Pelbagai cabaran dan dugaan perlu ditempuh Nurul Izzati Ab. Rahman demi memastikan produk yang dijualnya menepati syariat Islam.

Ditambah pula, berniaga pada usia muda memerlukan ibu kepada seorang anak lelaki, Adam Ahmad Firdaus, 2, itu sentiasa peka dengan selok-belok dunia perniagaan yang kian mencabar.

Kini, setelah empat tahun menguruskan jenama Mawwadah Izzati Sdn. Bhd. (Mawwadah Izzati), wanita cekal itu semakin berusaha mengembangkan rangkaian peniagaannya bersama suaminya, Ahmad Firdaus Amir.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pemilik jenama Mawwadah Izzati dalam melayari dunia perniagaan dan dalam masa yang sama, memegang tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.

Boleh cerita mengenai latar belakang saudari?

Nama saya Nurul Izzati Ab. Rahman dan berusia 26 tahun. Saya merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik dan merupakan anak jati Kuala Lumpur. Saya mempunyai diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan dari Universiti Teknologi Mara.

Kini, menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mawaddah Izzati. Sudah empat tahun saya menguruskan perniagaan ini bersama suami, Ahmad Firdaus Amir.

Apakah cabaran dalam mendidik masyarakat untuk memilih pakaian menutup aurat?

Agak sukar untuk mengubah persepsi masyarakat hari ini bahawa pakaian patuh syariah tidak hanya khusus kepada golongan agama atau ustazah semata-mata.

Malah, ada segelintir masyarakat yang menganggap pakaian patuh syariah ini adalah kolot dan tidak menepati peredaran masa.

Pakaian patuh syariah sepatutnya menjadi satu ikutan dan gaya hidup kita sebagai seorang Muslim kerana ia adalah tuntutan agama.

Mengapa saudari memilih bidang perniagaan menjual busana patuh syariah sebagai kerjaya?

Terus terang saya katakan, saya terjun ke dalam bidang ini atas sebab diri sendiri yang minat bergaya dan berfesyen.

Namun, saya sedari amat sukar untuk mendapatkan pakaian dan tudung yang menepati cita rasa Muslimah dalam pasaran.

Jadi, berbekalkan dua sebab itu, saya tekad menjual pakaian yang menepati syariat Islam.

Alhamdulillah selepas beberapa tahun berada dalam bidang ini, saya lihat banyak perkembangan positif dalam perniagaan menjual pakaian Muslimah ini.

Bagaimanakah saudari membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga?

Dalam kerjaya, saya mengendalikan perniagaan bersama suami. Secara tidak langsung, dia banyak membantu saya dalam pengurusan syarikat. Dalam masa yang sama, saya perlu bijak mengutamakan sesuatu mengikut keperluan. Saya mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai CEO syarikat, isteri dan ibu. Bukan mudah tetapi saya juga tidak akan dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik jika bukan kerana sikap suami yang sentiasa memahami dan banyak membantu.

Apakah nasihat saudari kepada golongan muda di luar sana yang ingin mengikuti jejak langkah saudari?

Mereka yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan perlu sentiasa bersikap optimis dan melihat ke hadapan.

Jangan membuat keputusan terburu-buru dan perlu bijak menilai segala risiko yang bakal diterima atas keputusan yang dibuat.

Setiap cabaran yang datang, diperbaiki dan dianggap sebagai satu pengalaman baharu dan pengajaran untuk kita lebih maju ke hadapan.

Apa yang penting, tidak mudah putus asa kerana Allah suka hamba-Nya yang sentiasa berusaha dan pastinya ada kejayaan bagi setiap yang berusaha.