Ledakan teknologi maklumat pada abad ke-21 juga memaksa setiap pengguna aplikasi atau pelayar laman web meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, jika tidak mahu dilihat ketinggalan dalam arus kemajuan global.

Atas kesedaran itu, sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan alumni jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur telah melaksanakan satu program meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bersama murid-murid sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah di sekitar Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Program dikenali sebagai Projek Pearl itu telah diadakan secara mingguan dan dikelolakan oleh sekumpulan sukarelawan di Surau Mutiara Damansara sejak Mei lalu.

Hasil atau kemuncak daripada program mingguan berkenaan ialah Hari Persembahan dan Laporan Kemajuan Projek Pearl yang telah berlangsung di Auditorium Fakulti Pendidikan UM baru-baru ini.

Ia telah dihadiri oleh pihak pengurusan fakulti, ibu bapa dan ahli keluarga peserta Projek Pearl serta pimpinan dan ahli jawatankuasa Surau Mutiara Damansara bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan murid-murid yang terlibat.

Ketua Jabatan Pendidikan Bahasa dan Literasi, Fakulti Pendidikan UM, Dr. Adelina Asmawi berkata, idea melaksanakan program itu tercetus setelah melihat sendiri keperluan yang sangat mendesak dalam kalangan murid miskin bandar untuk mendapatkan sokongan yang bersesuaian bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.

“Saya percaya, selepas program ini, dengan kebolehan yang setanding dengan murid-murid lain mereka mampu berjaya pada masa hadapan dan membina kehidupan yang lebih baik.

“Projek Pearl bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris para peserta melalui kaedah yang kreatif dan inovatif antaranya dengan permainan berkumpulan, tontonan video, nyanyian lagu dan juga lakonan drama,” katanya yang juga merupakan pengasas program tersebut.

Projek Pearl yang menerima geran penyelidikan komuniti daripada Pusat Komuniti dan Kelestarian UM (UMCares) itu dikendalikan sepenuhnya oleh lima orang mahasiswa dan alumni jurusan TESL UM.

Program berkenaan juga telah mendapat pelbagai reaksi postitif daripada komuniti akademik dan awam.

“Para pengajar yang merupakan sukarelawan telah merancang dan membina modul sendiri dan pada masa sama memastikan proses pembelajaran serta pengajaran yang dilakukan untuk Projek Pearl ini memenuhi keperluan pembelajaran formal di sekolah,” ujarnya lagi.

Pementasan drama

Seramai 33 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 2 hingga Tahun 5 telah menyertai Projek Pearl.

Menurut pelajar Sarjana TESL yang juga merupakan ketua sukarelawan Projek Pearl, Zainul Hakim Shazni, sempena Hari Persembahan dan Laporan Kemajuan itu murid-murid diminta menjayakan satu pementasan drama sepenuhnya dalam bahasa Inggeris iaitu Amelia’s Magical Adventure.

Amelia’s Magical Adventure merupakan hasil tulisan para sukarelawan Projek Pearl yang diinspirasikan daripada jalan cerita filem Magika keluaran KRU Films.

“Kami memilih untuk menggunakan konsep yang diguna pakai dalam filem tahun 2010 arahan Edry Abdul Halim ini kerana penggunaan watak-watak daripada kisah rakyat Melayu yang mudah difahami dan dihayati oleh para peserta.

“Dalam Amelia’s Magical Adventure, ia menceritakan kisah perjalanan Amelia yang bertemu dengan pelbagai watak menarik seperti Nenek Kebayan, Bawang Merah, Bawang Putih, Hang Tuah, Badang, Pak Belang dan lain-lain,” tuturnya.

Dalam pada itu, selain daripada laporan khusus sukarelawan, perkembangan murid-murid sekolah yang menjadi peserta Projek Pearl juga dapat dinilai sendiri oleh ibu bapa dan keluarga mereka melalui pementasan drama yang dipersembahkan.

Salah seorang peserta yang dinobatkan pelajar terbaik keseluruhan ialah Muhammad Mikhail Imran Zaid, 11.

“Saya dan rakan-rakan sentiasa seronok dan teruja apabila mengikuti kelas bahasa Inggeris anjuran Projek Pearl. Aktiviti yang dirancang untuk kami melibatkan pelbagai bentuk permainan yang menarik yang dinamakan hot seats, hangman online dan broken telephone.

“Banyak elemen bahasa Inggeris seperti tatabahasa dan perbendaharaan kata dapat kami pelajari melalui aktiviti-aktiviti ini,” kata Muhammad Mikhail.