergi tempat menarik atau membeli-belah.

“Melihat cara mereka menjalani kehidupan, ia menimbulkan rasa keinsafan. Di Bangladesh, jika masyarakatnya hidup susah, mereka memang betul-betul susah sehingga tiada makanan,” ujar pelajar Psikologi Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) itu.

Nur Hidayah merupakan salah seorang daripada 40 orang pelajar CUCMS yang mengikuti misi kemanusiaan ke Dhaka, Bangladesh dari 22 hingga 28 Julai lalu.

Misi kemanusiaan dikenali Ekspedisi Bantuan dan Penjagaan Bangladesh (BRACE) 2018 itu bertujuan untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan yang diperlukan serta menyalurkan bantuan bagi komuniti di sana.

“Saya nampak betapa wajah-wajah mereka penuh dengan harapan. Bayangkan apabila kami memberitahu bahawa bekalan ubat telah habis, mereka merayu agar diberikan rawatan kerana mereka telah menunggu lama untuk kami datang.

“Kebanyakan daripada mereka mempunyai penyakit gastrik dan penyakit kulit. Mereka sakit kerana tidak cukup makan dan sumber air bersih juga terhad,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.

Nur Hidayah menambah, mereka memilih Dhaka sebagai lokasi bantuan selepas melihat kejadian banjir besar yang melanda Asia Tenggara pada tahun lalu benar-benar meruntun hati.

Setakat Jun 2017, Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC) menganggarkan sekurang-kurangnya 1,200 orang terkorban dan lebih 41 juta orang terjejas oleh hujan monsun dan banjir teruk di Asia Selatan.

Di Bangladesh sahaja, banjir telah mengorbankan seramai 142 orang dan memberi kesan kepada lebih 8.5 juta penduduknya. Mereka bukan hanya kehilangan tempat tinggal, malah tanaman, bekal makanan dan binatang ternakan semuanya turut musnah.

Kumpul maklumat

Bank Pembangunan Asia menyatakan bahawa 31.5 peratus penduduk Bangladesh hidup di bawah tahap kemiskinan negara.

Selain kampung Bajitpur, kumpulan BRACE telah melawat kampung Uthali, Madrasah Al-jamiatul Islamia Majahirul Ulum Bhagalpur, Universiti Bangabandhu Sheikh Mujib Medical (BSMMU) serta Kolej & Sekolah Aftab Uddin.

Pengarah Projek BRACE 2018, Ameer Ikhwan Azminudin berkata, pelajar CUCMS mula mengumpul maklumat, membuat kajian terhadap kawasan yang terjejas dan merancang untuk misi kemanusiaan berkenaan seawal bulan Disember 2017.

“Misi tahunan itu menumpukan kepada perkhidmatan kesihatan, rawatan, pendidikan dan sokongan kebajikan kepada komuniti yang kurang bernasib baik.

“Usaha secara berkumpulan itu sejajar dengan wawasan universiti iaitu untuk memupuk semangat mengambil peduli yang diterapkan dalam diri setiap siswa dan siswazah,” ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan BRACE 2018 ialah pemeriksaan dan ceramah kesihatan. Selain itu, terdapat dua projek jangka panjang dimeterai iaitu memberi sumbangan kepada bayi baru lahir yang datang daripada keluarga miskin.

Selain itu, ialah kerja-kerja pengubahsuaian bagi tujuan membesarkan tandas di madrasah berdekatan agar pelajar dapat memastikan kebersihan diri dijaga seeloknya dan menyediakan 10 buah alat penapis air di kampung Uthali.

CUCMS juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BSMMU untuk bekerjasama dalam inisiatif perkongsian ilmu, pertukaran pelajar dan kajian. Kerjasama ini berfokuskan kepada program sarjana dalam perubatan keluarga, anatomi dan farmakologi.

Pengetahuan

Sementara itu, pelajar jurusan farmasi CUCMS, Shafieza Hanem Sahrudin pula memaklumkan, perkara paling penting yang telah dipelajarinya daripada misi berkenaan ialah tanggungjawab setiap individu untuk menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang dan usaha yang dilakukan untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan.

“Satu perkara yang saya belajar dari program ini ialah kita patut sentiasa bersyukur dan berbuat baik antara satu sama lain kerana kita semua bukan manusia sempurna.

“Saya gembira dapat menyertai misi ini untuk kali kedua dan saya berpeluang melihat perbezaan dalam setiap komuniti yang kami bantu,” jelasnya yang turut berterima kasih kepada Kolej Perubatan Jahurul Islam kerana menyediakan tempat tinggal selama tiga hari kepada mereka.

BRACE 2018 merupakan misi kemanusiaan antarabangsa yang keenam oleh pelajar CUCMS. Ia bermula dengan kunjungan sulung ke Kemboja (2013) diikuti dengan Vietnam (2014), Indonesia (2015), Laos (2016) serta Nepal tahun lepas.

Terlibat dalam sukarelawan dan program kemanusiaan adalah satu perkara yang diketengahkan di CUCMS dalam falsafahnya untuk melahirkan pakar yang menyeluruh dan penjagaan kesihatan yang mempunyai kualiti dalam kepimpinan, kecekapan, keusahawanan dan daya tahan.

Dengan tujuan ini, pelajar CUCMS digalakkan untuk menganjurkan pelbagai misi kemanusiaan di dalam dan luar negara.

Penasihat BRACE 2018, Prof. Madya Dr. Mohamed Ikram Mohamed Salleh berkata, Bangladesh merupakan tempat yang terbaik bagi pelajar untuk menjalankan latihan praktikal agar mereka dapat menggunakan pengetahuan teori di dunia nyata.

“Pendedahan kepada komuniti luar bandar seperti ini membantu pelajar dalam memahami fungsi sebenar mereka sebelum menjadi seorang pakar dalam bidang penjagaan kesihatan.

“Ia juga membuka peluang baharu kepada mereka untuk menambah pengetahuan dan memahami bagaimana spektrum bidang penjagaan kesihatan yang sebenar berfungsi,” terangnya.

Setuju dengan perkara itu, Siti Sarah Abdul Fatah berkata, misi berkenaan memang satu pengalaman yang membuka mata.

“Saya telah pelajari banyak perkara yang bermanfaat dari misi ini seperti sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, bekerja keras dan sentiasa melakukan kebaikan tanpa mengira di mana kita berada.

“Saya sangat tersentuh dengan penduduk Bangladesh dan berasa bahawa apa yang kami sumbangkan hanyalah sedikit tetapi cara mereka menghargainya lebih daripada apa yang kami harapkan,” katanya yang merupakan pelajar farmasi CUCMS.