Mereka yang merupakan pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi terpilih bagi mengikuti Program Transformasi Pengakap Udara yang diadakan selama empat hari tiga malam di Markas Udara TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak.

Program tersebut merupakan program kolaborasi antara Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Program itu bertujuan memberi latihan kepimpinan, pengenalan penerbangan samudera, keselamatan pesawat di laut, pengenalan kejuruteraan udara, konsep penyelenggaraan di laut dan alatan sokongannya.

Selain itu, mereka juga berpeluang melihat sendiri pergerakan pesawat terbang dan kerja di pelantar, kerja tali serta perkhidmatan pembersihan pesawat.

Ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan peserta sangat teruja kerana pertama kali menjejak kaki di dalam hangar pesawat.

Peserta Unit Udara, Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM), Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Nurafiqah Mohd. Zakaria, 20, berkata, kursus itu memberi peluang kepadanya untuk mempelajari ilmu tentang perkapalan seperti jenis kapal, enjin dan kegunaan kapal yang ada di TLDM.

“Kami juga berpeluang belajar tentang helikopter yang pernah dikendalikan TLDM serta sejarah penggunaan aset udaranya.

“Pelajar berpeluang membuat aktiviti secara amali di dalam pesawat terbang dengan bimbingan fasilitator yang dilantik. Ilmu pengetahuan tentang kursus dan kemahiran dalam bidang navigasi dan penerbangan diperoleh melalui pegawai TLDM yang berdedikasi dan komited,” kata penuntut bidang Diploma Akauntasi itu.

Turut hadir Laksamana Pertama, Sazalee Shoib; Panglima Udara TLDM, Komander Mohamad Zamri Ismail; Ketua Staf Markas Udara TLDM dan Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Ahmad Sabri Saad.

Pengalaman baharu

Pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal PTSB, Mohd. Amir Hamzah Haris, 20, pula memberitahu, pelbagai pengalaman yang diperoleh semasa mengikuti kursus berkenaan termasuk mempelajari teori penerbangan helikopter seperti Super Lynx serta komponen-komponen penting pada sebuah pesawat terbang dan cara mengendalikannya.

Pengalaman lain yang diperoleh peserta juga adalah dapat merasai cara ataupun langkah-langkah untuk menggerakkan helikopter. Mereka juga berpeluang menaiki kapal TLDM iaitu KD Perantau.

Bendahari Majlis Pengakap Malaysia, Tan Sri Abdullah Taib berkata, kemahiran insaniah yang diperoleh itu akan menjadi nilai tambah kepada peserta kursus ketika menempatkan diri di alam pekerjaan kelak.

“Hasrat kami adalah untuk melahirkan ahli pengakap yang seimbang dan holistik berteraskan ilmu, teknologi dan nilai yang berasaskan undang-undang dan persetiaan pengakap.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar ahli yang berjaya menjejakkan kaki ke Pangkalan TLDM Lumut ini akan terus bersemangat, tabah dan terbuka mindanya untuk terus membangunkan diri dan seterusnya masyarakat,” katanya.

PPM berharap agar jalinan kerjasama itu dapat diikat melalui Nota Kerjasama atau Memorandum Persefahaman antara kedua-dua belah pihak, agar kerjasama itu berkekalan.

Demi memantapkan kemahiran dan latihan ahli-ahli pengakap kelana udara, PPM juga mencadangkan supaya Lencana Ahli Udara Kanan di Laut dijadikan acara tahunan kedua-dua pihak.