EEP tahun ini melibatkan 240 pelajar daripada enam buah sekolah menengah yang menghadiri program itu selama dua hari di Petrosains Discovery Centre, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur.

Pelajar diajar menggunakan mikro-bit, alat pendidikan yang merekodkan kod dengan lebih mudah untuk tujuan reka cipta.

Inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu direka khusus menggunakan pendekatan pembelajaran abad ke-21.

Praktikal

Ia mengajar pelajar untuk membuat pengekodan bagi menghasilkan projek yang praktikal dan cekap tenaga seperti jadual pintar, pengesan asap dan penyiram air automatik.

Bercakap mengenai program tersebut, Presiden MGA, Hazli Sham Kassim berkata, sebagai peneraju utama industri gas asli negara, MGA menyedari betapa pentingnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai tenaga, bukan hanya dalam kalangan pembuat dasar dan badan korporat tetapi juga dalam kalangan pelajar kerana mereka adalah peneraju masa hadapan negara.

Menurutnya, EEP menawarkan platform kepada kami untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar, memberi peluang untuk mereka belajar, membuka minda dan mencetus idea-idea baharu, khususnya yang berkaitan dengan tenaga yang merupakan komponen kritikal untuk kemajuan negara.

“Sepanjang pelaksanaannya untuk lima tahun ini, EEP telah melibatkan lebih daripada 4,000 pelajar daripada 60 buah sekolah.

“Pelbagai program telah dijalankan termasuk asas mekanisme menerbangkan pesawat udara tanpa pemandu (drone), demonstrasi sains, pendedahan mengenai sumber tenaga dan sistem bekalan elektrik di Malaysia serta perbincangan mengenai amalan penjimatan tenaga,” ujarnya.

Program tahunan itu juga menampilkan sesi mentoring yang disertai oleh ahli-ahli MGA sendiri seperti Petronas dan H. Rosen Engineering (M) Sdn Bhd.

Mentor yang terlibat berkongsi pandangan mengenai kecekapan tenaga dan peranan penting gas asli dalam mewujudkan campuran tenaga mampan.

“Mereka juga berkongsi pengalaman peribadi bagaimana pembelajaran STEM boleh menggalakkan inovasi dan pemikiran di luar kotak yang kelak akan membantu membentuk kerjaya yang berjaya,” tambahnya.

Sementara itu, guru Teknologi Maklumat dan Komunikasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keramat Wangsa, Mohd. Fahmi berkata, penyertaan dalam EEP tahun ini merupakan pengalaman yang sangat bernilai untuk pelajar.

Berinteraksi

Katanya, ia bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada penggunaan pengekodan bagi menghasilkan penyelesaian digital untuk situasi kehidupan sebenar tetapi juga memberi peluang kepada murid untuk berinteraksi dengan mentor yang banyak membantu dan berkongsi pengalaman.

Semasa program selama dua hari di Petrosains, pelajar dikehendaki membina prototaip menggunakan mikro-bit kit yang disediakan oleh MGA.

Dua kumpulan terbaik daripada setiap sekolah akan dipilih untuk kembali pada September depan bagi membentangkan projek mereka kepada panel juri yang terdiri daripada wakil-wakil KPM, MGA dan Petrosains.

Pemilihan akan dibuat berdasarkan kreativiti mereka dalam mengatasi masalah serta fungsi dan kecekapan penyelesaian yang dicadangkan.

Ketua pasukan SMK Keramat Wangsa, Huda Izzati berkata, dia benar-benar menghargai program EEP berkenaan.

“Saya sangat gembira dapat belajar pengekodan dan bersemangat untuk mencuba program baharu. Matlamat kami seterusnya adalah untuk memenangi pertandingan dan menaikkan nama sekolah.

“Saya benar-benar terharu melihat wakil MGA menghabiskan masa bersama kami dan menjawab semua soalan kami. Mereka juga memberikan tip bagaimana untuk menjimatkan tenaga,” terangnya.