Selain wujud perbincangan dua hala, sekali-sekala para pelajar dilihat khusyuk ketika diberi penerangan mengenai daya dan tenaga yang terdapat dalam ilmu Fizik.

Program dengan kerjasama Panitia Fizik dan Kelab Penyelidikan dan Pembangunan itu dikendalikan 29 mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang mengikuti pengajian dalam bidang Fizik.

Ia turut mendapat kerjasama syarikat luar, ON Semiconductor Sdn. Bhd.

Pengarah program, Raihana Izzati Mohd. Ali, 21, berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan dan penerangan kepada pelajar mengenai pentingnya penglibatan mereka dalam bidang sains, terutama fizik.

“Secara tidak langsung program tersebut menunjukkan keprihatinan mahasiswa dalam menyuburkan minat terhadap subjek berasaskan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

“Selain melakukan demonstrasi mengenai fenomena fizik, para peserta turut didedahkan dengan penyelidikan terkini ilmu fizik yang dijalankan oleh penyelidik UM,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Fenomena fizik

Tambah Raihana Izzati, ilmu fizik merupakan salah satu cabang ilmu sains yang memerihalkan kesemua fenomena yang berlaku ke atas sesuatu jirim, termasuklah pergerakan.

Salah seorang fasilitator program, Mohamad Fitri Zaqwan Salim, 22, berkata, mereka lihat pelajar aliran Sains sekolah itu jelas tertarik dengan penganjuran program tersebut.

“Para peserta berpeluang melihat beberapa fenomena fizik secara praktikal, termasuklah bebola plasma, sistem radar dan keelektromagnetan.

“Saya percaya para peserta akan lebih menghargai apa yang dipelajari di dalam bilik darjah apabila dapat melihat sendiri fenomena fizik seperti loncatan elektron yang menghasilkan garisan cahaya di dalam bebola plasma,” ujarnya.

Jelasnya, secara praktikal, fenomena loncatan elektron sangat membantu pemahaman seseorang mengenai kejadian kilat ketika hari hujan.

Tambahnya, melalui sesi Physics Talk juga para peserta didedahkan dengan penyelidikan terkini berasaskan ilmu fizik yang dijalankan oleh pihak UM.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains UM, Dr. Woon Kai Lin berkata, secara umumnya, ilmu fizik diakui sebagai ilmu sains asas yang diperlukan dalam usaha kita memahami sifat alam semesta.

“Dengan ilmu fizik jugalah banyak aplikasi dan peranti yang dibina dan seterusnya memudahkan kehidupan manusia seperti bekalan elektrik dan sistem telekomunikasi,” katanya.

Dalam pada itu, Kai Lin memberitahu, daripada maklum balas yang diterima, para peserta dan pihak sekolah mengharapkan program tersebut dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya percaya menerusi ilmu fizik, para pelajar boleh menjadi lebih inovatif dan berani menempuh cabaran yang disaji oleh kepantasan teknologi maklumat,” tuturnya.