Kemudahan itu bukan sahaja untuk melancarkan komunikasi dan urusan harian, malah turut memberi kesan kepada tahap kebersihan dan kesihatan diri.

Kemudahan asas juga diperlukan dalam memastikan setiap individu menerima peluang pendidikan yang sama rata.

Atas kesedaran itu, seramai 104 orang mahasiswa daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan sebuah program menyantuni masyarakat pedalaman Sabah di Kampung Lumampau dan Kampung Ulu Bole, Sipitang pada bulan lalu.

Lebih menarik, kesemua mereka adalah anak jati Sabah.

Pelajar tahun akhir jurusan Kaunseling Pendidikan UM, Elvena Filadelfia Joel, 23, berkata, program dikenali Penggerak Pendaulat Borneo itu merupakan program tahunan yang telah bermula sejak 2016.

“Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa Sabah berbakti secara langsung kepada pelbagai komuniti di negeri itu yang masih ketinggalan dari aspek prasarana dan kemudahan asas.

“Pada program kali ini, kami telah membantu penduduk kampung memasang lampu solar dan pam air bawah tanah yang disumbangkan penderma prihatin,” katanya merangkap Yang di-Pertua, Persatuan Mahasiswa Sabah UM (Permasa).

Cabaran

Menariknya, pembinaan tiang lampu solar di kedua-dua kampung adalah menggunakan batang kayu yang diperoleh dari hutan berhampiran.

Dengan bantuan penduduk kampung, para sukarelawan telah meredah hutan dan mendapatkan batang kayu yang bersesuaian untuk dijadikan tiang untuk menempatkan kit lampu solar yang disediakan.

Menurutnya lagi, cabaran pertama yang perlu dihadapi sukarelawan ialah lokasi kampung yang jauh di pedalaman.

“Perjalanan satu hala ke kampung-kampung ini mengambil masa selama empat jam dari Kota Kinabalu melalui jalan darat yang berturap dan tidak.

“Walaupun memenatkan, ia tidak mematahkan semangat para sukarelawan yang bersungguh-sungguh ingin membantu memberi kemudahan asas kepada penduduk di sana,” ujarnya.

Tambah Elvena, apa yang lebih mencabar adalah semasa proses pemasangan pam air bawah tanah dan penapis air.

“Kami perlu memasang saluran paip daripada sumber air sungai yang terletak di hutan berhampiran,” terangnya.

Program yang memakan masa selama seminggu itu turut memuatkan aktiviti sampingan yang merapatkan hubungan antara sukarelawan dan penduduk kampung.

Selain aktiviti permainan rakyat bersama kanak-kanak dan belia, sukarelawan turut membantu menyediakan jamuan istimewa etnik Murut pada majlis perasmian program.

Mereka juga mengadakan aktiviti ringkas berbentuk akademik bersama pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sindumin, Sipitang.