Hanya berbekalkan al-Quran, ia menjadi panduan untuk umat Islam yang inginkan keredaan dan rahmat daripada Allah SWT.

Atas inisiatif dan tanggungjawab sebagai saudara sesama Islam, Mohd. Izzuddin Mohammad Aminuddin telah mengadakan kelas al-Quran atas talian secara percuma atau dikenali Let’s Iqra’ kepada mereka yang mahu mendalaminya.

Anak kelahiran, Bintulu, Sarawak itu bertekad mahu mengurangkan golongan buta huruf al-Quran di semua peringkat umur.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan tenaga pengajar Maahad Tahfiz, al-Quran Wal-Qiraat Addin, Perak itu bagi mengetahui dengan lebih mendalam mengenai inisiatif yang dilaksanakannya.

1. BOLEH ceritakan mengenai latar belakang saudara?

SAYA anak kelahiran Bintulu, Sarawak tetapi membesar dan menetap di Perak. Saya menuntut di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Musa dan memilih untuk menyambung pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Addin, Malim Mawar.

Kemudian, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dari Universitas Islam Negeri Ar-Raniriy, Banda Acheh, Indonesia dalam jurusan Usuluddin, Ilmu al-Quran dan Tafsir.

Kini, saya mengajar di Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Addin tempat saya menuntut ilmu suatu ketika dahulu selain Akademi Tahfiz Genius Imam Muda Jabar dan Maktab Rendah Sains Mara di Parit, Perak.

2. BAGAIMANA timbulnya idea untuk mengadakan kelas Let’s Iqra’?

PERTAMA, saya tidak pernah berasa puas untuk membantu orang di sekeliling dek kerana minat yang mendalam menyampaikan ilmu al-Quran.

Walaupun saya merupakan seorang guru, ia belum cukup untuk menyalurkan pengetahuan dalam bidang al-Quran kepada masyarakat.

Justeru, saya melihat dengan membuka kelas Let’s Iqra’ membolehkan orang ramai mempelajari al-Quran tanpa ada batasan.

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa mengira tempat. Mereka hanya perlu menggunakan internet untuk berhubung dengan saya.

Hanya di hujung jari, mereka dapat mengaji al-Quran dengan mudah. Mereka boleh terus bertanya sekiranya tidak tahu atau diperbetulkan bacaan.

3BAGAIMANA keberkesanan inisiatif ini dalam membantu umat Islam mendalami al-Quran?

ALHAMDULILLAH, keberkesanannya sama sahaja seperti belajar al-Quran secara bersemuka.

Pelajar yang tidak mengenal huruf sebelum ini, sekarang sudah mulai mengenal huruf.

Malah, mereka dapat membaca setiap huruf dalam keadaan yang sangat baik makhraj dan lahjul Arab (bunyi Arab).

Ada juga sebelum ini yang sudah pandai membaca al-Quran tetapi kurang dalam ilmu tajwid.

Setelah mengikuti program Let’s Iqra’ ini, mereka semakin jelas berkenaan ilmu tajwid selain belajar ilmu Resm (ilmu penulisan) dan Dabtul (ilmu simbol).

Dalam Let’s Iqra’ juga terdapat kelas hafazan al-Quran. Ada antara pelajar Let’s Iqra’ sudah mengetahui teknik menghafal al-Quran dan mengingatinya.

Walaupun umur sudah lanjut, mereka mampu menghafal al-Quran dengan cemerlang sekali.

4. APAKAH kepuasan yang diperoleh dengan berkongsi ilmu bersama orang ramai?

TIDAK terucap kepuasan nikmat yang Allah berikan kepada saya. Asalnya saya menyasarkan untuk menubuhkan pusat pengajian secara percuma pada umur 40 tahun, namun Allah mempercepatkan hasrat itu pada usia tidak sampai 27 tahun.

Kepuasan lainnya ialah dapat melihat pelajar buta huruf sehingga menjadi serba tahu. Daripada membaca al-Quran dengan bantuan rumi, sekarang sudah tidak perlu bantuan rumi lagi.

Akhir sekali, kepuasan yang saya peroleh menerusi Let’s Iqra’ adalah dapat meningkatkan saham saya di akhirat kelak dengan membantu seramai mungkin umat Islam untuk mendalami al-Quran.

Dalam masa yang sama, dengan Let’s Iqra’ ini saya dapat membuka peluang untuk semua orang menabung saham di akhirat dengan membaca al-Quran, memahaminya dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.

5. APAKAH teknik pengajaran yang digunakan dalam kelas Let’s Iqra’?

TEKNIK yang digunakan dalam pengajian Let’s Iqra’ ini adalah teknik talaqi musyafahah iaitu pelajar belajar secara langsung dengan guru.

Teknik atau sistem talaqi musyafahah ini sudah diguna pakai sejak zaman dahulu lagi dan ia terbukti amat berkesan.

Walaupun menggunakan teknik talaqi, pengajian di Let’s Iqra’ adalah secara atas talian. Ada kelas yang menggunakan voice note dan secara langsung melalui panggilan video.

Adapun program di Let’s Iqra’ ini mengutamakan beberapa aspek iaitu ingin mencapai tujuan penubuhannya iaitu Melahirkan Generasi Sahabat al-Quran.

Dalam merealisasikan tujuan itu, saya menggabungkan beberapa jenis ilmu penting seperti ilmu bacaan, tajwid, Resm, Dabtul, Ulum Tafsir dan perkongsian daripada tafsir-tafsir yang terkemuka.

Ilmu bacaan juga termasuk membahas tentang (sebutan huruf dan bunyi Arab yang betul).