Pertandingan yang berlangsung di Asrama Tunku Abdul Rahman (Astar) atau lebih dikenali sebagai Kolej Kediaman Pertama dan Balai Ungku Aziz itu menampilkan 54 pasukan yang bertanding dalam beberapa kategori.

Pada pertandingan itu, pasukan pendebat daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul juara berganda selepas mengungguli dua kategori yang dipertandingkan.

Pasukan UIAM yang bertindak sebagai pencadang bagi usul bertajuk Anak Muda Penentu Pilihan Raya Umum muncul sebagai johan bagi Kategori Utama, sekali gus menjadikan pasukan pendebat daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai naib johan.

UIAM juga tampil unggul apabila menjadi juara liga selepas memenangi keenam-enam pusingan awal tanpa kalah.

Bagi Kategori Muda pula, johan turut diungguli pasukan daripada UIAM setelah menewaskan pasukan pendebat Universiti Multimedia (MMU).

Dinie Zhafri daripada UiTM turut diumumkan sebagai pendebat terbaik bagi Kategori Utama, manakala Faizul Izwan daripada MMU berjaya mendapat hadiah selaku pendebat terbaik untuk Kategori Muda.

Johan bagi Kategori Utama dan Muda membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, trofi berserta sijil, manakala bagi naib johan, pemenang memperoleh wang tunai sebanyak RM1,800, trofi berserta sijil.

Bagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir, masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta trofi dan sijil pencapaian.

Anugerah pendebat terbaik pula disandang oleh peserta daripada Universiti Putra Malaysia, Nurul Rashidah Mohamed Roseli.

Kesemua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Khairul Azwan Harun. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof. Datuk Rohana Yusof.

Debat Terbuka Astar yang memasuki edisi ke-21 dengan tema Debat Melahirkan Mahasiswa Intelektual itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual, Kolej Kediaman Pertama, UM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM, Majlis Orator UM (MORUM) serta Alumni Pendebat UM.

DTA menjadi platform bagi para pendebat dalam kalangan mahasiswa untuk membahas dan mengutarakan pendapat mengenai isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia mahupun di luar negara.

Pengarah Program, Marshah Mohamad Shahrizad berkata, DTA merupakan program tahunan yang dilaksanakan oleh Astar dalam usaha menjadikan aktiviti debat sebagai salah satu platform melahirkan pendebat yang berbakat dalam kalangan mahasiswa serta pelajar institusi pengajian tinggi tempatan.

“Malah, program DTA ini merupakan aktiviti yang sangat dinanti-nantikan oleh mahasiswa di seluruh negara kerana ia merupakan platform debat yang sangat berprestij.

“Ia juga merupakan satu platform untuk peserta merapatkan ukhuwah sesama pendebat dan alumni antara IPT di samping dapat bertukar-tukar pendapat mengenai isu semasa negara mahupun dunia,” katanya.

Persaingan sengit

Dalam pada itu, Ketua Hakim DTA, Mohamad Adam Danial Hafiz Goh pula menjelaskan, kesemua peserta telah memberikan persaingan yang sengit kerana sebahagian besar mereka merupakan pendebat berpengalaman.

Malah, mereka juga mampu memberi idea yang sangat bernas walaupun isu-isu yang dipilih sebagai tajuk perdebatan agak berat.

“Kebanyakan peserta memang mempunyai bakat yang sangat besar sebagai pendebat kerana mereka mempunyai banyak idea serta pendapat berkaitan isu yang dibangkitkan.

“Saya berasakan pertandingan DTA ini perlu diteruskan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mempunyai keupayaan dan kemahiran untuk memberikan pandangan yang bernas ketika berhujah,” katanya.

Khairul Azwan dalam ucapan perasmiannya pula berpendapat, golongan muda khususnya mahasiswa perlu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menilai kebenaran sesuatu berita atau maklumat yang diterima khususnya daripada media sosial.

Malah, mahasiswa perlu lebih cakna dengan isu semasa dan menyemak kebenaran fakta sebelum menyebarkannya kerana tindakan menyebar fakta yang salah boleh memberi implikasi yang besar kepada negara.