Bagaimanapun, bukanlah menjadi titik noktah bagi mereka yang tidak mahir berkata-kata kerana sekiranya dilatih akan membuahkan hasil luar biasa, bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah pasti akan tajam.

Hal ini telah dibuktikan oleh Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali, 29, yang aktif menjadi pakar motivasi sejak tahun 2015.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bergelar pakar motivasi telah memberi kepuasan kepada dirinya, selain menjadi pencetus semangat kepada orang lain untuk berjaya.

Ikuti temu bual Kosmo! bagi mengetahui perjalanan Muhammad Syafiq Ikhwan yang bergelar pakar motivasi berjaya pada usia muda.

1 Apakah tip-tip untuk menjadi seorang pakar motivasi yang dikenali ramai?

Saya menggunakan gaya yang tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan cara orang lain. Ini kerana setiap daripada kita mempunyai karakter yang berbeza.

Bagaimanapun, isi yang cuba kita sampaikan adalah sangat penting. Ramai yang salah sangka bahawa untuk menjadi pakar motivasi yang hebat, mereka perlu bijak membuat lawak. Namun, ia sebenarnya salah.

Kita perlu mencuri perhatian penonton dengan isi yang disampaikan, bukan sekadar lawak kosong yang tidak mempunyai sebarang makna.

Namun, saya akui elemen humor, hiburan, cerita, fakta dan contoh bersesuaian mampu memberi kesan lebih mendalam terhadap apa yang ingin disampaikan.

2 Mengapa saudara memilih untuk menjadi pakar motivasi berbanding kerjaya lain yang lebih mencabar?

Saya sentiasa percaya bahawa kita perlu melakukan perkara yang disukai sekiranya ingin mencapai kepuasan dalam hidup.

Sejak di bangku sekolah lagi, saya amat berminat untuk mengajar dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan sekiranya terdapat kekeliruan dalam sebarang mata pelajaran.

Malah, menjadi pakar motivasi merangkap Pegawai Pendidikan di Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang bertanggungjawab mempromosikan hak asasi manusia, terutamanya kepada para pelajar turut menjadi platform untuk mengembangkan bakat yang dimiliki.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap bidang ini juga saya telah melepaskan kerjaya sebelum ini sebagai seorang jurutera.

3 Apakah pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi pakar motivasi?

Banyak kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan sepanjang berkecimpung dalam kerjaya ini. Malah, ia menjadi pemangkin semangat untuk melakukan yang terbaik.

Salah satu kenangan itu ialah apabila saya dijemput untuk memberikan motivasi di salah sebuah sekolah yang guru besarnya adalah bekas cikgu saya.

Dalam ucapan alu-aluannya di hadapan ratusan pelajar, beliau menyatakan betapa bangga kerana pernah mendidik saya sehingga menjadi manusia yang berjaya.

Kata-kata beliau membuatkan saya berasa amat terharu dan akan dikenang sampai bila-bila.

4 Apakah cabaran-cabaran yang saudara hadapi sehingga berjaya menjadi pakar motivasi? 
Sebagai manusia biasa yang masih bernyawa, kita sentiasa berhadapan dengan rintangan dalam kehidupan.

Sama seperti orang lain, saya juga sering berdepan dengan cabaran yang kadangkala agak getir dan mampu menyesakkan dada, tidak kira masalah peribadi mahupun kerjaya.

Contohnya, sebahagian peserta gemar menguji dengan mengajukan pelbagai soalan di luar kotak fikiran. Justeru, ia amat memerlukan kepantasan untuk saya berfikir dan memberikan jawapan terbaik bagi merungkai persoalan yang diajukan.
Bagaimanapun, sehebat mana cabaran yang menerjah, saya akan tenang menghadapinya dan tetap bersemangat.

5 Bagaimana saudara mengubah diri sebelum berjaya mengubah orang lain?

Saya sentiasa sematkan dalam diri bahawa tiada yang sempurna di muka bumi ini. Oleh itu, kita tidak perlu menunggu untuk menjadi sempurna sebelum boleh berkongsi ilmu dengan orang lain.

Saya tidak sesekali melihat apa yang saya lakukan adalah untuk mengubah orang lain, sebaliknya bersama-sama memperbaiki kelemahan diri masing-masing.

Banyak yang saya pelajari apabila berkecimpung dalam kerjaya ini. Sesungguhnya, proses untuk memperbaiki diri adalah satu perjalanan yang tiada titik noktahnya.