Program anjuran Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), Universiti Utara Malaysia itu melibatkan 12 orang pelajar dari TUFS.

Ternyata, peluang merasai selut di bendang, menoreh getah, menangkap ikan dan mengejar ayam memberikan kenangan yang indah.

Pengarah program, Abdullah Din berkata, program itu mendedahkan penuntut kepada suasana kampung yang jauh daripada kesibukan kota.

“Ia bukan sekadar untuk merehatkan diri dan menikmati panorama kampung yang nyaman tetapi mereka turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat sosiobudaya masyarakat tempatan.

“Mereka akan melihat sendiri pelbagai keunikan yang ada di kampung dan cara hidup yang diamalkan oleh masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mayu Takaishi, 20, atau lebih dikenali sebagai Maya berkata, program itu membuka minda para peserta dengan memberi gambaran sebenar budaya masyarakat Melayu.

“Saya mempelajari bahasa Melayu sejak enam bulan lalu dan begitu teruja kerana dapat mengaplikasikannya pada program ini.

“Keluarga angkat amat baik dan mereka begitu gembira melihat saya bertutur dalam bahasa Melayu, sekali gus membuatkan saya tidak segan untuk bertanya pelbagai soalan,” katanya.

Malah Maya berkata, dia dan rakan-rakannya begitu terharu dengan sambutan luar biasa yang diberikan penduduk kampung.

 

Kongsi cerita

“Penduduk kampung mengadakan kenduri bagi meraikan kedatangan kami. Mereka melayan kami dengan begitu ramah sekali walaupun baru pertama kali bersua muka.

“Mereka tidak lokek ilmu dan sentiasa berkongsi pelbagai cerita dengan kami. Orang Melayu kaya dengan adab sopan santun dan lemah lembut,” katanya.

Sementara itu, Nanami Tomita, 20, atau mesra dikenali sebagai Norhani turut mengakui keramahan penduduk kampung berjaya menarik minatnya untuk mengenali budaya orang Melayu secara lebih dekat.

“Mereka amat berbudi bahasa dan melayan kami dengan ramah sekali. Kemesraan terserlah apabila mereka bersalaman dan memeluk saya seperti anak sendiri.

“Suasana kekeluargaan ini membuatkan saya ingin mengenali budaya orang Melayu secara lebih dekat lagi,” ujarnya.

Selain itu, Norhani berkata, suasana kampung yang indah amat mendamaikan dan membolehkannya menghayati kehidupan desa yang sebenar.

“Pemandangan di kampung begitu menakjubkan. Kami disajikan dengan keindahan sawah padi dan keunikan reka bentuk rumah yang tidak ada di Jepun.

Namun, menghadiri kenduri perkahwinan, kunjung-mengunjungi antara jiran tetangga, menikmati makanan menggunakan tangan dan melihat hasil tangkapan nelayan adalah antara kenangan yang sentiasa melekat diingatannya.

Bagi Norhani, dia didedahkan dengan pelbagai pengetahuan mengenai Islam sepanjang tinggal bersama keluarga angkatnya.

“Ayah angkat selalu berkongsi cerita mengenai kewajipan sebagai seorang Muslim termasuk keperluan bertudung dan menunaikan solat.

“Saya cuba memakai baju kurung dan bertudung ketika keluar dari rumah setelah melihat ibu dan kakak mengenakannya,” ujarnya.

Norhani berkata, ternyata tempoh setahun termasuk bekerja sambilan di restoran makanan untuk mendapatkan wang tambahan bagi menyertai program tersebut sememangnya berbaloi.

 

Ekstremis

Ayaka Yui, 20 yang mesra disapa Aisyah pula berkata, sikap ambil berat, mudah mesra dan lemah lembut yang ditunjukkan penduduk kampung membuktikan umat Islam bebas daripada anasir ekstremis seperti yang dimomokkan oleh media Barat.

“Selama ini umat Islam sering dimomokkan dengan sifat ekstremis yang melampau, namun apabila saya mendekati sendiri dan melihat budaya mereka secara lebih dekat, ternyata tuduhan itu adalah palsu semata-mata,” katanya.

Yuki Kameyama, 20, yang mesra dengan panggilan Yunus menambah, amalan-amalan yang dilakukan umat Islam membuatkannya tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam akan kehidupan seharian penduduk kampung.

“Sebelum ini saya hanya mendengar tentang cara hidup Islam tanpa mengetahui secara mendalam amalan-amalan yang dilakukan.

“Menerusi program ini, saya menimba pengetahuan mengenai Islam. Saya belajar mengambil wuduk dengan betul dan bersolat walaupun tidak mengetahui maknanya,” katanya.

Pensyarah Pengajian Bahasa Melayu TUFS, Faridah Mohamed berkata, program yang dijalankan sedikit sebanyak berjaya menarik minat pelajar Jepun untuk menguasai bahasa Melayu.

“Saya bukan sahaja sekadar mengajar aspek tatabahasa, sebaliknya turut mendedahkan mereka dengan budaya serta cara hidup orang Melayu.

“Saya mahu mereka merasai sendiri pengalaman tinggal di desa dan menjalani aktiviti-aktiviti bersama penduduk kampung. Ia menarik minat mereka untuk menguasai bahasa Melayu,” katanya.