Biarpun letih tetapi pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan (BSPP), Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menganggap ia sebagai satu pengalaman dan pembelajaran dalam bidang pertanian.

BSPP merupakan kursus peringkat ijazah sarjana muda di Fakulti Pertanian, UPM.

“Saya mempunyai pengetahuan asas dalam pengurusan pertanian dan perladangan semasa mengikuti kursus diploma di UPM sebelum ini dan apabila ditawarkan untuk melanjutkan ke peringkat ijazah sarjana muda saya tidak teragak-agak menyertainya.

“Saya yakin peluang kerjaya dalam bidang ini sangat luas khususnya perladangan yang melibatkan kelapa sawit dan getah. Sektor ini menjamin sekuriti makanan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan kepada GenK baru-baru ini.

Pertanian merupakan salah satu industri penting kepada ekonomi negara. Pada tahun 2016, eksport sektor pertanian negara mencecah RM115,844 juta.

Selain itu, pertanian juga merupakan penyumbang utama kepada bekalan makanan buat 32 juta rakyat Malaysia.

Teruja

“Ini kali pertama saya datang ke sini. Saya sangat teruja melihat ladang pertanian yang luas.

“Kami juga diberi penerangan dan pendedahan mengenai proses penanaman serta berpeluang mengemudi jentera mengangkut buah kelapa sawit,” ujarnya.

Raziz merupakan salah seorang pelajar pengajian BSPP yang berkonsepkan 2u2i.

Secara ringkas, menerusi program 2u2i, pelajar dikehendaki mengikuti pengajian di universiti selama dua tahun sebelum meneruskan pembelajaran secara praktikal dengan industri selama dua tahun.

Menurut Ketua Jabatan Pengurusan Tanah, Fakulti Pertanian, UPM, Prof. Madya Dr. Radziah Othman, UPM bekerjasama dengan The Incorporated Society of Planters (ISP) untuk merangka program tersebut.

“Program BSPP ini disunting agar kesemua elemen yang perlu dikuasai oleh para pengurus bidang pertanian ditekankan dalam silibus pengajian seperti pengurusan ladang, pengurusan bahan guna di ladang dan juga sumber manusia.

“Sebagai contoh, mereka didedahkan tentang penggunaan baja yang amat penting bagi menggalakkan tumbesaran pokok secara sihat agar ia mampu menghasilkan produk yang kualiti,” katanya.

Radziah menambah, UPM ingin menghasilkan graduan yang bukan hanya tahu mengira jumlah tanaman yang dihasilkan, tetapi mampu mengajar pekerja-pekerja ladang mengenai kesihatan pokok, kesuburan tanah dan keperluan nutrien oleh tanaman.

Pencapaian akademi

Katanya, pelajar yang mengikuti kursus ini dipilih berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang dan kebolehan daya tahan dari segi mental dan fizikal kerana ia bukan memerlukan mereka untuk duduk di dalam pejabat sahaja.

Selain itu, Radziah memberitahu, ketika di universiti para pelajar akan mengikuti kursus teras manakala sewaktu praktikal mereka akan dilatih oleh jurulatih yang bertauliah terdiri daripada pengurus-pengurus ladang berpengalaman.

Dalam pada itu, Radziah menjelaskan, kebanjiran pekerja asing di negara kita sememangnya masih tinggi terutamanya dalam sektor perkhidmatan, perindustrian mahupun pertanian.

“Pekerjaan di sektor yang dikenali sebagai ‘3D’ iaitu dirty, dangerous and demanding (kotor, berbahaya dan diperlukan) ini tidak dinafikan sering menjadi pilihan terakhir oleh anak-anak muda kerana tanggapan negatif sesetengah masyarakat kita terhadap profesion sebegini.

“Keadaan ini amatlah jauh berbeza di negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan benua Australia. Kebanyakan tenaga kerja di sektor pertanian memiliki ijazah sarjana muda hingga ke peringkat doktor falsafah,” tuturnya.