Anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu dikatakan antara pelopor terawal dalam perniagaan berkenaan sekitar tahun 2011.

Hari ini, produk keluaran Kay Empire Group Sdn. Bhd., yang beroperasi di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor itu semakin dikenali dan kira-kira 100,000 cenderamata berjaya disiapkan.

Bermula dengan coklat, kini Kaygifts turut menawarkan produk seperti biskut, kek coklat, brownies dan kek bakar yang dibungkus secara eksklusif dengan pelbagai rekaan luar biasa.

Sesuai dengan taglinenya, pembekal cenderamata perkahwinan #No1 di Malaysia, Kaygifts sering menjadi pilihan ramai termasuk selebriti tempatan popular seperti Fattah Amin, Amyra Rosli, Saharul Ridzwan, Jihan Muse dan Shuib Sepahtu.

Mesra membahasakan diri sebagai Nor Hidayah, anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, pengalaman banyak memotivasikan dirinya untuk lebih cekal berdepan cabaran sehingga berjaya mengubah kehidupan.

Mengimbas detik permulaan dalam bidang perniagaan, setelah disahkan mengandung anak sulung, Nor Hidayah memilih untuk meninggalkan bidang kejuruteraan kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga yang baru dibinanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu duduk diam dan mula memikirkan cara untuk menambah pendapatan keluarga.

“Setelah melihat wujudnya permintaan coklat, saya cuba menjalankan perniagaan dari rumah secara kecil-kecilan di laman sosial.

“Ketika itu, pengusaha coklat tidak ramai dan saya melihat peluang untuk berjaya jika kita berusaha,” katanya yang ditemui Kosmo! di Kay Empire Group Sdn.Bhd., Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.

Menyedari peluang tersebut, siswazah jurusan Kejuruteraan Sivil, Universiti Putra Malaysia itu bertindak menghadiri kelas menghasilkan coklat di sekitar Seri Kembangan, Selangor untuk menambah pengetahuannya.

Nor Hidayah mula mempromosikan produk yang dihasilkan di laman sosial sebelum seorang pelanggan menghubunginya untuk menempah sebanyak 1,500 bungkusan coklat bagi majlis perkahwinan.

Beliau hanya menggunakan modal permulaan sebanyak RM500 bagi menyiapkan tempahan itu sebelum keuntungan yang diperoleh digunakan untuk modal berikutnya.

Beliau begitu teruja dan berusaha sebaik mungkin untuk membalas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Saya dan suami (Mohd. Shakir Esuan, 36,) terpaksa berjaga sehingga pukul dua atau tiga pagi bagi menyiapkan tempahan ini. Walaupun ketika itu saya mengalami alahan yang agak teruk kerana mengandung, ia tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk menyiapkannya.

“Dalam tempoh tiga hari, saya berjaya menyiapkan tempahan dan paling membuatkan saya bersemangat ialah apabila pelanggan berpuas hati dengan produk itu,” katanya.

Promosi

Cerita Nor Hidayah, selepas tempahan pertama berakhir, rezekinya semakin mencurah-curah dan setiap minggu pasti ada saja permintaan walaupun dalam kuantiti yang kecil.

Pada awalnya, beliau juga menawarkan tempahan produk untuk majlis pertunangan dan sambutan hari lahir sebelum memberi fokus kepada cenderamata majlis perkahwinan secara sepenuh masa.

“Saya dan suami berkongsi ruang gerai bersama seorang rakan pada pameran perkahwinan untuk mempromosikan produk kami.

“Alhamdulillah, permintaan semakin bertambah dan disebabkan tenaga kerja yang terhad ketika itu, kami tidak dapat memberi fokus kepada banyak perkara melainkan cenderamata majlis perkahwinan sahaja,” katanya.

Ibarat pepatah Melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Begitulah gambaran usaha gigih Nor Hidayah tanpa mengenal erti putus asa untuk melakar kejayaan.

Nor Hidayah dan suaminya mengambil keputusan untuk berpindah dari Flat Sri Jati di Balakong Jaya, Selangor ke sebuah rumah kedai di sekitar Taman Bukit Jalil pada tahun 2014 apabila keadaan rumahnya tidak lagi sesuai menampung permintaan yang begitu banyak.

“Saya dan suami terpaksa mengangkat berkotak-kotak tempahan menaiki tangga ke tingkat dua kerana rumah kami tidak mempunyai lif.

“Saya amat mementingkan kualiti dan keselesaan pelanggan. Keadaan rumah yang agak terhad menyukarkan proses penghasilan produk dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

Setelah berpindah, beliau semakin dikenali dan permintaan produk bertambah berkali ganda.

Justeru, bagi membantu meringankan bebannya, beliau mula mencari pekerja untuk menyiapkan tempahan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kini, Nor Hidayah dan suaminya mampu tersenyum lebar kerana sudah memiliki 22 orang pekerja yang menjadi tunjang di sebalik kejayaan perniagaannya pada hari ini.

“Dahulu semuanya saya lakukan sendiri tetapi apabila sudah ada pekerja, saya perlu menyediakan jadual kerja untuk mereka. Daripada situ, saya belajar ilmu pengurusan.

“Saya belajar dari bawah dan telah berasa setiap peringkat jawatan bermula daripada cef, pegawai pemasaran, pereka grafik, akauntan sehinggalah pengarah,” katanya.

Nor Hidayah menambah, cabaran paling utama yang dihadapinya adalah berdepan dengan pelanggan yang amat cerewet dalam setiap aspek.

“Mahu atau tidak, saya perlu menanganinya secara profesional kerana kepercayaan pelanggan tidak boleh dikhianati. Saya cuba memberikan yang terbaik mengikut kehendak pelanggan,” ujarnya.

Eksklusif

Bercerita mengenai keistimewaan produknya berbanding yang lain, Nor Hidayah berkata, Kaygifts amat mementingkan kualiti perkhidmatan selain harga yang ditawarkan berpatutan.

“Mereka boleh membuat tempahan dengan pelbagai cara dan kami akan uruskan daripada awal tempahan hinggalah cenderamata sampai di pintu rumah,” katanya.

Malah, Nor Hidayah memberitahu, pembungkusan yang eksklusif juga dilihat menjadi keistimewaan Kaygifts berbanding jenama yang lain.

Cerita ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, beliau menawarkan enam variasi kotak eksklusif yang direka sendiri dan boleh dipilih mengikut kehendak serta cita rasa pelanggan.

Antara pilihan kotak ialah kotak berslot, kotak bertingkap penuh, kotak bertingkap separuh, kotak bertutup penuh, kotak segi empat dan kotak segi empat lut sinar.

Pelanggan juga berpeluang mengabadikan nama atau gambar mereka pada kotak cenderamata.

Beliau kini mempunyai beberapa orang pereka grafik berpengalaman dan sebuah mesin yang boleh menghasilkan kira-kira 8,000 kotak sehari.

Bercerita tentang perancangan pada masa depan, Nor Hidayah berkata, beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaan itu supaya dikenali, sekali gus memasarkan produknya ke luar negara.