DI tebing sungai yang berbatu, Faridah Hamimi Mohammad Nizam, 21, kelihatan sudah bersedia untuk melakukan aktiviti menyusuri arus sungai menggunakan pelampung tayar.

Walaupun perasaannya ketika itu sangat gemuruh, namun dia perlu mencabar keupayaan dirinya memandangkan beberapa rakannya telah berjaya melakukannya sebelum itu.

“Walaupun saya suka aktiviti lasak tetapi saya tidak begitu berani, terutamanya melibatkan air.

“Walaupun begitu, saya suka mencabar kemampuan diri untuk melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini.

“Sebenarnya, apa yang ada dalam modul program ini sangat berbeza dengan program-program kaunseling dan kepimpinan yang pernah saya sertai sebelum ini,” katanya.

Faridah Hamimi merupakan antara 200 peserta program kepimpinan berdasarkan modul Adventure Base Counseling (ABC) yang dijalankan di Teratak River View, Tanjung Malim, Perak.

ABC merupakan modul yang dibangunkan hasil cetusan idea Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Md. Amin Md. Taff sebagai salah satu cabang program kaunseling melibatkan aktiviti luar terhadap para pelajar dan remaja.

Malah, ia juga merupakan modul pertama seumpamanya di negara ini yang dibangunkan bagi mengatasi masalah buli dan jenayah melibatkan remaja.

Mengulas lanjut mengenainya, Md. Amin berkata, beliau mendapat idea untuk membangunkan modul ABC selepas mengikuti pelbagai program di dalam dan di luar negara.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pendidikan Malaysia Washington D.C., Amerika Syarikat (AS) selain jurulatih dan komandan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kepada lebih 2,000 peserta.

Jelas Md. Amin, program kaunseling berkonsepkan ABC sangat popular di AS dan Eropah.

Ia bukan sahaja disukai oleh para peserta tetapi turut mampu memberi impak dan kesan yang positif kepada setiap peserta khususnya dalam membina karakter diri ke arah yang lebih baik.

Kepimpinan

Katanya, memandangkan program seumpama itu belum ada di negara ini, justeru beliau bersama beberapa orang pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi serta sains sukan UPSI telah membangunkan modul pertama ABC sejak lapan tahun lalu. Ia kemudiannya diterapkan dalam kalangan kakitangan dan pelajar universiti itu.

Mereka ialah Dr. Fauziah Mohd. Saad, Nurzep Almigo, Dr. Mohd Izwan Shahril dan Dr. Mohd Fadhil Abdullah.

“Program ABC sangat berguna untuk setiap peserta kerana ia dapat menghasilkan kumpulan yang saling bergantung, mempunyai hubungan yang berstruktur dan saling memotivasikan antara satu sama lain di samping bekerja dalam satu kumpulan.

“ABC juga dapat membantu individu untuk mengenal dan menilai diri melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Malah, menerusi program ABC, para kaunselor dapat melihat ciri-ciri individu dari aspek kepimpinan, tanggungjawab, membuat keputusan dan pengucapan awam,” katanya.

Menurut beliau, terdapat dua modul dibangunkan di bawah program ABC iaitu pembinaan karakter diri dan intervensi buli serta jenayah.

Justeru katanya, ABC mampu berperanan sebagai sebuah program kaunseling yang dapat membantu mencegah dan merawat remaja yang bermasalah.

“Ia dibangunkan bagi memberi keseronokan kepada para peserta. Malah, pelaksanaannya dalam bentuk aktiviti luar telah menjadikan ia sebuah program kaunseling, yang keluar dari zon keselesaan, selain mampu mencabar diri dan membina keyakinan peserta yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Fauziah yang juga Pengarah Pusat Kaunseling UPSI menjelaskan, modul ABC telah ditambah baik dengan penambahan elemen brief focus counseling untuk mengatasi isu remaja yang terlibat dengan buli dan jenayah.

Bagi melihat keberkesanannya, pada September 2017, program ABC dengan elemen baharu itu telah dilaksanakan kepada 130 orang remaja sebagai kajian rintis.

“Elemen brief focus counseling digunakan sebagai intervensi bagi membolehkan kaunselor membantu peserta untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan diri yang dihadapi.

“Kaunselor akan memfokus dalam membantu peserta serta mengenal pasti elemen penyelesaian yang diingini dan sudah wujud dalam kehidupan mereka. Peserta pula akan belajar untuk membina elemen ini yang membentuk asas kepada perubahan yang ingin mereka lakukan.

Elemen baharu

“Terapi ini tidak melihat punca masalah tetapi memberi fokus kepada definisi perubahan dan menjadikan ia suatu realiti,” katanya.

Jelas Fauziah, selain sesi kaunseling, para peserta juga akan melakukan pelbagai aktiviti mencabar seperti tubing, rempuh halangan, meredah hutan, aktiviti berkumpulan, flying fox dan ikhtiar hidup.

Tambahnya, kesemua aktiviti tersebut dilakukan dalam bentuk aktiviti simulasi sama ada secara berkumpulan mahupun individu, manakala tugasan daripada permainan tersebut merupakan refleksi iaitu mengaitkan aktiviti dengan objektif yang ingin dicapai dalam hidup mereka.

Kesemua aktiviti dan sesi kaunseling itu katanya, dijalankan oleh pakar-pakar terlatih selain dibantu oleh fasilitator yang terdiri daripada kalangan mahasiswa universiti.

“Program ABC menjadi pilihan UPSI sebagai kaedah terapi dan kaunseling kepada pelajar dan remaja yang bermasalah kerana berdasarkan kajian yang dijalankan dan aspek karakter peserta, ia sangat sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.

“Remaja lazimnya tidak akan memberi respons jika diberi sesi kaunseling semata-mata.

“Ciri-ciri karakter dan tingkah laku mereka lebih sesuai dengan aktiviti mencabar yang digabung bersama kaunseling bagi memastikan keberkesanannya,” katanya.

Selain itu, aktiviti yang dirancang dan dilaksanakan dalam kaunseling berasaskan cabaran itu dilihat lebih berkesan dalam membantu peserta membina daya kreativiti masing-masing.

Ia juga memberi kefahaman yang lebih mengenai kerja berpasukan, kepimpinan dan teknik menyelesaikan masalah.

Selain dibangunkan untuk membantu remaja yang berisiko tinggi, program ABC juga sesuai dilaksanakan kepada kakitangan kerajaan dan swasta, jurulatih, pelajar serta masyarakat awam untuk membina karakter diri.