Dengan perkembangan yang pesat dalam bidang bioteknologi dan kejuruteraan genetik, kajian mengenai struktur fizikal dan kimia organisma hidup semakin berkembang maju.

Penyelidikan terkini mengenai fungsi, pembangunan dan evolusi organisma hidup memerlukan barisan penyelidik yang berkepakaran.

Atas kesedaran itu, sekumpulan 12 orang penyelidik dari Institut Sains Biologi (ISB) Universiti Malaya (UM) telah berusaha mendekati pelajar-pelajar sekolah dan berkongsi hasil kajian mereka baru-baru ini.

Kehadiran para penyelidik UM ke SMK Jenjarom, Banting, Selangor itu merupakan sebahagian daripada program Minggu Sains dan Matematik 2018 yang dianjurkan sekolah berkenaan.

Tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk menarik minat pelajar sekolah dalam bidang sains terutama bidang sains biologi dan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kajian-kajian terkini yang dilaksanakan UM.

“Kami dapati para pelajar menunjukkan minat untuk mengetahui lebih lanjut hasil kajian yang dipamerkan dengan mengaitkan ilmu yang telah dipelajari di sekolah.

“Diharapkan pameran ini dapat memupuk minat pelajar dalam bidang sains biologi dan memberi pendedahan kepada mereka tentang bidang kajian yang boleh diterokai dengan lebih mendalam.

“Saya amat mengalu-alukan kedatangan para pelajar SMK Jenjarom untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di ISB kelak,” kata pensyarah kanan ISB yang mengetuai delegasi penyelidik UM ke SMK Jenjarom, Dr. Rosazlin Abdullah.

Seramai lebih 300 orang pelajar SMK Jenjarom yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga lima telah mengunjungi pameran yang disediakan.

Penyelidikan berkualiti

Menariknya, para pelajar berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada para penyelidik yang mengambil bahagian.

Ketua Jabatan ISB, Prof. Madya Dr. Nurhayati Zainal Abidin berkata, kunjungan mereka telah mengumpulkan beberapa orang pensyarah dan penyelidik dari pelbagai bidang pengajian berbeza yang ditawarkan oleh ISB iaitu sains pengurusan alam sekitar, ekologi biodiversiti, bioteknologi dan bioinformatik.

“Terdapat empat lagi bidang pengajian yang ditawarkan di ISB iaitu genetik, biokesihatan, biokimia, dan mikrobiologi.

“Pameran bidang sains biologi di sekolah ini adalah sejajar dengan objektif ISB untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan berkualiti yang bertindak balas mengikut keperluan akhir masyarakat dengan berkongsi hasil kajian mereka,” ujarnya.

Program Minggu Sains dan Matematik itu merupakan program tahunan dan dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar SMK Jenjarom khususnya daripada Persatuan Sains dan Teknologi sekolah berkenaan.

“Kami bersetuju untuk menjemput para penyelidik dari UM untuk melihat sendiri dengan lebih dekat hasil kajian yang dilaksanakan di universiti.

“Kami harapkan pendekatan sebegini bukan sahaja dapat meningkatkan minat para pelajar untuk belajar, malah menimbulkan minat untuk meneroka kerjaya dalam bidang sains biologi,” kata pelajar tingkatan lima yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Sains dan Teknologi SMK Jenjarom, Faizul Hakim Jumian.

Antara bahan kajian yang dipamerkan termasuklah demonstrasi penggunaan perisian khas yang digunakan oleh penyelidik bidang bioinformatik, anak pokok nanas yang dihasilkan secara kultur tisu oleh penyelidik bidang bioteknologi, replika mamalia dan haiwan daripada bidang ekologi dan biodiversiti.

Selain itu, turut terdapat pameran mengenai tanah dan bioarang. Aktiviti mengenal pasti tekstur, warna dan berat tanah turut dikelolakan oleh penyelidik bidang pengurusan alam sekitar.