Hakikatnya, tugas untuk mendidik murid pendidikan khas tidak semudah yang disangka kerana mereka merupakan golongan istimewa dan memerlukan perhatian khusus.

Bagi Mohd. Reduan Daud, 30, kerjaya sebagai guru pendidikan khas merupakan impiannya sejak di bangku sekolah lagi.

Jejaka kelahiran Besut, Terengganu itu mahu membuktikan bahawa dia mampu membimbing murid-murid pendidikan khas menjadi modal insan berguna.

Pemegang Ijazah Sarjana Pendidikan Khas, Universiti Kebangsaan Malaysia itu memiliki kemahiran dalam mengendalikan murid istimewa terutamanya kategori masalah pembelajaran selain boleh berbahasa isyarat dan membaca menggunakan Braille.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama salah seorang penilai Buku Teks Pendidikan Khas peringkat kebangsaan itu bagi mengetahui perjalanan kariernya sebagai guru pendidikan khas.

1. Boleh ceritakan latar belakang saudara?

Saya dilahirkan di Kampung Cherang Meliling, Jertih, Besut Terengganu dan merupakan anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), saya kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Khas dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Setelah itu, saya memulakan kerjaya sebagai guru interim Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, Port Dickson, Negeri Sembilan dan telah dipindahkan ke SMK Pekan Baru, Muar, Johor sebagai guru akademik Program Pendidikan Khas Integrasi.

2. Mengapa saudara memilih profesion guru pendidikan khas sebagai kerjaya?

Ketika di bangku sekolah, saya adalah seorang murid yang mengalami masalah pembelajaran kategori disleksia. Selama tiga tahun saya ditempatkan di kelas pemulihan khas, diberi intervensi dan kaedah pemulihan oleh guru pemulihan khas.

Saya melihat guru yang mengajar saya seorang yang sabar, tabah, kasih sayang dan empati. Bermula dari situ minat itu timbul, ditambah dengan usaha yang gigih untuk mencapai impian bergelar guru pendidikan khas.

Pemilihan kerjaya ini juga disokong oleh guru-guru tingkatan enam di SMK Putra Jertih, Terengganu pada ketika itu.

Malah, selama empat tahun mengikuti kursus pendidikan khas, pelbagai ilmu yang diperoleh membuatkan saya semakin teruja untuk mengajar.

3. Apakah bentuk kepuasan yang diperoleh menerusi kerjaya ini?

Kepuasan mengajar murid kefungsian rendah apabila saya berjaya mengurangkan tingkah laku tantrum murid. Walaupun mengambil masa yang lama tetapi proses memulih itu memberi pengalaman berharga.

Selain itu, kepuasan mendidik murid istimewa kategori kefungsian sederhana apabila murid ini dapat mengimplementasikan apa yang saya ajar untuk dipraktis dalam kehidupan harian mereka.

Saya juga mengajar mereka membuat kraf tangan, anyaman bakul, kertas dan batik. Mereka menghasilkan kraf tangan ini dan menjual kepada orang ramai.

Bagi murid istimewa kategori kefungsian tinggi pula, kejayaan mereka menyahut cabaran saya setiap kali pertandingan peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa memberi kemenangan jiwa kepada saya.

4. Bagaimana saudara mengendalikan murid-murid pendidikan khas?

Sebaik sahaja murid mendaftar, saya perlu meneliti fail mereka, melihat dokumen sekolah terdahulu dan berbincang dengan ibu bapa. Dalam tempoh tiga bulan pertama, saya perlu mengenali murid ini secara rapat.

Apabila saya sudah tahu keadaan murid ini, langkah pertama adalah menghasilkan Rancangan Pendidikan Individu yang merupakan satu dokumentasi perancangan berstruktur untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai objektif yang telah dikenal pasti.

Kebiasaanya saya fokuskan kepada pemulihan dan intervensi mengurangkan tingkah laku tantrum murid.

Bagi menguruskan murid istimewa ini, saya perlu meletakkan diri saya seperti seorang bapa dan keluarga murid ini. Mendidik dengan hati bukan semua orang mampu, merasai dalam jiwa bukan semua orang peroleh. Justeru, kesabaran adalah kunci utama untuk mendidik murid istimewa.

5. Apakah yang saudara pelajari daripada golongan yang kurang bernasib baik ini?

Sebenarnya saya banyak belajar daripada murid-murid istimewa ini. Saya belajar menjadi sabar dalam semua perkara. Kekurangan bukanlah penghalang untuk kita berjaya, sebaliknya beranggapan bahawa kecacatan itu sebenarnya suatu pendorong untuk terus bangkit dan maju ke hadapan.

Oleh itu, saya mensyukuri nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada saya. Setiap yang berlaku mempunyai hikmah yang tidak disedari. Sesungguhnya saya bersyukur kerana berpeluang mendidik golongan istimewa ini.