Masing-masing mempamerkan riak wajah teruja dan sabar menanti di ruangan khemah yang disediakan meskipun waktu pendaftaran hanya akan bermula sekitar 9 pagi.

Jalan-jalan sekitar menara gading berkenaan turut kelihatan sesak dengan bermacam jenis kenderaan menuju ke ruang parkir yang disediakan.

Pengawal keselamatan yang ditugaskan di beberapa kawasan tumpuan begitu tekun menjalankan tugas bagi memastikan perjalanan hari penting itu berlangsung dengan lancarnya.

Pemudah Cara Mahasiswa juga mula menjalankan tugas mereka setelah menjalani sebulan persiapan untuk menyambut kedatangan mahasiswa baharu.

Karisma mereka amat terserlah dengan pakaian seragam yang dipakai. Masing-masing bergerak ke tempat-tempat yang ditugaskan untuk melancarkan lagi proses pendaftaran.

Pemudah Cara Mahasiswa inilah yang akan menjadi penggerak minggu Haluan Siswa UM sepanjang seminggu setelah selesainya proses pendaftaran.

Mereka bertindak membantu mahasiswa baharu untuk mengenali UM dengan lebih dekat lagi selain menjadi pemudah cara dalam melengkapkan borang-borang yang diperlukan fakulti.

Tidak berakhir di situ, Pemudah Cara Mahasiswa akan memastikan mahasiswa baharu mengikuti setiap aktiviti yang dirangka dengan jayanya selain menjaga keselamatan mereka sehingga berakhirnya minggu Haluan Siswa.

Bakat kepimpinan

Salah seorang Pemudah Cara Mahasiswa, Nurul Syamimi Samandi Marguna, 20, berkata, tanggungjawab tersebut memberikan pengalaman baharu dalam hidupnya selain dapat menggilap bakat kepimpinan yang dimiliki.

“Pemudah Cara Mahasiswa adalah platform untuk menggilap bakat kepimpinan seseorang mahasiswa, sekali gus menjadi batu loncatan kepada mereka yang berminat untuk menyertai Majlis Perwakilan Pelajar atau Jawatankuasa Tindakan Kolej.

“Saya dilatih untuk menjadi seorang pemimpin yang mempunyai karisma, berani, bijak membuat keputusan dan kental untuk menghadapi setiap cabaran mendatang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kolej Kediaman 12, Kolej Kediaman Sultan Nazrin Shah, UM baru-baru ini.

Nurul Syamimi menambah, Johor itu, dia dan rakan-rakannya adalah individu terpilih setelah berjaya melepasi proses pemilihan yang agak mencabar.

Nurul Syamimi memberitahu, dia perlu menghadiri beberapa kursus setelah lulus temu duga Pemudah Cara Mahasiswa yang dikendalikan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UM.

“Proses pemilihan Pemudah Cara Mahasiswa agak sukar kerana ia mempunyai kriteria-kriteria yang telah ditetapkan pihak universiti. Kami perlu melalui beberapa kursus yang setiap daripadanya mempunyai tahap kesukaran yang tersendiri.

“Paling mencabar adalah kursus jati diri di Langkawi, Kedah yang memerlukan kami berkayak sejauh 12 kilometer dan membina khemah sebagai tempat tinggal. Di situ kami tidak dapat mandi dan perlu mencari jalan untuk mendapatkan keperluan asas dengan sendiri,” katanya.

Cerita anak kelahiran Tangkak, Johor itu, dia ditugaskan untuk menjadi Pemudah Cara Mahasiswa di Kolej Kediaman 12, Kolej Sultan Nazrin Shah yang menempatkan mahasiswa baharu teramai iaitu sebanyak 800 orang.

“Semuanya amat bergantung kepada kebijaksanaan Pemudah Cara Mahasiswa mengendalikan kumpulan mahasiswa tersebut dan menyelesaikan setiap masalah berbangkit.

“Dalam keadaan jumlah mahasiswa yang agak ramai, kami perlu mengawal pergerakan mereka supaya tidak melencong ke tempat lain apabila dikehendaki ke Dewan Canselor bagi menjalani aktiviti yang ditetapkan,” katanya lagi.

Komunikasi

Cerita mahasiswa jurusan Sains Sukan itu, dengan kesungguhan untuk menjadi pemimpin yang bermanfaat kepada pengikutnya, Nurul Syamimi berjaya mengendalikan bermacam karenah mahasiswa baharu dengan penuh sabar.

Jelas Nurul Syamimi, setiap mahasiswa di bawah kendaliannya mengikuti aktiviti-aktiviti yang dirangka sepanjang minggu Haluan Siswa dengan jayanya dan menunjukkan disiplin yang amat cemerlang seterusnya menjadi contoh kepada mahasiswa lain.

Sementara itu, seorang lagi Pemudah Cara Mahasiswa, Hu Zhang Wei, 20, mengakui kemahiran komunikasinya lebih menyerlah selain bijak membuat keputusan.

“Pada awalnya memang agak susah kerana saya belum ada pengalaman dan perlu bekerjasama dengan ahli pasukan yang berlainan latar belakang, fakulti serta berbilang kaum.

“Bagaimanapun, saya tidak malu bertanya untuk meminta tunjuk ajar. Malah, komunikasi berkesan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku,” kata mahasiswa jurusan Kejuruteraan Kimia itu.

Anak jati Johor Bahru, Johor itu berkata, pasukan Pemudah Cara Mahasiswa ibarat keluarganya sendiri dan mereka menyelesaikan setiap isu yang berlaku secara muafakat.

Cerita anak bongsu daripada tiga beradik itu, setiap malam selepas berakhirnya program bersama mahasiswa, Pemudah Cara Mahasiswa akan mengadakan mesyuarat bersama pengetua kolej kediaman untuk meneliti sebarang masalah yang berbangkit.

Bagi S. Luvindran, 20, pengalaman terlibat sebagai Pemudah Cara Mahasiswa mengajar dirinya makna pengorbanan dalam mencapai sesebuah kejayaan.

Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengakui, kebiasaannya Pemudah Cara Mahasiswa akan tidur sekitar 12 tengah malam dan bangun sebelum subuh bagi memastikan gerak kerja yang dirancang pada keesokan hari berjalan dengan lancar.

Cerita anak ketiga daripada empat beradik itu, mereka juga perlu belajar untuk melakukan kerja dengan cepat dan efisien kerana sering kali menerima arahan daripada pihak atasan pada saat-saat akhir.