Mohamad Azlan bersama ahli pasukannya yang terdiri daripada lima pemain berjaya menamatkan kemarau emas selepas lebih 24 tahun Malaysia gagal menempatkan nama di tangga juara.

Kali terakhir skuad sepak takraw memenangi pingat emas ialah pada 1994 semasa Sukan Asia di Hiroshima, Jepun dan pada Sukan Asia 1990 di Beijing, China.

Kemenangan manis itu diraih penuh dramatik apabila skuad yang dikendali jurulatih Abdul Talib Ahmad bermula lesu apabila tewas 18-21 pada set pertama. Kelesuan berterusan dan kelihatan berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 11-15.

Namun, ibarat tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu, keajaiban berlaku selepas itu apabila skuad berkenaan bangun untuk kembali memberi tentangan kepada pasukan Indonesia sehingga berjaya mengungguli set kedua dengan mata 22-20.

Pada set penentuan, regu negara dilihat lebih bersedia dan berjaya menahan asakan demi asakan regu lawan sehingga mata akhir set ketiga mencatatkan 21-11 sekali gus menamatkan perlawanan sebagai juara.

Minat

Menurut Mohamad Azlan yang baru pertama kali menyertai Sukan Asia berkenaan, dia menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan di luar jangkaan.

Katanya, Indonesia selaku tuan rumah mendapat sokongan padu daripada penonton, mereka kelihatan begitu yakin kerana mendapat sokongan penuh, sebaliknya skuad takraw kebangsaan hanya berbekalkan semangat dan impian tidak akan menyerah kalah selagi tidak sampai ke mata penamat.

“Ternyata bekalan itu menjadi pendorong untuk kami berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh. Ia satu pertandingan sengit namun berbaloi,” katanya ketika ditemui di Studio Astro Arena, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Satu lagi faktor yang membuatkan mereka berjaya adalah kerana mampu mengawal emosi dengan baik ketika perlawanan sedang berlangsung.

Katanya, mereka berjaya menguasai dan mengawal emosi supaya lebih tenang dan positif, dengan cara tersebut ia berjaya meruntuhkan moral lawan.

Selain Mohamad Azlan, kebangkitan skuad takraw pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 turut dipelopori oleh Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Zulkifli Abdul Razak, Norhaffizi Abdul Razak dan Farhan Adam.

Kesemua mereka mula meminati bidang sukan sepak takraw sejak di bangku sekolah lagi.

Misalnya, Mohamad Azlan yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein, Selama, Perak memberitahu, jurulatih di sekolahnya iaitu Ku Jaisman Ku Ismail adalah insan yang bertanggungjawab membawanya ke arena sukan takraw.

“Ku Jaisman yang mengesan bakat saya dalam bidang takraw ini. Dia mula memberi motivasi supaya saya serius dalam arena sukan takraw,” ujarnya.

Dalam pada itu, selepas berakhirnya temasya sukan berkenaan dua bulan lalu, lima kelibat pemain takraw disebut-sebut semula apabila kejohanan Liga Sepak Takraw (STL) 2018 membuka tirai secara rasmi pada 5 Oktober lalu.

Dengan mengekalkan format regu yang sama, STL 2018 yang sudah memasuki edisi kelima pada tahun ini bertujuan untuk menyediakan liga berkualiti buat pemain-pemainnya memperagakan bakat mereka sekali gus menjadi instrumental di dalam menjamin kesinambungan pemain untuk mewakili negara.

Persiapan

Tumpuan utama sudah tentu terarah kepada keupayaan Penang Black Panthers yang turun mengekalkan kejuaraan Divisyen Premier buat kali ketiga berturut-turut. Pasukan Penang Black Panthers dibarisi apit kanan iaitu Mohamad Azlan dan Tekong, Mohammad Syahir.

Menurut Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, 22, yang berasal dari Kedah itu, persiapan pada musim ini diperkemaskan dengan lebih mantap agar gelaran juara bertahan masih dapat dikekalkan.

“Pada aksi kali ini, saingan menjadi lebih sengit kerana kebanyakan pasukan sudah menampakkan kebolehan masing-masing. Boleh dikatakan kami menerima saingan daripada kesemua 20 pasukan yang bertanding,” ujarnya yang sudah lima kali menyertai STL.

Pada minggu lalu, Penang Black Panthers menamatkan aksi pertama STL 2018 selaku pendahulu setelah melakar kemenangan pada 7 Oktober lalu.

Gandingan dua tonggak kebangsaan Mohammad Syahir dan Mohamad Azlan, bersama-sama Zaim Razali nyata terlalu ampuh untuk disaingi Irsyad Aziz, Muzhafar Daimin dan Fadzli Roslan dari Terengganu Turtles yang akur tewas.

Sebagai makluman, saingan Divisyen Premier dijadualkan berlangsung selama lapan minggu bermula 5 Oktober hingga 25 November 2018 manakala Divisyen Satu selama tiga minggu iaitu 9 hingga 25 November. Piala Juara STL pula akan berlangsung dari 7 hingga 16 Disember 2018 secara langsung menerusi Astro Arena.

Sementara itu Farhan Adam, 29, yang mewakili Selangor Pistons memasang impian untuk berada pada tangga empat ke atas pada STL kali ini. Pada tahun lalu, pasukannya berada pada tangga ketujuh.

“Harapan sudah tentunya digalas tinggi memandangkan saya baharu sahaja memenangi emas di Sukan Asia. Saya akan memberi komitmen dan fokus yang lebih pada aksi kali ini.

“Namun, tiada sebarang tekanan yang diberikan oleh pasukan, kami bersama-sama berusaha untuk melakukan perubahan dari segi teknik dan gaya agar pasukan ini boleh pergi lebih jauh,” tutur anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Dalam pada itu, Farhan menyifatkan kejohanan itu adalah platform terbaik untuk meningkatkan lagi populariti sukan sepak takraw di Malaysia, malah ia diibaratkan sebagai penanda aras untuk pemain sepak takraw menguji kemampuan diri.

“Pada masa yang sama, STL juga menjadi medan melahirkan lebih ramai pemain muda berbakat besar untuk menjadi pelapis skuad sepak takraw negara pada masa akan datang.

“Pemain-pemain yang berpotensi ini boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili pasukan kebangsaan, pada masa depan,” tuturnya.

Lima pemain kebangsaan yang berjaya meraih emas pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 mewakili pasukan masing-masing dalam STL 2018 yang berlangsung dari 5 Oktober hingga 16 Disember 2018 di Gem In Mall, Cyberjaya, Selangor.