Peribahasa Melayu itu telah menjadi pegangan buat persatuan Halaqah Kebajikan Islam Mahasiswa (Hakim) yang terdiri daripada para pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah institusi pengajian tinggi di Brisbane, Queensland, Australia.

Hakim merupakan sebuah persatuan yang menghimpunkan para pelajar Malaysia yang menjadi ahli Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Queensland, Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Bond, Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Teknologi Queensland dan Persatuan Pelajar Malaysia Queensland.

Walaupun berkelana di luar negeri untuk menimba ilmu, namun mereka tidak pernah melupakan tanah air sendiri untuk menabur bakti.

Baru-baru ini, sekumpulan ahli Hakim telah berkampung di Cameron Highlands, Pahang bagi melaksanakan program Misi Bakti 2018 bagi membantu golongan pelajar sekolah rendah di daerah itu.

Bakat pemimpin

Presiden Hakim, Amirul Hafizan Zainal berkata, Misi Bakti merupakan program tahunan persatuan itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat pemimpin masa depan menerusi perkongsian pengetahuan dan kemahiran ahli Hakim kepada golongan remaja dan pelajar sekolah di negara ini.

“Matlamat utama penganjuran program kali ini ialah untuk melengkapkan para peserta dengan teknik dan kemahiran meliputi akademik dan bukan akademik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah menerusi modul kursus yang bersifat interaktif.

“Malah, program ini juga menjadi satu platform untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengajian tinggi dan peluang-peluang yang ada sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan mahu pun luar negara.

“Dengan adanya pendedahan seperti itu, ia dapat membakar semangat mereka untuk mencapai kejayaan yang cemerlang,” katanya.

Menurut Amirul Hafizan, program selama tiga hari yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Rata itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pihak, termasuklah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Cameron Highland dan Persatuan Pengakap Kelana A Seremban Timur.

Seramai 60 pelajar tahun enam dari tiga buah sekolah iaitu SK Tanah Rata, SK Convent Tanah Rata dan SK Brinchang telah dipilih bagi menyertai program tersebut.

Jelas beliau lagi, seramai 25 pelajar IPT dari luar negara dan tempatan turut terlibat sebagai fasilitator.

Pengarah Bersama Misi Bakti 2018, Muhammad Syafiq Maidin pula berkata, antara pengisian program sepanjang tiga hari ia berlangsung ialah sesi kaunseling, perkongsian pengalaman, explorace, cerminan diri, malam bakat dan aktiviti kecergasan.

“Kami bersyukur kerana program ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Malah, penerimaan para peserta dari ketiga-tiga buah sekolah sangat baik.

“Mereka turut memberi respons positif dan ia telah memberi motivasi kepada Hakim untuk terus melaksanakan program ini pada masa akan datang,” katanya.

Pengisian

Sementara itu, Pegawai Pendidikan, PPD Cameron Highlands, Mohamad Rawee Deraman pula menganggap program tersebut sangat membantu para peserta meningkatkan semangat mereka mencapai kecemerlangan selain memupuk semangat kerjasama.

Katanya, walaupun sebahagian besar aktiviti yang disusun bersifat santai dan menyeronokkan, namun ia merupakan satu kaedah pembelajaran positif dalam membentuk keperibadian para peserta.

“Selain berseronok dalam melakukan aktiviti, para murid dapat mengasah bakat dan kemahiran masing-masing selain mengesan kelebihan diri.

“Ia sangat penting bagi memastikan mereka tahu hala tuju untuk mencapai cita-cita,” katanya.

Perkara itu diakui seorang peserta dari SK Tanah Rata, Nur Amrina Rashada Zulkifli, 12, dengan memberitahu, selain dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan baharu, dia memperoleh ilmu.

Bagi pelajar tahun enam SK Convent Ranah Rata, Ahmad Nurhadi Hayazi, 12, pula menganggap perkongsian ilmu dan pengalaman para fasilitator meningkatkan semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mengikuti jejak langkah mereka melanjutkan pengajian ke luar negara.