Begitu juga dengan nasib yang dialami oleh sesetengah makanan tradisional Melayu yang ada pada hari ini. Sesetengah daripada menu itu hampir tidak diketahui kewujudannya.

Bukan sahaja haiwan diancam kepupusan tetapi banyak makanan tradisional Melayu juga menghadapi masalah sama.

Kalau ditanya pada generasi hari ini tentang ketupat daun tebu, lemang tepung, ketupat ubi kayu, kelamai atau gelamai, dodol kukus tahi minyak, pasti ada yang terpinga-pinga kerana tidak pernah mendengar nama itu, jauh sekali melihatnya.

Menyedari kepentingan itu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Pesta Makanan Tradisional Melayu 2018 untuk membantu memartabatkan pelbagai juadah tradisi warisan Melayu.

Buka minda

“Tujuan utama program ini adalah untuk mendedahkan kepada para peserta tentang makanan warisan di Malaysia.

“Di samping itu, ia dapat menanam minat kepada pelajar terhadap keunikan penyediaan makanan tradisional selain membuka minda mereka dalam bidang keusahawanan,” ujar Ketua Muzium Warisan Melayu FBMK UPM, Rahimah Hamdan.

Jelasnya, program yang julung-julung kali diadakan itu merangkumi makanan tradisional dari seluruh negeri.

Rahimah berkata, sebanyak 25 gerai jualan yang melibatkan pelajar dan kakitangan FBMK menyediakan juadah-juadah makanan tradisional pada pesta tersebut.

“Tahun lalu, kami mengadakan program Pesta Makanan Tradisional Pahang untuk memperkenalkan masakan tempoyak ikan patin, gulai asam rom dan sambal hitam.

“Kali ini, pengunjung boleh melihat dan merasai makanan tradisional di setiap negeri,” katanya.

Lebih menarik, program itu turut menjadi medan buat pensyarah dan kakitangan UPM menonjolkan bakat memasak mereka.

Jelasnya, mereka bercadang untuk mengetengahkan makanan tradisional yang sudah pupus seperti ketupat periuk kera supaya generasi muda mengenali makanan itu pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, seorang pelajar, Khairul Zaini Jasni, 24, yang menyertai jualan pada pesta itu berpendapat, program tersebut amat berguna untuk generasi muda terutamanya para pelajar UPM.

“Program ini memberi peluang kepada saya untuk mengenali pelbagai makanan tradisional di Semenanjung.

“Sebelum ini, saya hanya kenal pada nama, hari ini saya dapat melihat dan menikmatinya sekali,” ujar pelajar Sarjana Kesusasteraan itu.

Pada pesta itu, Khairul menjual gulai tempoyak ikan bilis dan sambal tumbuk cili padi.

Dia memilih gulai tempoyak ikan bilis kerana ingin menampilkan kelainan berbanding menu asal masakan tradisional Pahang itu.

“Saya memilih untuk menjual menu ini kerana nampak unik dan jarang ditemui di kedai-kedai makan di sekitar Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan daripada pelanggan sehinggakan tidak sampai petang sudah habis dijual.

“Diharapkan, program seperti itu akan mendapat lebih banyak penglibatan dalam kalangan pelajar pada masa akan datang, khususnya yang ingin menceburi bidang keusahawanan,” kata anak jati Kuching, Sarawak itu.

Gamit pelancong

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris berkata, makanan tradisional tempatan bukan sahaja dapat menggamit pelancong untuk bertandang ke Malaysia tetapi membantu memperkenalkan adat dan budaya kita.

“Malah ada segelintir pelancong yang datang semata-mata untuk menikmati makanan-makanan tradisi di Malaysia.

“Uniknya, kita kaya dengan pelbagai resipi turun-temurun selain rempat ratus,” katanya.

Justeru adalah penting untuk masyarakat terus melestarikan makanan tradisional dalam kalangan generasi hari ini agar resipi tradisional tidak hilang ditelan zaman.