Sesekali dia mencelah bertanyakan beberapa soalan mengenai keunikan taman yang menarik perhatiannya.

Tidak menunjukkan reaksi terkejut, lelaki yang merupakan pemandu pelancong itu hanya mengukir senyuman dan memberikan jawapan di atas persoalan yang diajukan. Cukup sopan, ceria dan penuh dengan informasi bermanfaat.

Itu adalah sebahagian daripada momen yang dirakam ketika Kursus Pemandu Pelancong Junior anjuran Perbadanan Putrajaya yang berlangsung pada 10 hingga 11 November lalu.

Kursus itu melibatkan kira-kira 25 ahli koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya di Presint 11 yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga empat.

Nur Izzaty berkata, dia begitu teruja untuk menyertai Kursus Pemandu Pelancong Junior kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program selama dua hari itu.

“Ini adalah pengalaman luar biasa yang tidak mungkin diperoleh di tempat-tempat lain. Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang dua hari kami berada di sini.

“Perkara yang paling tidak dapat saya lupakan ialah belajar cara menoreh getah dengan betul. Saya tidak akan sesekali melupakan pengalaman ini,” katanya yang merupakan seorang pengawas koperasi di sekolahnya.

Jelas Nur Izzaty, kursus yang dijalankan secara santai dan tidak formal itu membolehkannya mengekspresikan segala idea untuk dikongsi bersama rakan-rakan yang lain.

“Menariknya, maklumat yang disampaikan secara humor dan interaktif membuatkan kami tidak bosan berbanding aktiviti yang pernah disertai sebelum ini.

“Saya bebas untuk melontarkan pandangan dan idea ketika menyelesaikan tugasan yang diberikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nur Izzaty mengakui, kursus tersebut memberi pelbagai informasi berguna yang boleh dijadikan aset penting apabila dia dan rakan-rakannya mengendalikan pakej pemandu pelancongan kelak.

“Sepanjang kursus ini, kami disarankan untuk mendapatkan ilmu sebanyak yang mungkin berkaitan dengan tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya.

“Tanpa pengetahuan yang mendalam, mustahil untuk kami menerangkan kepada rakan-rakan lain mengenai daya tarikan di lokasi tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nur Aina Hidayah Mohamad Yusof, 16, berkata, Kursus Pemandu Pelancong Junior itu mengasah kemahiran komunikasi dalam dirinya.

“Di sini, banyak perkara baharu yang saya pelajari. Kami dilatih untuk memantapkan kemahiran komunikasi sebagai salah satu persediaan menjadi pemandu pelancong.

“Saya lebih yakin untuk melontarkan idea, pandangan dan kritikan apabila membentangkan rumusan aktiviti yang dijalankan.

“Malah, ketakutan untuk berhadapan dengan orang ramai berjaya dikurangkan menerusi aktiviti-aktiviti yang disertai pada kursus ini,” ujarnya.

Ilmu

Tambah Nur Aina Hidayah, segala ilmu yang diperoleh sepanjang kursus itu akan diaplikasikan sebaik mungkin apabila bergelar pemandu pelancong kelak.

Seorang lagi peserta, Naqibah Thaqifah Abdul Hamid, 16, berkata, penyertaan pada kursus itu sedikit sebanyak mengajarnya untuk lebih menitikberatkan aspek penampilan diri.

“Seorang pemandu pelancong perlu menjaga penampilan bagi memberikan imej yang baik kepada pelancong.

“Kursus ini dilihat sebagai batu loncatan untuk menambah baik segala kekurangan yang ada sebelum boleh menjadi pemandu pelancong yang terbaik,” katanya.

Menurut Naqibah Thaqifah, dia dapat menyerlahkan lagi bakat kepimpinan yang dimiliki menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Setiap tugasan yang diberi memerlukan saya dan rakan-rakan tampil ke hadapan bagi memimpin kumpulan untuk menyelesaikan misi masing-masing.

“Hal ini secara tidak langsung telah meningkatkan sifat kepimpinan yang saya miliki, sekali gus boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Penolong Kanan Kokurikulum SMKA Putrajaya, Roslah Mohd. Rani pula berkata, Kursus Pemandu Pelancong Junior merupakan platform terbaik untuk mendedahkan ilmu pengurusan pelancongan kepada para pelajar.

“Kami ingin mendedahkan mereka dengan ilmu pengurusan pelancongan bagi memenuhi aspirasi pengurusan koperasi sekolah untuk melaksanakan perkhidmatan pelancongan.

“Ini adalah peluang terbaik untuk mereka mengembangkan potensi diri dan menimba sebanyak mungkin ilmu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Perancangan

Tambah Roslah, pihaknya dalam perancangan untuk menjalankan pakej pelancongan selama tiga hari dua malam yang disasarkan bermula tahun hadapan.

“Kami berhasrat untuk menjalankan pakej pelancongan selama tiga hari dua malam pada tahun hadapan dan sasarannya adalah para pelajar dari seluruh negara.

“Justeru, kursus ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengawas koperasi untuk memantapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan sebelum pakej itu dilaksanakan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Roslah berkata, para pelajar diasuh dengan akhlak terpuji, kesantunan berbahasa dan disiplin yang tinggi untuk menjadikan mereka sebagai duta kecil pelancongan yang serba lengkap.

“Itu adalah satu kredit yang dimiliki para pelajar kami bagi membolehkan mereka menjadi duta kecil pelancongan yang serba boleh.

“Oleh itu, saya amat berharap mereka bukan sahaja dapat menimba pengetahuan dan kemahiran dalam menguruskan pelancongan tetapi turut meningkatkan kecintaan terhadap Putrajaya,” ujarnya lagi.

Roslah menambah, Perbadanan Putrajaya telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menjadi sukarelawan sekiranya mereka menganjurkan sebarang majlis.

“Ini adalah peluang keemasan yang tidak mungkin kami tolak kerana ia membantu mengembangkan lagi bakat sedia ada mereka.

“Kami berharap kolaborasi ini dapat dijalankan secara berterusan dalam usaha mengukuhkan lagi kemahiran para pelajar,” jelasnya.