Ketika itu, dia dapat merasakan peritnya kehilangan orang yang tersayang kerana ayahnya juga telah pergi menghadap Ilahi secara mengejut sejak dia berusia empat tahun lagi.

Jika anak-anak lain dapat merasai bahang tubuh kekar ayah mereka, Siti Noor Amirah hanya mampu memeluk sekeping gambar yang masih ada dalam simpanannya untuk melepaskan rindu.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik itu terpaksa bergantung hidup dengan jerih perih ibunya yang bekerja sebagai pembantu pejabat di sebuah syarikat swasta sehinggalah kini dia berjaya menggenggam segulung ijazah.

Lantas, Siti Noor Amirah bertekad untuk membela nasib golongan yang kurang bernasib baik menggunakan segala kudrat yang ada apabila berkesempatan.

Baru-baru ini, Siti Noor Amirah terlibat sebagai salah seorang daripada 35 sukarelawan untuk program Salam Anak Muda, Imarah Ramadan.

Program anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) itu menjelajah ke seluruh negara dengan pelbagai pengisian program seperti tadarus al-Quran, singgah sahur, ziarah kasih serta majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan orang asli.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia belajar makna bersyukur apabila mendampingi dan mendengar sendiri luahan rasa kelompok sasaran yang dikunjungi.

Inspirasi

“Melihat kesusahan orang lain membuatkan saya lebih bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah kerana cerita mereka kadangkala lebih memeritkan.

“Keperitan hidup yang dilalui memberi inspirasi kepada saya untuk terus menyumbang kepada masyarakat,” katanya yang ditemui Kosmo! di MBM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Siti Noor Amirah memberitahu, paling menyentuh hatinya adalah mengenangkan luahan rasa rindu anak-anak yatim terhadap kedua ibu bapa mereka.

Walaupun diselubungi emosi, Siti Noor Amirah berkata, dia cuba memberikan kata-kata semangat kepada mereka sebagai tanda sokongan.

Baginya, anak-anak yatim memerlukan perhatian dan tempat untuk meluahkan perasaan.

Justeru, Siti Noor Amirah berharap waktu yang diluangkan itu sedikit sebanyak membuatkan diri mereka berasa lebih dihargai.

Siswazah Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Kolej Teknologi Alpha, Seremban, Negeri Sembilan itu memasang impian untuk membuka sebuah pusat kebajikan suatu hari nanti.

Sementara itu, Noor Shahirah Abu Samat, 24, memberitahu, penglibatannya pada program itu menimbulkan rasa tanggungjawab dan mengasah kemahiran komunikasinya.

“Ia menimbulkan rasa tanggungjawab dalam diri untuk menghulurkan bantuan kerana tidak mustahil apa yang berlaku kepada mereka hari ini akan dirasai kita suatu hari nanti.

“Jika dilihat dari sudut positif, ia adalah tanggungjawab sesama manusia kerana ujian yang datang untuk menguji kita sama ada sanggup berkongsi nikmat yang diberikan-Nya atau sebaliknya,” katanya.

Anak kelahiran Ampang, Selangor itu berkata, menerusi ziarah kasih, dia menyedari bahawa terlalu banyak keluarga yang masih memerlukan perhatian.

Ujar Noor Shahirah, sudah tiba waktunya anak muda bersatu hati menyumbang bakti kepada masyarakat.

“Walaupun kecil sumbangan yang diberikan, jika dilakukan secara berterusan, maka ia akan membantu secara tidak langsung,” katanya.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu turut mengakui, dia dapat mengasah kemahiran komunikasinya, sekali gus membina jaringan sosial dengan lebih meluas.

Cerita Noor Shahirah lagi, dia merupakan pelajar yang agak pasif sejak di bangku sekolah dan rasa malu yang menebal menyukarkannya untuk berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali.

Justeru, dia mencari peluang untuk mengembalikan keyakinan dirinya dengan terlibat secara langsung dalam aktiviti kesukarelawan yang dianjurkan MBM.

Noor Shahirah memberitahu, dia memperoleh ramai rakan baharu yang ditemui di setiap lokasi persinggahan jelajah mereka.

Terapi minda

Berbeza dengan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Nazirul Rohaizam, 22, yang menyifatkan penglibatannya dalam aktiviti sukarelawan dilihat sebagai terapi minda yang menenangkan.

Anak tunggal itu memberitahu, dia berasa amat gembira apabila kerja-kerja sukarelawan yang dilakukan mampu membahagiakan orang lain.

“Ia mampu memberi kepuasan dan keseronokan terhadap diri saya apabila sumbangan itu mampu menceriakan insan yang lain.

“Kebiasaannya saya akan mengikuti program sukarelawan bagi mengisi masa lapang dan apabila menghadapi tekanan ketika belajar,” katanya.

Muhammad Nazirul mengakui, penglibatannya dalam program Salam Anak Muda, Imarah Ramadan mampu membentuk sifat kepimpinan.

Ketua Penerangan Majlis Pemimpin Muda Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu berkata, dia bukan sahaja belajar untuk menjadi pemimpin yang baik tetapi dapat merasai sendiri pengalaman sebagai anggota biasa.

“Kadang-kadang apabila berada di atas, kita tidak akan nampak masalah yang dilalui anak-anak buah. Maka kita sebagai pemimpin hanya melihat yang indah-indah sedangkan ahli pasukan bekerja keras untuk menjayakannya.

“Jadi, dengan menjadi anggota biasa, sedikit sebanyak memberi gambaran halangan-halangan yang dihadapi untuk menjayakan sesuatu projek seterusnya melatih diri untuk memahami keadaan orang lain dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Pengerusi MBM, Mua’ammar Ghadafi Jamal Jamaludin pula berkata, program Salam Anak Muda, Imarah Ramadan merupakan aktiviti tahunan yang telah memasuki tahun ketujuh penganjuran.

Ujarnya, program itu bertujuan untuk menanamkan rasa prihatin dan mendekatkan belia dengan masyarakat terutamanya golongan yang memerlukan melalui ziarah kasih serta sumbangan secara terus.

Katanya, pelepasan program selama 17 hari itu diadakan serentak pada 25 Mei lalu ke seluruh negara secara konvoi kenderaan empat roda dipecahkan kelima zon seperti tengah, timur, selatan, utara dan Sabah.

“Menariknya, program ini diadakan serentak dengan sambutan ke-70 MBM pada tahun ini dan pelbagai pengisian menarik dirancang bersesuaian untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan.

“Serentak dengan itu juga, program Bicara Tokoh turut diadakan di setiap negeri yang disinggahi melibatkan tokoh belia serta bekas kepimpinan terdahulu,” katanya.

Salam Anak Muda, Imarah Ramadan yang memasuki tahun ketujuh penganjuran diadakan untuk menanam rasa prihatin dan mendekatkan belia dengan golongan yang memerlukan.