SEAWAL pukul 8 pagi, Redzyque Aydil Ramza Rudinata Ramza, 11, sudah bersedia untuk menjalani latihan tenis seperti minggu-minggu yang sebelumnya.

Seperti kebiasaannya, dia akan berlatih teknik pukulan yang betul bagi meningkatkan kemahiran dalam sukan tersebut dengan dibantu beberapa orang jurulatih.

“Kalau nak diikutkan, saya bermain tenis sejak berusia tujuh tahun lagi.

“Sehingga ke hari ini, saya masih belajar cara yang betul dalam sukan ini agar corak permainan saya boleh meningkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui semasa mengikuti klinik latihan tenis di gelanggang tenis Presint 9, Putrajaya baru-baru ini.

Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (3), Aydil Ramza itu mewakili sekolahnya dalam beberapa kejohanan tenis antara sekolah-sekolah bermula tahun lalu.

Malah, dia pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan bulanan yang pernah diadakan sebelum ini.

“Boleh dikatakan saya banyak menghabiskan cuti hujung minggu dengan berlatih di klinik tenis ini.

“Walaupun bukan bertaraf akademi sukan tapi ia banyak membantu saya meningkatkan kemahiran dalam sukan ini,” katanya yang bercita-cita menjadi pemain tenis profesional suatu hari nanti.

Turut berkongsi cita-cita yang sama ialah seorang lagi peserta, Nor Fatin Zafirah Ahmad Zamani, 11.

Dia yang berjinak-jinak dalam sukan itu sejak berusia tujuh tahun menjadikan klinik latihan tenis tersebut sebagai platform untuk meningkatkan kemahiran.

“Saya memang minat sukan tenis. Walaupun tidak pernah mewakili sekolah setakat ini tapi saya berharap suatu hari nanti akan berpeluang untuk mewakili institusi pengajian tinggi apabila sudah dewasa kelak,” katanya yang bersekolah di SK Putrajaya Presint 11 (2).

Pendedahan

Klinik latihan tenis tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Tenis Wilayah Persekutuan Putrajaya berlangsung setiap hari Ahad. Ia bagi memberi pendedahan kepada golongan kanak-kanak khususnya pelajar sekolah mengenai sukan tersebut.

Beberapa jurulatih berlesen yang juga merupakan ahli persatuan tersebut akan memberi tunjuk ajar kepada para peserta mengenai teknik asas dalam sukan berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai klinik berkenaan, seorang jurulatih, Burhanuddin Zubairi, 57, berkata, ia diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah mengenali, mencuba dan berlatih sukan tenis.

“Saya percaya, ramai pelajar sekolah termasuklah orang dewasa yang ingin mencuba sukan ini tetapi tidak berpeluang berbuat demikian atas faktor-faktor tertentu.

“Jadi, kami di persatuan mengambil inisiatif untuk menganjurkan klinik ini bagi membuka ruang dan peluang kepada mereka.

“Dengan bayaran yuran yang sangat rendah, mereka akan diajar tentang teknik-teknik asas dalam tenis, terutamanya mengenai pukulan yang betul dan diberi peluang untuk bermain serta berlawan antara satu sama lain dalam tempoh dua jam bagi setiap sesi latihan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman bermain tenis hampir 30 tahun berkata, pendedahan tersebut sangat penting sebagai ruang untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan berkenaan.

Potensi

Malah katanya, ia juga bagi membuang tanggapan salah sesetengah anggota masyarakat yang selama ini menganggap tenis sebagai sukan untuk golongan elit sahaja.

“Sebenarnya, tenis boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat. Cuma, mungkin disebabkan kemudahan gelanggang yang sangat kurang khususnya di luar bandar, sukan ini jarang diceburi dan dimainkan.

Perkara itu diakui seorang lagi jurulatih, Mohd. Bukhari Adnan, 39, dengan berkata, sukan tenis berpotensi untuk dikembangkan sebagai sukan teras di sekolah-sekolah sekiranya lebih ramai murid diberi pendedahan.

Katanya lagi, menerusi pendedahan itu, pelajar sekolah mempunyai lebih banyak pilihan sukan yang mereka boleh ceburi, bukan sekadar beberapa jenis sukan yang ditawarkan di sekolah.

“Jika pihak sekolah tidak menawarkan sukan tenis, ibu bapa harus mencari inisiatif menghantar anak-anak untuk mengikuti latihan di mana-mana tempat bagi mengasah bakat mereka.

“Siapa tahu, mungkin anak-anak mereka tidak begitu baik dalam acara balapan atau bola sepak tetapi dapat bermain dengan baik dalam sukan tenis.

Penyertaan

“Saya sendiri mula bermain tenis sejak berusia 11 tahun. Sehingga kini, saya masih aktif bermain dan pernah beberapa kali menyertai kejohanan sama ada ketika zaman persekolahan mahupun bekerja termasuk memiliki lesen sebagai jurulatih bertauliah,” katanya yang bertugas di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi Presiden Persatuan Tenis Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd. Hilmy Abdul Jalil, pihaknya tidak mengehadkan jumlah penyertaan untuk mengikuti klinik berkenaan kerana ingin memberi peluang kepada lebih ramai orang mempelajarinya.

“Kami mengadakan klinik latihan tenis ini sejak tahun 2014 dan ramai pelajar sekolah berusia antara enam hingga 15 tahun mengikuti latihan ini.

“Di sini, kami hanya melaksanakan program pembangunan bakat dan sekiranya ada peserta berpotensi untuk diketengahkan, mereka disarankan untuk mendaftar di mana-mana akademi sukan bagi mendapatkan latihan yang lebih komprehensif.

“Bagi tahun ini, terdapat kira-kira 50 peserta yang sudah mendaftar meliputi pelbagai kategori umur dan tahap kemahiran, itu tidak termasuk mereka yang datang secara terus,” katanya.

Jelasnya lagi, selain golongan kanak-kanak dan pelajar sekolah, klinik tenis turut dibuka kepada golongan dewasa khususnya wanita yang ingin mempelajari sukan tersebut.

“Biasanya, klinik tenis untuk wanita dilaksanakan pada waktu malam kerana kebanyakan daripada mereka merupakan golongan ibu dan berkerjaya.

“Untuk golongan tersebut, mereka hanya hadir ke latihan untuk belajar cara bermain tenis bagi mengisi masa lapang dan memenuhi minat dalam sukan,” katanya.