DEWAN utama Hotel Majestic Kuala Lumpur itu dibanjiri ribuan gadis belasan tahun memakai uniform lengkap berwarna hijau seawal pukul 7 pagi.

Ada dalam kalangan gadis itu memakai selempang berwarna kuning air yang dipenuhi dengan pelbagai bentuk lencana.

Kemas, berkarisma dan ceria sekali. Masing-masing tidak sabar untuk menduduki ujian prapersediaan bagi mendapatkan Anugerah Pandu Puteri Diraja.

Ujian tersebut adalah salah satu syarat awal yang perlu dipenuhi seorang ahli Pandu Puteri sebelum mendapatkan anugerah tertinggi dalam persatuan tersebut.

Ia melibatkan 1,500 calon Pandu Puteri Remaja dan Renjer dari 45 buah sekolah di Wilayah Persekutuan.

Antara ujian yang perlu ditempuhi kesemua calon Pandu Puteri itu termasuk lipatan bendera, pemakaian uniform, ikatan dan simpulan.

Calon perlu menghasilkan buku log dengan melengkapkan kesemua maklumat yang diperlukan sebelum dinilai oleh ahli-ahli Pesuruhjaya Pandu Puteri cawangan Kuala Lumpur.

Lim Chin Yuin, 20, adalah antara ribuan penerima anugerah Pandu Puteri Diraja pada tahun 2015 yang melayakkannya menjadi jurulatih dan berpeluang meneruskan kerja-kerja sukarela.

Dia mengambil peluang menjadi sukarelawan pada program ujian prapersediaan tersebut memberitahu, penglibatannya dalam Pandu Puteri sejak di tingkatan satu berjaya membentuk sifat kesukarelawan dalam dirinya.

“Kami dilatih untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Nilai kesukarelawan ini adalah sebahagian daripada silibus Pandu Puteri yang diterapkan menerusi aktiviti-aktiviti di sekolah,” katanya yang ditemui Kosmo! di hotel berkenaan baru-baru ini.

Pembelajaran

Jelasnya, aktiviti seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah, khidmat masyarakat di kawasan pedalaman dan lawatan di rumah orang tua serta anak yatim dilihat menjadi platform untuk mereka memupuk sifat empati dalam diri.

Justeru, menurut Chin Yuin, meskipun dia kini telah melanjutkan pengajian dalam jurusan Pengurusan Hotel di Universiti Sunway namun jiwa kesukarelawannya masih menebal. Dia juga sentiasa turun padang apabila khidmatnya diperlukan.

“Saya dan beberapa orang rakan lain turun ke program ini untuk menyumbang ilmu yang ada mengenai Pandu Puteri. Asas-asas pengetahuan seperti ikatan dan simpulan, perkhemahan dan pertolongan cemas dikongsi bersama ahli-ahli,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan yang juga penerima Anugerah Pandu Puteri Diraja 2017, Lee Xin Loo, 18, berkata, Pandu Puteri amat menitikberatkan pembelajaran melalui pengalaman yang mendedahkan dirinya dengan pelbagai kemahiran.

Xin Loo berkata, sepanjang lapan tahun terlibat dalam Pandu Puteri, dia telah berjaya menghasilkan pelbagai kertas kerja dan laporan aktiviti.

“Kesemua ini adalah prasyarat untuk mendapatkan anugerah dan ia adalah pembelajaran melalui pengalaman yang tidak akan diperoleh di bilik darjah,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Sentosa itu.

Kepimpinan

Bagi anak sulung daripada lapan beradik itu, bukan anugerah yang dikejarnya tetapi pembelajaran yang dapat digunakan sepanjang hayatnya.

“Sebagai contoh, calon yang ingin mendapatkan Anugerah Pandu Puteri Diraja perlu menyiapkan satu projek khidmat masyarakat selama tiga bulan dengan memberi tumpuan sekurang-kurangnya empat jam seminggu serta lulus Bengkel Selalu Sedia (BSS),” ujarnya.

Tambahnya, menerusi cabaran tersebut, dia mempelajari pelbagai kemahiran termasuk komunikasi dan pengurusan yang boleh diaplikasikan ketika menjengah alam kerjaya kelak.

Bagi calon Anugerah Pandu Puteri Diraja 2018, Yao Gabrielle, 17, berkata, persatuan itu berupaya memperkasakan wanita dengan penyertaan pelajar perempuan dalam skala yang lebih besar.

Menurut Gabrielle, aktiviti-aktiviti yang dijalankan dalam persatuan dilihat berupaya memartabatkan pembabitan wanita dalam persatuan seterusnya melatih diri mereka untuk menjadi pemimpin yang berkaliber.

“Ia bukan sekadar aktiviti santai tetapi memupuk minat remaja menjadi pemimpin dari peringkat sekolah selain memperlihatkan potensi diri sebenar seseorang dalam kepimpinan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 5, Wangsa Maju itu.

Presiden Persatuan Pandu Puteri cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Yeoh Soo Keng berkata, aktiviti-aktiviti yang telah digubal selari dengan usaha untuk melayakkan pelajar sebagai ahli dalam Persatuan Dunia Pandu Puteri dan Pengakap Wanita.

“Kita tidak mahu memberi tekanan kepada mereka untuk menjalani ujian tersebut sebaliknya tampil dengan konsep yang lebih menyeronokkan dengan slogan Guiding is Fun in Kuala Lumpur.

“Justeru, dalam persekitaran yang mewah kita menjalankan praujian tersebut sebelum diberikan lencana pelantikan,” katanya.

Dalam pada itu, Yeoh berkata, program tersebut dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah kesuntukan masa pengurusan sekolah untuk menjalankan aktiviti seperti yang telah diperuntukkan.

“Guru pembimbing hanya diperuntukkan 12 kali untuk bertemu dengan ahli-ahli Pandu Puteri dalam setahun.

“Proses untuk melayakkan setiap ahli dilantik memerlukan sekurang-kurangnya empat kali perjumpaan dan ini bermakna mereka hanya tinggal lapan kali untuk mengendalikan aktiviti lain,” katanya lagi.

Oleh itu, Yeoh berkata, menerusi praujian dan upacara pelantikan yang julung-julung kalinya diadakan secara beramai-ramai itu dapat menyelesaikan masalah tersebut.